Khamis, 3 Mei 2012

ANAK JOHOR: PAKAIAN BAJU KURUNG TELUK BELANGA

Di antara koleksi baju kurung teluk belangaku  yang bersembat
Dari zaman kanak-kanak lagi, saya telah  memakai baju kurung bersembat.  100% baju kurung yang ibuku buat semuanya bersembat, termasuk baju uniform sekolahku. Hanya lewat lima tahun kebelakangan ini, sudah ada baju kurungku yang sudah tidak disembat. Ini adalah kerana mata ibuku sudah tidak awas lagi  untuk menyembat  dan sebenarnya baju yang dibeli siap atau ditempah memang  tidak bersembat. Ini memberi cabaran untukku untuk memahirkan jahit sembatanku.  

Sedikit latar belakang sejarah baju kurung teluk belanga inisaya kongsikan. Ianya bermula pada abad 19 di zaman pemerintahan  Sultan Abu Bakar, Sultan Johor (Tahun1866). Baginda telah memperkenalkan baju kurung ini yang mengambil sempena dari Teluk Belanga,Singapura ibu negeri Johor yang akhirnya baju kurung ini menjadi ciri khas kepada pemakaiaan rakyat negeri Johor.  Lazimnya kami di negeri Johor memanggil baju kurung sama ada untuk lelaki atau wanita yang kemudian dipanggil baju melayu teluk belanga bagi lelaki. Baju kurung lelaki hanya dibezakan melalui koceknya (poket) iaitu lelaki mempunyai satu  kocek kecil di bahagian atas dan dua kocek besar di bahagian bawah baju. Masa saya kecil-kecil saya mempunyai pengalaman memakai baju kurung yang mempunyai satu kocek di bahagian atas. Inilah membezakan baju kurung lelaki dan wanita, di mana akhirnya kocek untuk wanita diletakkan sama ada di kiri  atau kanan di bahagian pesak yang dijahit secara tersembunyi.
Inilah contoh sembatan di baju kurungku
Sembatan di bahagian lengan, kekek dan pesak
Ini adalah sembatan di bahagian dalam 
Sembatan bawah lipatan bawah baju

Satu lagi kegemaranku ialah suka memakai baju kurung berwarna polos yang dipadankankan dengaan kain tenun atau songket.  Saya mempunyai 7 helai baju kurung berwarna polos dari pelbagai warna. Percaya atau tidak kesemua kain itu juga saya pakai  dengan mengikatnya cara tradisional.  Maksud saya ialah saya menyusun kain  (menjadi bunga kain) itu dengan menggunakaan pending atau 'tali ikat perut" sama ada dari kain yang dijadikan khas untuk mengikat kain tadi.  Ini adalah kerana saya merasa sayang jika kain ini digunting kerana kain ini juga boleh dijadikan kain sampin jika perlu.
Kain tenun sutra Bugis di mana dua sambungan kain  perlu disembat dan memastikan pertemuan dua corak itu dapat disamakan
Ramai rakan-rakan pelik melihat saya yang masih mengekalkan tradisi ini.  Sebenarnya kalau kita dah biasa dan menyayangi budaya ini, ianya tidak langsung menjadi masalah malah saya amat berbangga sekali kerana masih mengekalkan tradisi ini.

Baju Kurung Teluk Belanga Bertulang Belut
Ciri khas baju kurung teluk belanga ialah lehernya perlulah benar-benar terletak bukan memperlihatkan kerangka tulang leher atau baju terjuih jatuh. Kekemasan lehernya juga dapat dilihat melalui tikaman tulang belutnya.  Adalah kurang elok dipandang mata jika baju kurung teluk belanga yang dipakai kelihatan besar lehernya dan terjueh jatuh kerana tidak terletak kemas.
Ini adalah di antara koleksi baju kurung  teluk belanga bersembat berwarna polos yang kupadankan dengan kain tenun sutera Bugis, kain tenun atau kain songket. Pemilihan warna polos menjadi kegemaranku kerana ianya melihat kesepaduan tradisionalnya.  Menjadi kebiasaanku baju kurung teluk belanga berwarna polos ini akan saya pakai pada hari Jumaat dan juga jika saya menghadiri temuduga atau meberi taklimat. Pada hemat saya ianya mempunyai nilaian sendiri yang berimejkan tradisional dan koprat. 

Ini ada padanan baju kurung teluk belanga bersembat dengan kain tenunan hasil tenunan nenek saya







Kain tenun hasil tenunan nenekku 


Semoga semangat jati diri sebagai anak Bugis Johor ini akan ada sampai hujung nyawa dan amat berharap tradisi ini akan kekal selamaanya.

Tiada ulasan: