Khamis, 29 September 2011

Bila Keretaku Dimasuki Orang

Peristiwa pada 22 September 2011 di kawasan parking Pasar Awam Kajang, Selangor. Pertama kali menjejak kaki di Pasar Awam Kajang. Berada di dalam pasar membuatkan saya teruja kerana seronok melihat sayur-sayuran yang segar dan boleh kata segala mak nenek sayur semuanya ada. Niat di hati nak beli ikan tetapi melihat harga  ikan seolah tidak setimpal dengan rupanya membuatkan aku membatalkan niatku. Maka aku  hanya membeli daun pudina untuk ulaman laksaku sementara sahabatku CT pula membeli tomato. 

Sebaik sahaja selesai membeli sayuran kami bergegas keluar dari pasar setalah lebih kurang 15 minit berada dalam pasar. Kami menuju ke parkir. Dalam jarak 2 meter dari keretaku, aku terpandang seorang wanita Melayu berusia lewat 40an bertudung menghampiri keretaku dan terus membuka pintu keretaku. Aku bergegas ke keretaku dan memerhati plat nombor keretaku dan ternyata sahih keretaku. Aku terus meluru ke pintu kereta dan mengherdik wanita tadi "hey! ini kereta saya lah!" wanita ini memandangku dan keluar dengan wajah selamba lalu berkata "eh,, maafkan achik.. patutlah saya susah buka dan tak boleh nak start". Aku menjadi pelek dan rasa kehairan dan pelbagai persoalan yang menerpa akalku. Aku memeriksa kunci keretaku, confirm ada di beg tanganku dan aku terus merampas kunci kereta wanita dan aku dapati memang kunci kereta Gen2.

Kebetulan samasa kecuh-kecuh, seorang pakcik yang berada dalam sebuah kereta di sebelah keretaku keluar dari kereta dan bertanya apa yang berlaku. Saya menerangkan bahawa wanita ini telah membuka kereta saya dan pak cik itu memberi isyarat supaya saya berhati-hati dan dia turut sama bertanyakan kepada wanita tersebut mana keretanya sebenar. Wanita itu akhirnya menunjukkan kereta yang berada di sebelah kereta pak cik tersebut yang warnanya hampir sama dengan keretaku. Wanita itu kemudian meminta kad parking yang berada dalam keretaku yang diletakkan bahagian depan sebelah pemandu. Sahabatku memerhatikan nombor tiket parkingnya adalah sama nombor plat keretanya.

Pak cik tadi berkata kepadaku wanita itu kelihatan jujur dan mungkin benar dia salah kereta, eloklah kamu berkenalan dan pak cik itu menuju masuk ke dalam pasar. Pemerhatianku memang wanita itu kelihatan jujur aja. Wanita itu kemudiannya datang menghampiri aku dan meminta maaf sekali lagi. Hairannya, aku boleh tersenyum dan bermaaf dengan wanita tersebut walaupon dalam kepala otak ini pelbagai persoalan yang timbul. Di antara persoalan yang timbul;

Bagaiman dia telah meletakkan tiket parking ~ tiket parkingnya adalah tertera no plat  W*C 4*61 dan tentunya tiket parking itu wajib dipamerkan. Ini bermakan wanita ini sudah dua kali masuk dalam keretaku. Pertama semasa meletakkan tiket parking dan kali kedua dia masuk untuk balik. Kalau benar dia tak perasan bahawa kereta itu bukan kereta orang lain, hairan saya kerana di dalam keretaku terdapat barang yang boleh dilihat yang menunjukkan bukan miliknya. Lagi satu yang menghairankan aku, kalau benar dia pergi ke pasar tetapi tidak kelihatan pon barangan yang dibelinya.Persoalan besar, bagaimana kunci keretanya boleh membuka pintu keretaku sedang yang aku faham setiap kereta adalah berbeza kuncinya.
Reaksi wanita itu juga bersahaja dan kelihatan relax aja.. adakah sememangnya telah menjadi kebiasaan dengan lebih tepat memang itu profesionnya?

Ramai yang memberi maklumbalas kepadaku, bahawa ianya adalah modius operandinya dan kawasan Kajang amat popular dengan pelbagai kejadian yang sebegini.
Aku terfikir selepas kejadian, kenapa aku tidak membuat laporan di Balai Polis. Manalah tahu jika benar bahawa kejadian ini adalah satu sendikit mencuri kereta dan sekurangnya aku telah membantu pihak polis mengatasi masalah sendikit curi kereta. Walau bagaimana pon  aku masih berharap wanita itu tersalah kereta kerana mungkin faktor umor atau buta warna atau ketika itu dia sedang celaru dan akhirnya tersalah kereta.  Tetapi akal aku menyatakan pula tak kan kunci kereta boleh sama? Dan mungkin juga dia psiko mangsa dengan status sebagai wanita Melayu Islam yang bertudung, bergaya dan berwajah baik.  

Aku pon pernah tersalah kereta, tetapi bila aku perasaan yang aku tersilap, aku betul gelabah biawak dan merasa tersangat malu, banyak kali aku minta maaf pada tuan punya kereta yang kebetulan memang berada di belakang aku. Hairannya wanita ini relax sangat. Selepas kejadian itu, aku telah mengambil langkah-langkah keselamatan.. Harap semua pembaca mengambil iktibar dari peristiwa ini.

Ahad, 18 September 2011

Nilai Kasut Si Kaya & Nilai Atap Rumah Si Miskin

RM1000.00 tunai? Kepada sang kaya, apalah sangat.. shopping di Suria KLCC mungkin hanya dapat sepasang kasut berjenama.. bagi lelaki kaya setakat RM1000.00 hanya semalam nikmat bersama "bini sementara" di hotel. Apalah sangat jika nilai RM1K berbanding pendapatan RM1M sebulan.  

RM1000.00 bagi mereka berpendapatan sederhana dan orang miskin yang tahu memperggunakan kepada jalan yang betul ianya amat tinggi nilainya. Dari RM1K boleh bayar ansuran motor, boleh beli beras sekampit, boleh beri barang dapur untuk sebulan, boleh menyara anak sekolah, boleh beli ubatan bila sakit pening, boleh sedekah anak yatim, dan boleh juga disimpan di Tabung Haji. 

RM1000.00 bagi yang mengganggur dan kaki judi pula bagaimana? Tanpa jawapan panjang lebar ianya tidak berhasil dan tidak perlu dijawab.
Bagaimana golongan kaya jika nilaian 1K itu dijadikan sebagai sumbangan kepada fakir miskin atau menyalurkan kepada perkara yang berfaedah melalui program-program kemasyarakatan tentunya banyak menafaat. InsyaAllah semua kategori manusia boleh menikmati hasil sumbangannya itu.

Kadang terfikir saya nilaian sepasang kasut sama nilaiannya jika atap rumah simiskin diganti. Nilaian sepasang kasut yang mungkin hanya dipakai sekali atau dua kali dan pasti selepas itu akan berganti dengan fesyen yang terkini.  Sedangkan atap rumah boleh bertahan bertahun-tahun dan dapat melinduungi penghuninya yang mungkin lebih dari 10 orang,

Perbandingannya ini mungkin ada yang mengatakan rezeki orang berbeza-beza. Tetapi haruskah kita membazir sedangkan kita tahu rezeki kita adalah juga milik orang lain..

Kemiskinan VS Keharmonian

Tertarik dengan Cerekarama TV3 bertajuk "Bara Cinta Ramadan" yang disiarkan sebentar tadi. Tidak sedar air mata mengalir melihat bagaimana  anak-anak yang memahami akan kesusahan ayahnya mencari rezeki. Ketabahan seorang isteri yang mengerti tanggungjawab suami yang sentiasa berusaha mencari rezeki walau dia tahu gaji yang diterima suami  tidak mencukupi menyara keluarga. Keikhlasan seorang sahabat yang sudi mendengar keluh kesah dan membantu sahabat yang terhimpit masalah.  Jika pemahaman dan ketabahan ini sentiasa ada mungkin segala dugaan hidup akan dapat diatasi dengan tenang.
 
Kemunculan watak seorang ibu mertua yang mendesak agar menantu dapat menyediakan peralatan rumah, barang kemas dan persiuapan hari raya membuatkan kehidupan bekeluarga menjadi konflik. Tambahan pula bila ada di kalangan ahli keluarga sendiri yang berharta dan mampu tentunya akan menjadikan satu perbandingan. Rasa rendah diri dan terhina setidaknya memberi tekanan dalam kehidupan. 
Kisah begini adalah satu yang normal dalam masyarakat. Apa yang ingin saya katakan di sini, perlukah kita terlalu campur tangan dalam urusan anak menantu sehingga menyebabkan anak menantu tertekan dan mengurangkan kemanisan dalam bekeluarga. Dalam persoalan ini adakah kemiskinan itu tidak membahagiakan dan adakah hanya yang beharta akan bahagia?

Miskin dan bahagia adalah satu yang berbeza. Semua orang ingin berharta dan bahagia. Kehidupan manusia bukan semuanya indah dan dugaan dalam kehidupan itu adalah satu ujian dari Allah S.W.T. Walaupun mungkin miskin dari harta benda tetapi jika kaya dengan kasih sayang dan adanya pengertian tentunya ada sinar bahagia juga. Jika kemewahan melimpah ruah tetapi sentiasa wujud konflik akan timbul pula keinginan untuk mencari bahagia. Pokok pangkalnya manusia itu sendiri perlu berusaha untuk mengubah akan nasibnya. Usaha untuk mengubah nasib ini  perlu ada kekuatan jiwa,  fizikal di samping dorongan dari ahli keluarga dan tawakal. InsyaAllah walaupun mungkin miskin tetapi ada dorongan usaha dan kasih sayang tidak mustahil keluarga yang dibina akan harmoni.

Selasa, 13 September 2011

AKU DISIHIR?

Terjemahan surah al-Falaq:
Ayat 1 - 5
1. Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan (Yang Menguasai waktu) subuh.
2. Dari bahaya (kejahatan) makhluk.
3. Dan dari bahayanya (kejahatan) malam apabila telah gelap.
4. Dan dari bahaya (kejahatan) yang mengembus (tukang sihir) pada simpulan.
5. Dan dari bahaya (kejahatan) orang yang dengki apabila ia dengki.

Sejarah ayat di atas diturunkan ketika Rasulullah telah disihirkan oleh seorang pemuda yahudi.  Terdetik hati aku, sedangkan Rasulullah disihir apa tah lagi manusia di zaman ini.  Agaknya selagi  ada hasad dan dengki maka perbuatan sihir akan sentiasa menjadi mainan manusia yang kurang imannya.

Terkenang peristiwa pada bulan 2 Mac 2011 apabila bangkit dari bangun tidur tiba-tiba bahagian pinggang sebelah kiriku mula terasa sakit namun aku gagahi juga dan menganggap sakit biasa. Pulaknya ketika itu aku mengikuti kursus.  Dua hari selepas tamat kursus secara tiba-tiba aku tidak boleh rukuk semasa solat maghrib dan berlanjutan sakit dari pinggang turun hingga ke lutut dan membuatkan aku tak boleh bergerak. 

Pertolongan rakan akhirnya aku di bawa ke klinik tetapi doktor di klinik menyarankan aku pergi ke hospital.  Kesakitan bahagian paha dan lutut semakin terasa dan bagaikan ada hirisan yang mengiris daging di dalam pahaku. Keesukan hari sekali lagi pergi ke klinik dan doktor merawat hanya memberi ubat penahan sakit. Hari ketiga terlalu sukar untuk naik tangga dan turun tangga dan sekali lagi atas pertolongan rakan sekerja akhirnya aku dihantar mendapat rawatan doktor untuk kali ketiga. X-ray menunjukkan seolah tiada apa yang berlaku dan akhirnya aku dirujuk ke hospital pakar tetapi kena menunggu hampir sebulan lamanya setelah appointment  dijalankan untuk mendapat rawatan pakar. 

Sementara menunggu rawatan pakar aku terpaksa memohon cuti untuk balik berehat di kampung.  Ahli keluarga banyak membantu dan memberi sokongan kepadaku. Ketabahan menjagaku serta doa mereka menguatkan semangatku. Seminggu berehat di kampung aku kembali bertugas dalam keadaan masih sakit dan berjalan macam robot.

Appointment di klinik pakar othopedik akhirnya tiba. Filem Xray seperti dijangkakan tidak banyak membantu dan akhirnya aku dirujuk bahagian Rehabilitasi untuk menerima fisioterapi. Fisioterapi aku ikuti dengan disiplin yang baik seperti dijadualkan. Dalam keadaan  fizikal yang demikian amat membataskan pergerakkanku.  Terpaksa kulupakan kasut tumit tinggiku buat seketika.. Keinsafan meresapi naluriku apabila terpaksa solat secara duduk dan aku redha segala dugaan yang diberikan.
 
Atas simpati beberapa staff dan mereka menyarankan agar aku membuat rawatan secara ruqqayah. Hatiku mula terbuka untuk pergi membuat rawatan. Aku sendiri hairan boleh hatiku terbuka kerana aku jenis manusia yang kurang berminat dalam bab-bab rawatan sama ada berjumpa doktor, apa lagi yang cara alternatif ni sedangkan nak makan ubat pun satu pekara yang aku tak suka. 

Diringkaskan cerita aku pun pergi mendapat rawatan dari perawat tersebut sebanyak tiga kali. Bila berjumpa kali pertama perawat tersebut, beliau bertanyakan apa sakit ku, dan adakah aku pernah bermimpi yang mengerikan dan apakah pekerjaanku. Setelah aku menjawab semua pertanyaannya maka memintaku mengambil buah limau nipis yang aku bawa dan bermula rawatannya.  

