Rabu, 31 Ogos 2011

Selamat Hari Kebangsaan ke-54 Tahun Malaysiaku.

  • Hari ini hari Rabu 31 Ogos 2011 bersamaan 2 Syawal 1432H. Hari ini genap 54 tahun negaraku Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan. 
  • Selamat Hari Kebangsaan ke 54 buat negaraku Malaysia yang amat kucintai. 
  • Semoga ekonomi, politiknya sentiasa setabil dan ini akan menjadikan perkembangan sosialnya juga baik.  
  • Aku sentiasa berdoa agar diriku dan semua warganegra Malaysia dapat hidup harmoni dan aman damai. 
  • Aku amat berbangga dengan Malaysia. 
  • Sesungguhnya kejayaan Malaysia pada hari ini dalam usia 54 tahun (usia yang matang) adalah hasil kebijaksanaan para pemimpin-pemimpin kita dan gembelengan usaha dan kesetiaan kita sebagai warganegara. 
  • Ucapan terima kasih kepada semua tokoh-tokoh perjuangan terdahulu dalam usaha mereka untuk meraih kemerdekaan yang kita kecapi sekarang. 
  • Lagu Negaraku dan kibaran Jalur Gemilang akan sentiasa mengiringiku dalam semangat cintakan Agama, Bangsa dan Negara. 
  • Semoga negara kita selamat dari segala ancaman anasir.
  • Terima kasih dan tahniah untuk diri kita sebagai rakyat Malaysia. 
  • Salam Merdeka.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Politik BAIK Politik JAHAT

Bencinya saya melihat manusia yang rakus dengan kuasa. Sebelum berkuasa bukan main tuduh itu korap, ini maksiat, sana menyeleweng, sana biadap, sana kapir, sini lebih Islam. Tapi bila dah berkuasa fitnah semakin menjadi-jadi, maksiat sendiri sudah buat, rasuah tersembunyi di sebalik kopiah/serban, hilang semua sahsiah diri yang dikata lebih islamik. Kalau dulu berkata kononnya kerajaan tak buat apa, maksiat sana sini, tiada apa bentuk pembangunan, harta rakyat dirampas.. tapi bila dah berkuasa tiada pun penambahbaikan yang dilihat hanya kerakusan sahaja.. Jati diri sebagai anak watan Malaysia bergelar bangsa Melayu yang penuh tatasusila hanyut bersama kerakusan. Pokoknya kuasa dan duit dan tambah lagi satu seks.. Tidak kira siapa dan berlatarbelakang siapa. Bila kemaruk kuasa hilang halal haram... erm.. lagi satu golongan yang dikatakan ilmuan agama, tolonglah jaga maruah diri anda agar gelaran ustaz tidak dihina kerana pegangan politik anda yang membuatkan anda bias dalam membicarakan hal agama. Selagi ingin berkuasa tentu ada perlawanan di antara "politik baik" dan "politik jahat". Tepuk dada tanya iman.

Sabtu, 20 Ogos 2011

BUMI DIPIJAK DAN LANGIT DIJUNJUNG

BUMI DIPIJAK DAN LANGIT DIJUNJUNG

'Ali Setan' didakwa hasut kariah
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AliSetan_didakwahasutkariah/Article

Respon komen saya di Berita Harian Online 21 Ogos 2011

komen saya pertama:
macam-macam kategori ustaz ada di Malaysia ni.. ada ustaz berjaya jadi ustaz sebab sistem pendidikan kita dan makan gaji dengan kerajaan tapi hentam kerajaan. ada ustaz yang mahu jadi ustaz politik.. tahu halal haram tapi buat fitnah nombor satu.. ada ustaz yang tegakkan kebenaran tanpa memihak parti politi akan dipulau pula, ada nama ustaz tapi ustaz kaki zina dan perogol, ada nama ustaz benteras judi, maksiat dan murtad tetap disanggah oleh ustaz lain.. so ustaz dulu2 yang ajar kita betul2 ikut kitab jer kot yang tak fikir duit dan gelemer yg boleh kita dengar? entahlah,, tanya dada dan iman sendiri....Suka · Seorang

Komen saya kedua:
kerana UMNO ramai yang jadi ustaz dan ramai juga dapat pekerjaan yang baik.. dan ramai juga orang PAS nak jadi kakitangan kerajaan..
6 jam yang lalu · Suka · 2 orang

Komen saya ketiga:
sebagai warganegara Rukun Negara kita kena ikut.. dan Sebagai Islam Rukun Iman dan Rukun Islam ada.. ajar agar kita semua jadi berhemah.. agar Islam itu sentiasa nampak cantik dan mulia.. janganlah kerana kita bersereban dan berjanggut maka orang lain dikata tak Islam.. jangan kata bila ada lambang Islam maka yg lain kafir.. Tuhankan maha mengetahui.. jaganlah kita takbur.. tuduh sebarangan orang tu kafir dan sebagainya.. "biar mati dalam iman" sepatah kata P. Ramlee..
5 jam yang lalu · Suka · Seorang

Bila saya mmbaca komen-komen pembaca akbar berita harian ini.. ada beberapa kategori.. ada yang begitu ekstrim mengutuk pihak yang tak disukai contohnya puak PAS akan mengutuk puak UMNO, ada juga yang mengutuk Berita Harian (BH) sebagai pencetus punca dan menuduh akhbar ini kafir (masyaAllah) dan ada juga yang memihak kepada UMNO dan tak juga berkecuali dengan merasionalkan keadaan. Sebenarnya saya amat hairan dengan sikap bangsa saya yang suka sangat bertelagah dan menuduh sesama sendiri.. bukankah kita orang Melayu punya ketertiban yang tinggi, dan jangan lupa negara kita negara berdaulat punya pemimpin, punya ketua Negeri dan Ketua Negara dan kita juga mendokong Rukun Negara dan Perlembagaan Negara.

Sebagai umat Islam kita juga ada Rukun Iman dan Rukun Islam di samping ilmu agama yang telah kita pelajari. Bukankah bertambah molek jika perpaduan sedia ada dimurni dan diperkukuhkan..? mengapa ada setimen menolak undang-undang, rukun yang sedia ada.. bukan kah cara begini akan mencetus pergolakkan..? Marilah kita perkuatkan benteng agama kita.. janganlah terlalu nak berkuasa hingga lupa di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung. Janganlah terlalu rakus hendak merebut takhta yang hanya sementara (di dunia sahaja). Maafkan saya jika kita bukan sealiran tetapi demi Agama, Bangsa dan Negara apa salahnya kita bersatu di bawah satu panji-panji.

Khamis, 18 Ogos 2011

Bila Sang Bunga Menyanyi Rindu

Bila ada sedikit rasa dalam hati
mata nan redup terus layu bila dibuai getiran rindu
sang akal mula berbisik mengoda hati
lalu hati berkata ya aku rindu
lalu mata tanpa segan memaksa bibir untuk tersenyum..
kerana hati mula berbunga
bagai kuntum mekar dan mewangi
dibawa angin meniup lembut
terhidu harum putra nan gagah
ingin saja mengkhabarkan pada alam
bahawa sang bunga sudah menyanyi rindu..
walau mulut berlagu menahan malu
dan katakan saja yang bunga memang sudah rindu..

Rabu, 17 Ogos 2011

Belenggu MERDEKA

Bila menyebut merdeka tertanya di hati saya.. bagaimana erti merdeka kepada setiap orang. Merdeka negara Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris tertera pada 31 Ogos 1957. Ini fakta. Tetapi bagaimana pula kemerdekaan diri dari konflik diri, penjajahan budaya, penjajahan ideologi, penjajahan ekonomi dan penjajahan dari kemelut hasad dengki dalam diri sendiri. Bagaimana harus kita merdekakan diri?

Merdekakah kita kalau kita begitu bebas berkata tanpa rasa segan dan silu dan hanya mengundang padah? Tutur kata kita hanya membawa kepada penjajahan minda dan tiada langsung membawa kebaikan dalam dunia sejagat? Mungkinkah kita beranggapan bila merdeka maka tidak perlu lagi berbicara seperti bicara nenek moyang kita? Atau yang dikatakan merdeka apabila kita sudah berani membicarakan apa sahaja walau mungkin kita tahu ayat yang kita tuturkan itu adalah ayat fitnah?

Atau mungkinkah itu tandanya yang diri kita masih dalam belenggu penjajahan iaitu penjajahan minda? Atau kita sudah merasa malu bila kita kekal dengan jati diri kita sebagaimana budaya resam nenek moyang kita? Adakah ini bermakna diri kita masih dijajah dan penjajah tetap tinggalkan budayanya agar kita terus terjajah walaupun pada lahirnya diri kita telah dimerdekakan?

Bila sebut merdeka terlalu banyak rasanya yang perlu diperkatakan. Saya suka ianya lebih tertumpu kepada individu itu sendiri bagaimana kemerdekaan yang dikehendaki. Merdeka diri akan lebih terasa kalau ekonomi kita mantap, makanya kita boleh sahaja bebas bergerak dan memiliki sesuatu yang kita hajati kerana kita mampu dan tentunya belenggu kemiskinan tidak lagi menjajah hidup kita. Tetapi merdekakah kita kalau kalau orang luar menjadi tuan di rumah sendiri?

Merdeka diri adalah bagaimana kita bersikap positif dalam semua aspek yang bertujuan membawa kebaikan kepada diri, keluarga, sahabat andai, jiran tetangga, negara, bangsa dan agama kita. Merdeka kita kerana kita telah punya pendidikan yang baik dan dapat menilai buruk dan baik sesuatu perkara dan tentunya dengan ilmu yang ada boleh membantu orang lain dari belenggu kekusutan.

Cuma jangan sekali merasa ada yang cuba merdekakan diri dari peraturan yang Allah telah tetapkan. Sempena bulan Ramadhan dan hadirnya Syawal serta ulangtahun sambutan kemerdekaan negara, merdekakan diri kita dari fikiran dan perbuatan yang boleh membawa kepada kehancuran bangsa, agama dan negara yang kita cintai.

Isnin, 15 Ogos 2011

Aku dan Bendera

Hari ini  tanggal 15 Ogos 2011, ini bermakna hanya lagi 16 hari ke tarikh keramat 31 Ogos 2011 dan itu tandanya ulang tahun kemerdekaan negara yang aku cintai Malaysia akan genap ke 54 tahun. Aku dan bendera, secara jelasnya diriku dan juga bendera - Jalur Gemilang adalah sebagai satu semangat kesetiaanku, lambang kemerdekaan diriku, di sini tumpah darahku, di sini aku dibesarkan, di sini aku mendapat pendidikan, di sini aku mendapat rezeki, di sini ialah Malaysia negaraku.

Di ruang pejabatku pasti ada bendera kecil mengiringi semangat dan jati diriku. Di rumahku ada bendera besar yang sentiasa berkibar di balkoniku, Di kampungku pasti ibu juga akan mengibarkan bendera di pintu rumah kami.  Setiap kali ada acara rasmi, nyanyian lagu Negaraku akan memulakan majlis,, dan tidak ada siapa tahu kalau aku bangga menyanyi dengan hati yang sebak.  Aku bangga punya Jalur Gemilang dan bukan hanya sebagai penghias di laman pejabat tetapi penghias semangat jati diriku sebagai anak watan MALAYSIA.
Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan Kali Ke-54.  