Diringkaskan cerita aku mendapat rawatan sebanyak tiga kali dan kali kali pertama terdapat dua mata pisau gilet dikeluarkan dari limau nipis, kali kedua dua bilah jarum keluar dari telor dan kali ketiga gumpalan benang kuning dan hitam serta air kotoran keluar dari belahan limau nipis.  Aku begitu tenang melihat benda-benda pelik yang berjaya dikeluarkan dari tubuh badanku, sebaliknya pengunjung yang lain merasa terkejut melihat barang yang telah dikeluarkan. Walaubagaimana pun perawat tersebut tidak menyatakan siapa empunya angkara aku disihirkan sedemikian. Aku redha apa yang berlaku.

Terdapat sedikit perubahan pada diriku di mana aku sudah boleh tidur lena dan mimpi yang mengerikan juga sudah tidak mengiringi tidurku, namun rasa sakit di paha dan lutut tetap ada sehingga hari ini. Menariknya setelah lima bulan berlalu, secara tidak terduga apa bila aku mengunjungi seorang sahabat lamaku.  Kebetulannya sahabatku ini telah "diresapi" dan menyatakan bahawa kesakitan kakiku adalah disebabkan adanya jarum yang dikeluarkan gara-gara perbuatan sihir oleh seseorang yang mempunyai hasad dan dengki kepadaku. Secara tiba-tiba sahabatku ini diresapi oleh roh yang menyihirkan aku. Roh yang menyihirkan aku memperkenalkan namanya dan menyatakan tujuan menyihirkan aku. Aku terkedu dan merasa hiba kerana nama yang aku dengar itu bukan asing bagiku. 

Menghairankan aku juga bagaimana sahabat lama ku ini mengetahui nama  orang tersebut sedangkan aku langsung  tak pernah cerita berkaiatan masalah dalam hal harianku. Roh orang tersebut mengakui amat membenci dan mencemburui aku  kerana aku dianggap sebagai pesaing dalam kerjayanya. Pengakuannya juga menyatakan sengaja menyihirkan supaya aku lumpuh dan kalau boleh supaya aku berhenti dari bekerja. Pengakuannya itu amat memilukan hati aku. Jika benarlah apa yang aku alami ini gara-gara angkaranya, betapa tidak berimannya hamba Allah tersebut. Aku terkedu dan agak terkilan namun begitu aku tidak pula rasa marah dan berdendam. Dalam keadaan situasi itu aku sentiasa mengimbangi  diriku supaya sentiasa dalam keadaan yang rasional  dengan melihat perkara yang baik-baik yang ada pada hamba Allah tersebut. 

Aku juga dinasihatkan supaya tidak mempercayai sangat apa yang berlaku dikhuateri wujud fitnah dan merenggangkan hubungan. Aku sentiasa meletakkan peristiwa ini hanya sebagai petunjuk untuk lebih berhati-hati dan tentunya berlaku adalah dengan izin Allah jua. Aku pegang kata bondaku supaya sentiasa beringat, dan percaya kepada kekuasaan Allah. Apa yang berlaku biarlah berlaku.  Aku berserah kapada Allah S.W.T.  Kiranya benar aku disihirkan oleh hamba Allah tersebut biarlah Allah yang menentukan segalanya dan aku berdoa agar dia kembali kepercayaan dan beriman kepada Allah.
Allahu Akbar.

Isnin, 12 September 2011

Kalau Kacang Sudah Lupakan Kulit

Rakyat yang baik akan memberi cadangan yang membina untuk memajukan bangsa, dan negara berlandaskan ajaran agama, tetapi wajarkah kita memburukkan negara dengan menjadikan agama sebagai method kita? Layakkah kita sebagai rakyat yang dikatakan setia pada nusa bangsa sedangkankan segala kenyataan kita hanya membawa kepada kehancuran nilai budi? Kalau benar kita pandai menilai segala kepincangan yang berlaku dalam negara, sila berikan cadangan penambah baikkan bukan cacian dan hinaan. Rakyat yang bijak dan sayangkan negara akan mencari cara penyelesai masalah bukan menambah masalah. Merdeka kita sudah 54 tahun, jangan sempitkan pemikiran dengan mencari salah tetapi lihatlah usia sendiri dan apa kemajuan yang telah kita buat untuk merdekakan diri dari hasad dan dengki. Jangan terlalu rakus hendak berkuasa hingga menjadi lupa daratan dan ibarat kacang sudah lupakan kulit.

Sabtu, 10 September 2011

Mengapa kerja Haram Juga Dibuat?

Tiba-tiba aku terfikir tentaang kehidupan para pedagang seks. Kelihatan apa yang aku fikirkan ini agak menyimpang sedikit dari kebiasaan pemikiranku. Seringkali kita dipertontonkan dalam laporan berita tertangkapnya wanita-wanita yang terlibat dalam kes-kes pelacuran dan maksiat. Persoalannya kenapa kaum wanita ini sudi bekerja dalam arena rezeki haram ini? Persoalan kedua adakah hanya kaum wanita dipersalahkan dalam perkara ini? Persoalan ketiga apakah yang mendorong kepada kesanggupan untuk bekerja? Keempat, sampai bila mereka akan bekerja? 
Jika kita meselusuri permasalahan ini tentunya pelbagai jawapan kita perolehi dan setiap jawapan itu pastinya akan membina persoalan baru dan tentu juga ada jawapan tersendiri. Jika remaja seawal umur 15 tahun sudah terlibat dalam kerja-kerja sebegini mungkin ada tarikan paksa hingga terjerumus dan mungkin akhirnya menjiwai pekerjaannya.  Bagaimana pula bagi wanita dewasa yang memang mencari pekerjaan ini sebagai kerjaya tetapnya? Dalam erti kata lain bagaimana wanita yang sememangnya suka dengan profesion ini? Dalam perkara ini adakah wang dan nafsu sama kuat tarikkannya?

Rabu, 31 Ogos 2011

Selamat Hari Kebangsaan ke-54 Tahun Malaysiaku.

  • Hari ini hari Rabu 31 Ogos 2011 bersamaan 2 Syawal 1432H. Hari ini genap 54 tahun negaraku Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan. 
  • Selamat Hari Kebangsaan ke 54 buat negaraku Malaysia yang amat kucintai. 
  • Semoga ekonomi, politiknya sentiasa setabil dan ini akan menjadikan perkembangan sosialnya juga baik.  
  • Aku sentiasa berdoa agar diriku dan semua warganegra Malaysia dapat hidup harmoni dan aman damai. 
  • Aku amat berbangga dengan Malaysia. 
  • Sesungguhnya kejayaan Malaysia pada hari ini dalam usia 54 tahun (usia yang matang) adalah hasil kebijaksanaan para pemimpin-pemimpin kita dan gembelengan usaha dan kesetiaan kita sebagai warganegara. 
  • Ucapan terima kasih kepada semua tokoh-tokoh perjuangan terdahulu dalam usaha mereka untuk meraih kemerdekaan yang kita kecapi sekarang. 
  • Lagu Negaraku dan kibaran Jalur Gemilang akan sentiasa mengiringiku dalam semangat cintakan Agama, Bangsa dan Negara. 
  • Semoga negara kita selamat dari segala ancaman anasir.
  • Terima kasih dan tahniah untuk diri kita sebagai rakyat Malaysia. 
  • Salam Merdeka.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Politik BAIK Politik JAHAT

Bencinya saya melihat manusia yang rakus dengan kuasa. Sebelum berkuasa bukan main tuduh itu korap, ini maksiat, sana menyeleweng, sana biadap, sana kapir, sini lebih Islam. Tapi bila dah berkuasa fitnah semakin menjadi-jadi, maksiat sendiri sudah buat, rasuah tersembunyi di sebalik kopiah/serban, hilang semua sahsiah diri yang dikata lebih islamik. Kalau dulu berkata kononnya kerajaan tak buat apa, maksiat sana sini, tiada apa bentuk pembangunan, harta rakyat dirampas.. tapi bila dah berkuasa tiada pun penambahbaikan yang dilihat hanya kerakusan sahaja.. Jati diri sebagai anak watan Malaysia bergelar bangsa Melayu yang penuh tatasusila hanyut bersama kerakusan. Pokoknya kuasa dan duit dan tambah lagi satu seks.. Tidak kira siapa dan berlatarbelakang siapa. Bila kemaruk kuasa hilang halal haram... erm.. lagi satu golongan yang dikatakan ilmuan agama, tolonglah jaga maruah diri anda agar gelaran ustaz tidak dihina kerana pegangan politik anda yang membuatkan anda bias dalam membicarakan hal agama. Selagi ingin berkuasa tentu ada perlawanan di antara "politik baik" dan "politik jahat". Tepuk dada tanya iman.

Sabtu, 20 Ogos 2011

BUMI DIPIJAK DAN LANGIT DIJUNJUNG

BUMI DIPIJAK DAN LANGIT DIJUNJUNG

'Ali Setan' didakwa hasut kariah
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AliSetan_didakwahasutkariah/Article

Respon komen saya di Berita Harian Online 21 Ogos 2011

komen saya pertama:
macam-macam kategori ustaz ada di Malaysia ni.. ada ustaz berjaya jadi ustaz sebab sistem pendidikan kita dan makan gaji dengan kerajaan tapi hentam kerajaan. ada ustaz yang mahu jadi ustaz politik.. tahu halal haram tapi buat fitnah nombor satu.. ada ustaz yang tegakkan kebenaran tanpa memihak parti politi akan dipulau pula, ada nama ustaz tapi ustaz kaki zina dan perogol, ada nama ustaz benteras judi, maksiat dan murtad tetap disanggah oleh ustaz lain.. so ustaz dulu2 yang ajar kita betul2 ikut kitab jer kot yang tak fikir duit dan gelemer yg boleh kita dengar? entahlah,, tanya dada dan iman sendiri....Suka · Seorang

Komen saya kedua:
kerana UMNO ramai yang jadi ustaz dan ramai juga dapat pekerjaan yang baik.. dan ramai juga orang PAS nak jadi kakitangan kerajaan..
6 jam yang lalu · Suka · 2 orang

Komen saya ketiga:
sebagai warganegara Rukun Negara kita kena ikut.. dan Sebagai Islam Rukun Iman dan Rukun Islam ada.. ajar agar kita semua jadi berhemah.. agar Islam itu sentiasa nampak cantik dan mulia.. janganlah kerana kita bersereban dan berjanggut maka orang lain dikata tak Islam.. jangan kata bila ada lambang Islam maka yg lain kafir.. Tuhankan maha mengetahui.. jaganlah kita takbur.. tuduh sebarangan orang tu kafir dan sebagainya.. "biar mati dalam iman" sepatah kata P. Ramlee..
5 jam yang lalu · Suka · Seorang

Bila saya mmbaca komen-komen pembaca akbar berita harian ini.. ada beberapa kategori.. ada yang begitu ekstrim mengutuk pihak yang tak disukai contohnya puak PAS akan mengutuk puak UMNO, ada juga yang mengutuk Berita Harian (BH) sebagai pencetus punca dan menuduh akhbar ini kafir (masyaAllah) dan ada juga yang memihak kepada UMNO dan tak juga berkecuali dengan merasionalkan keadaan. Sebenarnya saya amat hairan dengan sikap bangsa saya yang suka sangat bertelagah dan menuduh sesama sendiri.. bukankah kita orang Melayu punya ketertiban yang tinggi, dan jangan lupa negara kita negara berdaulat punya pemimpin, punya ketua Negeri dan Ketua Negara dan kita juga mendokong Rukun Negara dan Perlembagaan Negara.

Sebagai umat Islam kita juga ada Rukun Iman dan Rukun Islam di samping ilmu agama yang telah kita pelajari. Bukankah bertambah molek jika perpaduan sedia ada dimurni dan diperkukuhkan..? mengapa ada setimen menolak undang-undang, rukun yang sedia ada.. bukan kah cara begini akan mencetus pergolakkan..? Marilah kita perkuatkan benteng agama kita.. janganlah terlalu nak berkuasa hingga lupa di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung. Janganlah terlalu rakus hendak merebut takhta yang hanya sementara (di dunia sahaja). Maafkan saya jika kita bukan sealiran tetapi demi Agama, Bangsa dan Negara apa salahnya kita bersatu di bawah satu panji-panji.

Khamis, 18 Ogos 2011

Bila Sang Bunga Menyanyi Rindu

Bila ada sedikit rasa dalam hati
mata nan redup terus layu bila dibuai getiran rindu
sang akal mula berbisik mengoda hati
lalu hati berkata ya aku rindu
lalu mata tanpa segan memaksa bibir untuk tersenyum..
kerana hati mula berbunga
bagai kuntum mekar dan mewangi
dibawa angin meniup lembut
terhidu harum putra nan gagah
ingin saja mengkhabarkan pada alam
bahawa sang bunga sudah menyanyi rindu..
walau mulut berlagu menahan malu
dan katakan saja yang bunga memang sudah rindu..

Rabu, 17 Ogos 2011

Belenggu MERDEKA

Bila menyebut merdeka tertanya di hati saya.. bagaimana erti merdeka kepada setiap orang. Merdeka negara Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris tertera pada 31 Ogos 1957. Ini fakta. Tetapi bagaimana pula kemerdekaan diri dari konflik diri, penjajahan budaya, penjajahan ideologi, penjajahan ekonomi dan penjajahan dari kemelut hasad dengki dalam diri sendiri. Bagaimana harus kita merdekakan diri?

Merdekakah kita kalau kita begitu bebas berkata tanpa rasa segan dan silu dan hanya mengundang padah? Tutur kata kita hanya membawa kepada penjajahan minda dan tiada langsung membawa kebaikan dalam dunia sejagat? Mungkinkah kita beranggapan bila merdeka maka tidak perlu lagi berbicara seperti bicara nenek moyang kita? Atau yang dikatakan merdeka apabila kita sudah berani membicarakan apa sahaja walau mungkin kita tahu ayat yang kita tuturkan itu adalah ayat fitnah?