Ahad, 14 Ogos 2011

"Rumah Tepi Jeram Dan Berdekatan Dengan Pantai"

Rumah bagaimana impianku? Kalau sesiapa yang bertanya kepada diriku bab rumah, aku tergambar sebuah rumah sederhana yang terletak tidak jauh dari air terjun atau jeram dan di balik jendela rumah, aku boleh melihat pantai memutih dan air laut membiru sambil aku mendengar deruan air terjun/jeram yang mengalir. Semestinya ada jalan raya sebagai jalan penghubung ke bandar.  

Kawanku gelak dan gelak... aku pun gelak sama. Aku tidak pasti gelak aku juga sebagai mengiakan bahawa apa yang tergambar dalam anganku itu hanya fantasi dan tidak akan jadi realiti? dan aku gelak sendirian...

Mungkin anganku itu belandaskan kehidupanku semasa di Pulau Pisang. Rumah penginapan kami yang diduduki hanya seketika ketika musim buah mengilhamkan aku.  Rumah kami atas bukit dan di belakang rumah kami ada anak sungai yang hanya berair bila musim hujan dan akan mengalir deras sebagai jeram. Sementara di bawah pula ada pantai yang dapat kulihat air pasang dan surut serta mendengar deruan ombak. Itu di pulau yang hanya boleh mendengar bunyi sang tokek dan cengkerek. 

Aku dambakan ianya menjadi satu realiti bila berada di tanah besar. Persoalannya di mana lokasinya ada sedemikian? Mungkinkah akan menjadi realiti? sehingga kini aku ingin mencari lokasi serta gambaran dalam dambaan aku itu. Mana tahu kan.. aku bisa boleh berlari anak untuk mandi di jeram dan seterusnya berlari menyusuri anak bukit untuk santai di pantai pula... yang nyata angan aku ini bisa membuat aku tersenyum sendirian.

Khamis, 11 Ogos 2011

Bila Aku Jadi Pemerhati Pada Zaman Yang Rakus


Bila Aku Jadi Pemerhati Pada Zaman Yang Rakus

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Ramai Ingin bertakhta tanpa mahkota
Istana Putra idaman bertakhta
Menjadi sultan tidak berdarjat
Tidak terhormat dan berdaulat
Halal dan haram peduli apa

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Ramai  berangan jadi panglima
Mendabik dada  ingin digeruni 
Namun tiada pedang di tangan
Hanya kata pembelit bicara
Lawan dan kawan jadi saingan
Asal kuasa dalam genggaman

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Bila bendahara lebih sudu dari kuah
Gerak kerja bagai tukul dengan pemahat
Berangan menjadi yang terhormat
Namun kata selalu tersekat
Rakyat jelata suka menyakat

Bila aku menjadi pemerhati  pada zaman yang rakus;
Bila pendita menjadi  buta
Ilmu di dada tidak berguna
Pangkat dan kuasa itu diminta
Hilang takut pada yang kuasa
Makmum hanyut bersama dosa
Amanah Allah tidak diusaha
Takut kuasa hilang di mata
Peduli apa aku sudah dijanji syurga

Bila aku pemerhati  pada zaman yang rakus;
Bangsaku hanya banyak kata membuta tuli
Dari fakta, nilai hati dan budi
Pada yang Esa pun bisa ditolak tepi
Apa lagi  manusia tiada guna lagi erti
Demi hasad dan dengki
Bangsa sendiri petualang negeri..

Bila aku pemerhati pada zaman yang rakus;
Dan aku kini mengerti
Selagi bernama manusia duniawi
Nafsu itu yang tertinggi
Walau tahu hilang harga diri...
Aku mengerti....
Dan anda juga mengerti?
Bisakah kita hanya goyang kaki?

Syanz AbRaoof
10 Ogos 2011 @ 1.50 am.

Isnin, 8 Ogos 2011

Bila Pelatihku MURTAD - Bahagian 1.

Hatiku amat tersentuh bila membaca surat khabar, menonoton di TV dan membaca  penulisan di blog-blog berkaitan isu murtad.  Astaghafirullah!. Menjadi bertambah hairan aku dibuatnya, apabila individu yang mempunyai kuasa dalam dasar bertelagah sesama sendiri. Semakin hilang rasa hormatku pada pemimpin parti-parti tersebut.  Adakah hanya beretorik dan saling tunding jari sahaja tanpa tindakan akan menyelesaikan masalah akidah..?