Atau mungkinkah itu tandanya yang diri kita masih dalam belenggu penjajahan iaitu penjajahan minda? Atau kita sudah merasa malu bila kita kekal dengan jati diri kita sebagaimana budaya resam nenek moyang kita? Adakah ini bermakna diri kita masih dijajah dan penjajah tetap tinggalkan budayanya agar kita terus terjajah walaupun pada lahirnya diri kita telah dimerdekakan?

Bila sebut merdeka terlalu banyak rasanya yang perlu diperkatakan. Saya suka ianya lebih tertumpu kepada individu itu sendiri bagaimana kemerdekaan yang dikehendaki. Merdeka diri akan lebih terasa kalau ekonomi kita mantap, makanya kita boleh sahaja bebas bergerak dan memiliki sesuatu yang kita hajati kerana kita mampu dan tentunya belenggu kemiskinan tidak lagi menjajah hidup kita. Tetapi merdekakah kita kalau kalau orang luar menjadi tuan di rumah sendiri?

Merdeka diri adalah bagaimana kita bersikap positif dalam semua aspek yang bertujuan membawa kebaikan kepada diri, keluarga, sahabat andai, jiran tetangga, negara, bangsa dan agama kita. Merdeka kita kerana kita telah punya pendidikan yang baik dan dapat menilai buruk dan baik sesuatu perkara dan tentunya dengan ilmu yang ada boleh membantu orang lain dari belenggu kekusutan.

Cuma jangan sekali merasa ada yang cuba merdekakan diri dari peraturan yang Allah telah tetapkan. Sempena bulan Ramadhan dan hadirnya Syawal serta ulangtahun sambutan kemerdekaan negara, merdekakan diri kita dari fikiran dan perbuatan yang boleh membawa kepada kehancuran bangsa, agama dan negara yang kita cintai.

Isnin, 15 Ogos 2011

Aku dan Bendera

Hari ini  tanggal 15 Ogos 2011, ini bermakna hanya lagi 16 hari ke tarikh keramat 31 Ogos 2011 dan itu tandanya ulang tahun kemerdekaan negara yang aku cintai Malaysia akan genap ke 54 tahun. Aku dan bendera, secara jelasnya diriku dan juga bendera - Jalur Gemilang adalah sebagai satu semangat kesetiaanku, lambang kemerdekaan diriku, di sini tumpah darahku, di sini aku dibesarkan, di sini aku mendapat pendidikan, di sini aku mendapat rezeki, di sini ialah Malaysia negaraku.

Di ruang pejabatku pasti ada bendera kecil mengiringi semangat dan jati diriku. Di rumahku ada bendera besar yang sentiasa berkibar di balkoniku, Di kampungku pasti ibu juga akan mengibarkan bendera di pintu rumah kami.  Setiap kali ada acara rasmi, nyanyian lagu Negaraku akan memulakan majlis,, dan tidak ada siapa tahu kalau aku bangga menyanyi dengan hati yang sebak.  Aku bangga punya Jalur Gemilang dan bukan hanya sebagai penghias di laman pejabat tetapi penghias semangat jati diriku sebagai anak watan MALAYSIA.
Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan Kali Ke-54.  

Ahad, 14 Ogos 2011

"Rumah Tepi Jeram Dan Berdekatan Dengan Pantai"

Rumah bagaimana impianku? Kalau sesiapa yang bertanya kepada diriku bab rumah, aku tergambar sebuah rumah sederhana yang terletak tidak jauh dari air terjun atau jeram dan di balik jendela rumah, aku boleh melihat pantai memutih dan air laut membiru sambil aku mendengar deruan air terjun/jeram yang mengalir. Semestinya ada jalan raya sebagai jalan penghubung ke bandar.  

Kawanku gelak dan gelak... aku pun gelak sama. Aku tidak pasti gelak aku juga sebagai mengiakan bahawa apa yang tergambar dalam anganku itu hanya fantasi dan tidak akan jadi realiti? dan aku gelak sendirian...

Mungkin anganku itu belandaskan kehidupanku semasa di Pulau Pisang. Rumah penginapan kami yang diduduki hanya seketika ketika musim buah mengilhamkan aku.  Rumah kami atas bukit dan di belakang rumah kami ada anak sungai yang hanya berair bila musim hujan dan akan mengalir deras sebagai jeram. Sementara di bawah pula ada pantai yang dapat kulihat air pasang dan surut serta mendengar deruan ombak. Itu di pulau yang hanya boleh mendengar bunyi sang tokek dan cengkerek. 

Aku dambakan ianya menjadi satu realiti bila berada di tanah besar. Persoalannya di mana lokasinya ada sedemikian? Mungkinkah akan menjadi realiti? sehingga kini aku ingin mencari lokasi serta gambaran dalam dambaan aku itu. Mana tahu kan.. aku bisa boleh berlari anak untuk mandi di jeram dan seterusnya berlari menyusuri anak bukit untuk santai di pantai pula... yang nyata angan aku ini bisa membuat aku tersenyum sendirian.

Khamis, 11 Ogos 2011

Bila Aku Jadi Pemerhati Pada Zaman Yang Rakus


Bila Aku Jadi Pemerhati Pada Zaman Yang Rakus

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Ramai Ingin bertakhta tanpa mahkota
Istana Putra idaman bertakhta
Menjadi sultan tidak berdarjat
Tidak terhormat dan berdaulat
Halal dan haram peduli apa

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Ramai  berangan jadi panglima
Mendabik dada  ingin digeruni 
Namun tiada pedang di tangan
Hanya kata pembelit bicara
Lawan dan kawan jadi saingan
Asal kuasa dalam genggaman

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Bila bendahara lebih sudu dari kuah
Gerak kerja bagai tukul dengan pemahat
Berangan menjadi yang terhormat
Namun kata selalu tersekat
Rakyat jelata suka menyakat

Bila aku menjadi pemerhati  pada zaman yang rakus;
Bila pendita menjadi  buta
Ilmu di dada tidak berguna
Pangkat dan kuasa itu diminta
Hilang takut pada yang kuasa
Makmum hanyut bersama dosa
Amanah Allah tidak diusaha
Takut kuasa hilang di mata
Peduli apa aku sudah dijanji syurga

Bila aku pemerhati  pada zaman yang rakus;
Bangsaku hanya banyak kata membuta tuli
Dari fakta, nilai hati dan budi
Pada yang Esa pun bisa ditolak tepi
Apa lagi  manusia tiada guna lagi erti
Demi hasad dan dengki
Bangsa sendiri petualang negeri..

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Dan aku kini mengerti
Selagi bernama manusia duniawi
Nafsu itu yang tertinggi
Walau tahu hilang harga diri...
Aku mengerti....
Dan anda juga mengerti?
Bisakah kita hanya goyang kaki?

Syanz AbRaoof
10 Ogos 2011 @ 1.50 am.

Isnin, 8 Ogos 2011

Bila Pelatihku MURTAD - Bahagian 1.

Hatiku amat tersentuh bila membaca surat khabar, menonoton di TV dan membaca  penulisan di blog-blog berkaitan isu murtad.  Astaghafirullah!. Menjadi bertambah hairan aku dibuatnya, apabila individu yang mempunyai kuasa dalam dasar bertelagah sesama sendiri. Semakin hilang rasa hormatku pada pemimpin parti-parti tersebut.  Adakah hanya beretorik dan saling tunding jari sahaja tanpa tindakan akan menyelesaikan masalah akidah..?

Biarlah kepimpinan parti tersebut  semakin hilang kredibilitinya itu dimamah waktu dengan krisis moral yang tak sudah. Berharap gabungan politik yang tidak matang dan hanya pandai bercakap sahaja (siang malam berdakwah (kononnya) dan berceramah) akan terkedu sambil mendongak langit. Sambil itu kot kalau lah  mereka dapat berfikir, "apa tanggungjawabnya selepas ini"? Aku pun tak berminat nak cerita parti-parti ini yang tiada kaitan dengan aku. Aku lebih suka hendak kongsi pengalaman aku ketika aku bekerja di sebuah pusat pemulihan di mana ada di kalangan "remaja" tersebut telah menjadi mangsa kepada situasi dalam kemelut dewasa ini iaitu murtad.

Sekadar perkongsian cerita melalui pengalaman bertugas. Aku amat bersyukur sebenarnya dapat bekerja dan menimba pengalaman di pusat itu. Pengalaman menyelia beberapa "remaja" yang  menjadi murtad dengan mengikuti serta mengamalkan ajaran Kristian dan Budha perlu dikongsi bersama sebagai satu pengajaran dan ikhtibar untuk kita.  Aku akan cerita kisah "Remaja A" lebih dahulu.

"Remaja A" berasal dari sebuah kampung pendalaam dari negeri C. Behijrah ke kota demi mencari kehidupan yang lebih bermakna dan akhirnya terjerumus ke lembah hina.  Remaja A hanya gadis desa yang amat sederhana rupa parasnya, pendidikan tidak tamat sekolah rendah pun. Menjadi pengunjung kota dan akhirnya saban malam dirinya menjadi mangsa kunjungan sang lelaki. Kehidupan yang daif dan kurang pendidikan apa tah lagi pengetahuan agama membuatkan dirinya mudah dipengaruhi.  Apa tah lagi pengaruh rakan sebangsa dengannya  yang kelihatan hidup mewah mula mendatangkan rasa ingin tahu pada dirinya. Melalui temannya itu akhirnya Remaja A brkenalan dengan mubaligh kristian dari sebuah gereja yang berhampiran dengan tempat operasinya cari makan. 

Kunjungan mubaligh yang bijak memujuk dengan menawarkan bantuan kewangan dan tempat tinggal memberi kehidupan bermakna kepada remaja ini. Dek terhutang budi maka hari-hari berikutnya RemajaA telah sudi masuk ke gereja dan mengakui telah meminum "holly water" . Seolah telah ada satu akad darinya bahawa dirinya kini adalah pengikut di gereja tersebut.  Remaja A masih meneruskan kerja-kerjanya walaupun telah dibela oleh pihak gereja tersebut.  Sehinggalah suatu hari Remaja A ini telah ditahan dan diselamatkan oleh pihak polis kerana terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan masuk ke pusat tempat aku bekerja.

Kemasukan semua bakal penghuni perlulah menjalani pemerikasan seluruh tubuh badan.   MasyaAllah! terdapat rantai dan loket salib dipakai dan saya tak ingat sama ada Remaja A ini mempunyai tatoo atau tidak. Bermula dari peristiwa pemeriksaan seluruh badan itulah membuatkan kami rasa runtun dan bertindak untuk memulihkan akidahnya. Secara perlahan-lahan mula mendekati Remaja A ini dan berkenalan lebih lanjut, dan akhirnya cerita seperti di atas saya dapati. 

Kerungsiangan saya bertambah tinggi apabila remaja A ini disuruh mengucap tetapi langsung tidak boleh menyebutnya   Berulang kali diajar, tetapi tetap hampa malah untuk menyebut kalimah Allah pun terlalu sukar. Rasa sedih, marah, takut dan entah apa perasaan telah bercampur baur dalam diriku ketika itu. Ingin sahaja beri "penampar Bugis" rasanya.. kot-kot dia boleh tersedar dari khayalannya.

Pemerhatian saya  terhadap remaja ini  ketika itu, dirinya seolah berada dalam dunianya sendiri, bila cakap bab agama pandangaan matanya terus layu dan malas.  Walaubagaimana pun sikap dirinya sebagai gadis kampung dan Melayu tetap ada iaitu sopan dan hormat kepada semua staf. Pemantauan dari masa ke semasa dan tindakan mewajibkan remaja ini masuk kelas agama dan dirujuk kepada pejabat agama untuk memulihkan aqidahnya banyak membantu untuk remaja ini sedar kembali. 

Beberapa bulan kemudian, saya perhatikan remaja ini dari suasana murung, menyendiri dan kurang jaga kebersihan akhirnya dapat mengikuti peraturan dan disiplin pusat dengan baik. Sebagai seorang penyelia kepada remaja ini saya mula gembira dan paling gembira bila ibu bapa telah dapat mnerimanya kembali sehinggalah remaja itu dibebaskan dari pusat.

Waktu ini, hati saya mula berkata dan tertanya-tanya adakah kehidupan Remaja A itu akan tamat kesudahannya setelah remaja ini balik kampung bersama keluarga? Kemungkinankah golongan ini akan mencari dan menagih janjinya kembali??????
 

Ahad, 31 Julai 2011

Melodi Perpisahan

Apa erti titis airmata 
Di depan ku menangis tersedu 
Hapuskan saja tinggalkan diriku 
Kalau itu semua yang kau mahu 

Bila ada pilihan yang lain 
Ku harap kau jujur di hatimu 
Katakan saja aku memaklumi 
Kalau itu yang engkau maksudkan 

Wajahmu tampan semua orang tahu 
Tak mungkin kau pilih diriku
Dan kini antara kita berdua 
Belum ada ikatan yang pasti

Lupakan saja kenangan lama
Hanya satu pintaku padamu 
Simpan di hati simpanlah sayang 
Cintaku yang tulus dan suci

Bila ada pilihan yang lain 
Ku harap kau jujur di hatimu 
Katakan saja aku memaklumi
Kalau itu yang engkau maksudkan

Wajahmu tampan semua orang tahu
Tak mungkin kau pilih diriku 
Dan kini antara kita berdua 
Belum ada ikatan yang pasti

Lupakan saja kenangan lama 
Hanya satu pintaku padamu
Simpan di hati simpanlah sayang 
Cintaku yang tulus dan suci


Sabtu, 30 Julai 2011

Terkenang sahabat yang telah tiada... Hayati Ab Hamid

Dalam masa melayan lagu-lagu lama terutama lagu yang mengiringi pembesaran ketika aku di alam remaja, lagu-lagu dari penyanyi seperti Rano Karno, Jamal Mirdad, Endang S. Taurina, Hatty Koes Endang, Jamal Abdillah, Sharifah Aini, Broery Marantika selain penyanyi 60an yang sentiasa segar ke udara mlalui corong-corong radio. Dalam aku melayan lagu Broery tetiba aku terharu kerana lagu yang dinyanyikan Broery ini amat menyentuh hatiku.  Lagu yang juga dipopularkan oleh Sharifah Aini bertajuk "Jatuh Cinta" membuatkan aku teringat kepada seorang sahabatku bernama Hayati Abdul Hamid. 