Biarlah kepimpinan parti tersebut  semakin hilang kredibilitinya itu dimamah waktu dengan krisis moral yang tak sudah. Berharap gabungan politik yang tidak matang dan hanya pandai bercakap sahaja (siang malam berdakwah (kononnya) dan berceramah) akan terkedu sambil mendongak langit. Sambil itu kot kalau lah  mereka dapat berfikir, "apa tanggungjawabnya selepas ini"? Aku pun tak berminat nak cerita parti-parti ini yang tiada kaitan dengan aku. Aku lebih suka hendak kongsi pengalaman aku ketika aku bekerja di sebuah pusat pemulihan di mana ada di kalangan "remaja" tersebut telah menjadi mangsa kepada situasi dalam kemelut dewasa ini iaitu murtad.

Sekadar perkongsian cerita melalui pengalaman bertugas. Aku amat bersyukur sebenarnya dapat bekerja dan menimba pengalaman di pusat itu. Pengalaman menyelia beberapa "remaja" yang  menjadi murtad dengan mengikuti serta mengamalkan ajaran Kristian dan Budha perlu dikongsi bersama sebagai satu pengajaran dan ikhtibar untuk kita.  Aku akan cerita kisah "Remaja A" lebih dahulu.

"Remaja A" berasal dari sebuah kampung pendalaam dari negeri C. Behijrah ke kota demi mencari kehidupan yang lebih bermakna dan akhirnya terjerumus ke lembah hina.  Remaja A hanya gadis desa yang amat sederhana rupa parasnya, pendidikan tidak tamat sekolah rendah pun. Menjadi pengunjung kota dan akhirnya saban malam dirinya menjadi mangsa kunjungan sang lelaki. Kehidupan yang daif dan kurang pendidikan apa tah lagi pengetahuan agama membuatkan dirinya mudah dipengaruhi.  Apa tah lagi pengaruh rakan sebangsa dengannya  yang kelihatan hidup mewah mula mendatangkan rasa ingin tahu pada dirinya. Melalui temannya itu akhirnya Remaja A brkenalan dengan mubaligh kristian dari sebuah gereja yang berhampiran dengan tempat operasinya cari makan. 

Kunjungan mubaligh yang bijak memujuk dengan menawarkan bantuan kewangan dan tempat tinggal memberi kehidupan bermakna kepada remaja ini. Dek terhutang budi maka hari-hari berikutnya RemajaA telah sudi masuk ke gereja dan mengakui telah meminum "holly water" . Seolah telah ada satu akad darinya bahawa dirinya kini adalah pengikut di gereja tersebut.  Remaja A masih meneruskan kerja-kerjanya walaupun telah dibela oleh pihak gereja tersebut.  Sehinggalah suatu hari Remaja A ini telah ditahan dan diselamatkan oleh pihak polis kerana terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan masuk ke pusat tempat aku bekerja.

Kemasukan semua bakal penghuni perlulah menjalani pemerikasan seluruh tubuh badan.   MasyaAllah! terdapat rantai dan loket salib dipakai dan saya tak ingat sama ada Remaja A ini mempunyai tatoo atau tidak. Bermula dari peristiwa pemeriksaan seluruh badan itulah membuatkan kami rasa runtun dan bertindak untuk memulihkan akidahnya. Secara perlahan-lahan mula mendekati Remaja A ini dan berkenalan lebih lanjut, dan akhirnya cerita seperti di atas saya dapati. 

Kerungsiangan saya bertambah tinggi apabila remaja A ini disuruh mengucap tetapi langsung tidak boleh menyebutnya   Berulang kali diajar, tetapi tetap hampa malah untuk menyebut kalimah Allah pun terlalu sukar. Rasa sedih, marah, takut dan entah apa perasaan telah bercampur baur dalam diriku ketika itu. Ingin sahaja beri "penampar Bugis" rasanya.. kot-kot dia boleh tersedar dari khayalannya.

Pemerhatian saya  terhadap remaja ini  ketika itu, dirinya seolah berada dalam dunianya sendiri, bila cakap bab agama pandangaan matanya terus layu dan malas.  Walaubagaimana pun sikap dirinya sebagai gadis kampung dan Melayu tetap ada iaitu sopan dan hormat kepada semua staf. Pemantauan dari masa ke semasa dan tindakan mewajibkan remaja ini masuk kelas agama dan dirujuk kepada pejabat agama untuk memulihkan aqidahnya banyak membantu untuk remaja ini sedar kembali. 

Beberapa bulan kemudian, saya perhatikan remaja ini dari suasana murung, menyendiri dan kurang jaga kebersihan akhirnya dapat mengikuti peraturan dan disiplin pusat dengan baik. Sebagai seorang penyelia kepada remaja ini saya mula gembira dan paling gembira bila ibu bapa telah dapat mnerimanya kembali sehinggalah remaja itu dibebaskan dari pusat.

Waktu ini, hati saya mula berkata dan tertanya-tanya adakah kehidupan Remaja A itu akan tamat kesudahannya setelah remaja ini balik kampung bersama keluarga? Kemungkinankah golongan ini akan mencari dan menagih janjinya kembali??????
 

Ahad, 31 Julai 2011

Melodi Perpisahan

Apa erti titis airmata 
Di depan ku menangis tersedu 
Hapuskan saja tinggalkan diriku 
Kalau itu semua yang kau mahu 

Bila ada pilihan yang lain 
Ku harap kau jujur di hatimu 
Katakan saja aku memaklumi 
Kalau itu yang engkau maksudkan 

Wajahmu tampan semua orang tahu 
Tak mungkin kau pilih diriku
Dan kini antara kita berdua 
Belum ada ikatan yang pasti

Lupakan saja kenangan lama
Hanya satu pintaku padamu 
Simpan di hati simpanlah sayang 
Cintaku yang tulus dan suci

Bila ada pilihan yang lain 
Ku harap kau jujur di hatimu 
Katakan saja aku memaklumi
Kalau itu yang engkau maksudkan

Wajahmu tampan semua orang tahu
Tak mungkin kau pilih diriku 
Dan kini antara kita berdua 
Belum ada ikatan yang pasti

Lupakan saja kenangan lama 
Hanya satu pintaku padamu
Simpan di hati simpanlah sayang 
Cintaku yang tulus dan suci


Sabtu, 30 Julai 2011

Terkenang sahabat yang telah tiada... Hayati Ab Hamid

Dalam masa melayan lagu-lagu lama terutama lagu yang mengiringi pembesaran ketika aku di alam remaja, lagu-lagu dari penyanyi seperti Rano Karno, Jamal Mirdad, Endang S. Taurina, Hatty Koes Endang, Jamal Abdillah, Sharifah Aini, Broery Marantika selain penyanyi 60an yang sentiasa segar ke udara mlalui corong-corong radio. Dalam aku melayan lagu Broery tetiba aku terharu kerana lagu yang dinyanyikan Broery ini amat menyentuh hatiku.  Lagu yang juga dipopularkan oleh Sharifah Aini bertajuk "Jatuh Cinta" membuatkan aku teringat kepada seorang sahabatku bernama Hayati Abdul Hamid. 