Mengingat kembali sahabatku ini, orangnya tinggi lampai, berwajah putih dan amat anggun pada pandanganku. Persahabatan kami bermula dari Darjah 1 hingga ke Tingkatan 5 dan kebetulannya kami memang mempunyai hubungan kekeluargaan.  Dari zaman kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Benut  hingga ke zaman remaja di Sekolah Menengah Benut kami sentiasa bersama dari darjah 1 hingga darjah 6, dan dari tingkatan 1 hingga 5, kami tidak pernah berpisah.  Aku mengkaguminya kerana dia memang bijak dalam penulisan, bahasanya indah dan tersusun ternyata terbukti apabila dalam SPM beliau mendapat A dalam subjek Bahasa Malaysia.  Dalam berbicara ada sahaja ayatnya yang akan memberikan satu analogi kepada pemikirannya yang menunjukkan dia memang seorang yang matang. Sebagai sahabat sejak kecil kami saling becerita apa sahaja topik mengenai kehidupan, cita-cita dan juga tidak lari dalam aspek cinta. Keserasian kami adalah kami sentiasa menjadi pendengar walaupun cerita yang diucapkan telah beberapa kali diceritakan.

Selesai tamat belajar aku mula keluar dari pekan Benut ke Johor Bahru dengan memulakan kerjayaku sebagai kerani di sebuah syarikat swata dan juga menjadi guru sandaran di bebarap buah sekolah di sekitar Johor Bahru sehinggalah aku kembali ke pekan Benut dan mengajar di sekolahku sendiri iaitu Sekolah Kebangsaan Benut. Bermula dari sini kami bertambah rapat, almaklum semua rakan sekolah telah berhijrah dan aku pulak kembali ke kampung mengajar. Kami ibarat belangkas dan kesempatan masa cuti kami akan bersama dan di sinilah aku mengetahui sahabatku ini memang suka menyanyi dan lagu dendangan Sharifah Aini adalah di antara lagu kegemarannya. Lagu Jatuh Cinta yang dilagukan akan diperjelaskan bait-bait liriknya kepada aku dengan menyatakan betapa indah senikatanya..dan berkata ' Syant! cuba ko dengar lirik lagu ini.. sebening air telaga, sebersih awan tak tercelah.."  menggambarkan betapa suci dan bersihnya perasaan dia kepada pasangannya,,," dan lagu ini juga dia nyanyikan semasa dia dirawat di hospital kerana sakit kenser. 

Apabila suaminya menghubungiku menyatakan pesanan sahabatku memintaku menjaganya walau hanya semalaman membuatkan aku terus mengambil cuti dan balik ke Johor. Pada masa itu aku telah bekerja di Rembau, Negeri Sembilan.Semalaman aku menemanninya, mengimbau kisah-kisah lama dari zaman kanak-kanak, remaja dan tentunya kesengsaraan yang ditanggung sebagai isteri dan juga kesakitan wabak kenser yang ditanggungnya. Sebagai sahabat tentunya akau banyak memebri memberinya perangsang untuk hidup dan menerima ujian Allah dengan penuh redha di samping usaha dan tawakal.  Aku tahu dia begitu tabah dengan dugaan yang Allah berikan padanya, sebagai seorang isteri dan mempunyai anak yang kecil seramai 3 orang tentu hatinya dan perasaanya cukup derita. Dalam ksakitan namun ada ketenangan di raut wajahnya.  Sebagai menghiburkan hatinya sendiri dia sempat meminta untukku sama-sama menyanyi lagu yang digemarinya dan tentunya lagu "Jatuh Cinta". 

Dua minggu selepas aku menemanninya, aku mendapat perkhabaran bahawa dia telah meninggalkan aku buat selamanya.. dan terkilanya aku kerana ketika itu aku berada di Kota Bahru Kelantan kerana menghadiri seminar. Malam ini (lewat dinihari) tiba-tiba terimbau kenangan ini apabila mendengar lagu dendangan Broery Marantika - Jatuh Cinta membuatkan aku menjadi sayu.  Sebagai sahabat aku tak pernah melupaimu walau sudah hampir 15 tahun  berlalu dan aku akan panjatkan doa agar dirimu dalam ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmatiNya.  Al-fatihah.. Amin. 

Jumaat, 29 Julai 2011

Nasi Pilau Zanzibar


Gambar di atas adalah nasi pilau ayam (pilau kuku) yang telah saya buat melalui resepi yang dikirim oleh sahabat dari Zanzibar, Tanzania. First time saya buat pada 17 Julai 2011 bersempena juadah berbuka puasa pada hari nisfu Syaaban. Rasanya sedap, cara membuatnya juga mudah dan ringkas.  Sebenarnya kalau bahan semua ada ianya mudah untuk kita nak mulakan memasak-masak ni. Paling utama dalam bab memasak ni kena emosi yang stabil, ini adalah kerana bila memasak dengan rasa gembira, ikhlas dan scara tidak langsung kita akan seronok.. bila seronok hasilnya wow! marvelous.. oklah, jom kita lihat-lihat resepinya.. (berdasarkan apa yang telah saya buat pada 17 Julai 2011)
 
Bahan A:
Ayam atau daging (4 ketul untuk 4 orang makan) potong ikut minat dan kuantiti ikut bilangan orang.
kentang potong dadu (3 biji boleh potong 4 atau 6) bergantung saiz kentang 
Blend bawang besar(2 labu) dan halia(i inci) bersama garam (kemudian tumiskan, slepas itu masukkan daging atau ayam dan kentang. masak hingga empok. (elok kentang di masukkan kemudian takut ianya bnyek bila di masak lama) bila dah empok asingkan isi dengan sopnya. saya suka lebihkan bawang karana rasanya akan lebih manis dan sedap.

Bahan B:
Blend bawang kecil (4 biji), bawang putih (2 biji), jintan (1 sudu teh), lada hitam 91 sudu teh) dan buah pala (2 biji). Selepas itu tumiskan bahan ini dan masukkan air sop daging atau ayam tadi.  Bila medidih masukkan brasmati atau beras biasa. Apabila beras dah mula hampir kering masukkan ayam atau daging beserta kentang tadi. Tunggu hingga masak dan boleh dihidangkan.

Lauk sampingan:
Menurut sahabat saya.. dimakan dengan salad (buah tomato dihiris dicampur garam), kalau ikut selera kita ianya ibarat acar. Pada hari itu saya menggunakan bahan yang sedia ada iaitu.. timun, lobak, bawang besar dan lada yang semua saya mayang dan kemudia saya letak cuka dan gula.. wow memang best... Acar ini akan menaturalkan rasanya kalau kita rasa muak.
 

 


Paling best kalau kita minum dengan air limau.. sekurangnya akan membakar kalori dalam badan... oleh kerana batuk maka elok kalau dibuat air limau campur madu.
 

Difahamkan nasi pilau ini adalah makanan harian orang Zanzibar.  Ringkas dan mengenyangkan. Sedap pun sedap (bergantung kepada kemahiran sendiri dan adaya kreativiti masing-masing mengikut selera). Boleh tambah biji gajus, badam atau kismis sebagai penambah selera dan mencantikkan makanan apabial dihidang.
Sesuai dihidang untuk berbuka puasa dan juga jamuan seperti rumah terbuka bila musim raya nanti.  Selamat mencuba..

Ahad, 26 Jun 2011

Jati Diri Ogi' - bahagian 1.

Semenjak akhir-akhir ini saya agak aktif dalam meneroka kehidupan salasilah keturunan saya iaitu Bugis. Apa sahaja berkaitan Bugis (Ogi') akan menjadi keutamaan saya. Mungkin kerana selama ini saya hanya seolah keseoarangan dalam pncarian.  Rupanya saya tidak keseorangan bila secara tidak langsungnya saya bertemu dengan ramai rakan Bugis yang sama pemikiran dan mempunyai aspirasi yang mulia terhadap keturunan kami iaitu Bugis.

Apa yang ingin saya nyatakan melalui luahan naluriku.. sampai bilakah semangat ini akan berterusan.. Saya tahu semua rakan-rakanku mempunyai jati diri yang tersendiri, melalui peradaban yang tertentu seperti makanan tradisinya, pemakaiannya, adat istiadat dan juga bahasanya.  Alangkah indahnya kesemua elemen ini dapat digabungkan dan akan terus menjadi warisan tanpa ada sebarang hakisan.

Saya tertarik dengan saranan seorang sahabat walau apa pun kemodenan jangan sekali kita ubah nama lain terhadap makanan yang menjadi kebanggaan Ogi'. Sebagai contoh makanan tradisi orang Bugis seperti Burasak, Lepek Loi, Baulu Pechak, Senggarak Pepek dan banyak makanan lain yang mungkin boleh dikomersialkan tetapi kepunyaan identiti itu wajib dikekalkan melalui namanya.

Sebagai generasi sekarang ini, maka perlunya kita mempelajari dari orang terdahulu dari kita jenis masakan agar ianya akan menjadi kebanggaan kita.  Saya sendiri mengakui beberapa makanan Bugis itu sendiri baru saya ketahui dan baru saya merasainya. Ini adalah kerana tidak berlaku satu kesinambungan yang baik di antara generasi dulu dalam keluarga.  Walaubagaimana pun daya inisiatif  kita perlu untuk mengetahu dan mempelajarinya.

Selain dari jenis makanan, jati diri kita juga seharusnya dalam pengekalan nama nasab keturunan.  Apa yang saya perhati terlalu ramai telah hilang pangkalan nama gelaran nasab keluarga yang menggambarkan keturunan mereka wal hal mereka ini sememangnya layak. Ada yang menyatakan apalah ada pada nama jika kita tidak berharta.  Cuba kita lihat masyarakat dari Kelantan.. Mereka terus mengekalkan nasab mereka. Ada gelaran Nik, Che, Wan, Tuan dan mengapa bagi mereka keturunan Bugis sudah malu atau tidak mahu lagi meletakkan nama "Petta""Andik" "Daeng", "Ambok" "Induk" "Bessek" wal hal mereka sememangnya layak meneruskan gelaran nama ini. Adalah wajar bagi mereka yang menmpunyai gelaran ini meneruskan tradisi ini bagi menunjukkan salasilah keturunan Bugis terus gah dan seiring itu tentunya akan wujud sikap sayang dan ingin menjaga nasab keturunan melalui peradaban diri melalui tatalaku yang sopan.
(bersambung...)

Sabtu, 11 Jun 2011

"TETIBA HAND PHONE KU HILANG"

Semasa urusan lawatan muhibah antara dua keluarga di Terengganu, saya dan ahli keluarga sempat mengunjungi sahabat lamaku di Marang Terengganu. Sahabatku ini Puan Amree binti Abdul Rahman adalah rakan setugas di Taman Seri Puteri Rembau dahulu dan kini beliau seorang guru.  Hampir 12 tahun tidak bertemu.. Alhamdulillah akhirnya kami bertemu dengan penuh gembira. Saya dan keluarga ibarat rombongan marhaban di waktu musim hari raya.. Bayangkan kehadiran kami  semua seramai 18 orang.. Gamat rasanya.. dan tentu meriah sakan di rumah sahabatku ini. 

Rajin sungguh sahabatku ini membuat pelbagai jenis kueh muih dan kebetullannya hari itu adalah sambutan hari kelahiran anak bongsunya. Dalam sibuk berbual sakan, mengimbau kisah-kisah lalu sambil makan dan minum aku pun sengaja meletak telefon bimbitku di atas meja makanan. Oleh kerana terlalu seronok berbual dan makan-makan aku pun lupa hal telefon bimbitku.

Bila sahaja hendak beransur balik, aku pun mula memeriksa beg tanganku.. aku mendapati HP ku tiada dalam beg tangan.. tapi aku masih perasan di saat akhir aku ada meletaknya di atas meja sederet dengan hidangan makanan tadi.

Aku pun mula mencari di atas meja tapi tak ketemu juga. Akhirnya Azman suami sahabatku mendail no telefon ku.. terdengar sayup-sayup tapi tidak tahu di mana.. seolah-olah bunyi telefon itu berada di mana-mana. Masalahnya tiada siapa yang melihat HP ku tu berada di atas meja tu, tapi aku begitu yakin sememangnya di situ aku meletaknya.

Segala pelusuk ruang tamu dicari tapi tak jumpa tetapi kedengaran sayup-sayup bila didail.  Masalahnya HPku volume brnada rendah.  Terasa malu juga aku kepada sahabatku dan ahli keluarganya.  Pertama kali datang sudah bikin kecoh dan dalam masa yang sama terasa lucu juga.
 
Dalam suasana sibuk mencari, aku berhampiran dengan ibuku.. dan pastinya nada deringan HPku begitu jelas. Aku memandang ibuku dan ibuku memandang ku penuh suspen. Aku hampiri poket baju ibuku dan aku mula ketawa kerana terdapat dua HP di dalam poket baju kurungnya. Ibuku terpinga dan turut ketawa. Confirm orang tua ini ingat HPku adalah HPnya lalu menyimpannya dalam poket bajunya kerana HPku pun lebih kurang sama miliknya. Hahahahaa... satu rumah berderai ketawa... dan mungkin juga ibu mmpunyai masalah lupa.. heheheh tapi kami faham. Maafkan kami wahai tuan rumah akan kekecuhan ini. Aku pasti peristiwa ini akan menjadi agnda lucu kami bila bertemu kembali.