Mengingat kembali sahabatku ini, orangnya tinggi lampai, berwajah putih dan amat anggun pada pandanganku. Persahabatan kami bermula dari Darjah 1 hingga ke Tingkatan 5 dan kebetulannya kami memang mempunyai hubungan kekeluargaan.  Dari zaman kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Benut  hingga ke zaman remaja di Sekolah Menengah Benut kami sentiasa bersama dari darjah 1 hingga darjah 6, dan dari tingkatan 1 hingga 5, kami tidak pernah berpisah.  Aku mengkaguminya kerana dia memang bijak dalam penulisan, bahasanya indah dan tersusun ternyata terbukti apabila dalam SPM beliau mendapat A dalam subjek Bahasa Malaysia.  Dalam berbicara ada sahaja ayatnya yang akan memberikan satu analogi kepada pemikirannya yang menunjukkan dia memang seorang yang matang. Sebagai sahabat sejak kecil kami saling becerita apa sahaja topik mengenai kehidupan, cita-cita dan juga tidak lari dalam aspek cinta. Keserasian kami adalah kami sentiasa menjadi pendengar walaupun cerita yang diucapkan telah beberapa kali diceritakan.

Selesai tamat belajar aku mula keluar dari pekan Benut ke Johor Bahru dengan memulakan kerjayaku sebagai kerani di sebuah syarikat swata dan juga menjadi guru sandaran di bebarap buah sekolah di sekitar Johor Bahru sehinggalah aku kembali ke pekan Benut dan mengajar di sekolahku sendiri iaitu Sekolah Kebangsaan Benut. Bermula dari sini kami bertambah rapat, almaklum semua rakan sekolah telah berhijrah dan aku pulak kembali ke kampung mengajar. Kami ibarat belangkas dan kesempatan masa cuti kami akan bersama dan di sinilah aku mengetahui sahabatku ini memang suka menyanyi dan lagu dendangan Sharifah Aini adalah di antara lagu kegemarannya. Lagu Jatuh Cinta yang dilagukan akan diperjelaskan bait-bait liriknya kepada aku dengan menyatakan betapa indah senikatanya..dan berkata ' Syant! cuba ko dengar lirik lagu ini.. sebening air telaga, sebersih awan tak tercelah.."  menggambarkan betapa suci dan bersihnya perasaan dia kepada pasangannya,,," dan lagu ini juga dia nyanyikan semasa dia dirawat di hospital kerana sakit kenser. 

Apabila suaminya menghubungiku menyatakan pesanan sahabatku memintaku menjaganya walau hanya semalaman membuatkan aku terus mengambil cuti dan balik ke Johor. Pada masa itu aku telah bekerja di Rembau, Negeri Sembilan.Semalaman aku menemanninya, mengimbau kisah-kisah lama dari zaman kanak-kanak, remaja dan tentunya kesengsaraan yang ditanggung sebagai isteri dan juga kesakitan wabak kenser yang ditanggungnya. Sebagai sahabat tentunya akau banyak memebri memberinya perangsang untuk hidup dan menerima ujian Allah dengan penuh redha di samping usaha dan tawakal.  Aku tahu dia begitu tabah dengan dugaan yang Allah berikan padanya, sebagai seorang isteri dan mempunyai anak yang kecil seramai 3 orang tentu hatinya dan perasaanya cukup derita. Dalam ksakitan namun ada ketenangan di raut wajahnya.  Sebagai menghiburkan hatinya sendiri dia sempat meminta untukku sama-sama menyanyi lagu yang digemarinya dan tentunya lagu "Jatuh Cinta". 

Dua minggu selepas aku menemanninya, aku mendapat perkhabaran bahawa dia telah meninggalkan aku buat selamanya.. dan terkilanya aku kerana ketika itu aku berada di Kota Bahru Kelantan kerana menghadiri seminar. Malam ini (lewat dinihari) tiba-tiba terimbau kenangan ini apabila mendengar lagu dendangan Broery Marantika - Jatuh Cinta membuatkan aku menjadi sayu.  Sebagai sahabat aku tak pernah melupaimu walau sudah hampir 15 tahun  berlalu dan aku akan panjatkan doa agar dirimu dalam ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmatiNya.  Al-fatihah.. Amin. 

Jumaat, 29 Julai 2011

Nasi Pilau Zanzibar


Gambar di atas adalah nasi pilau ayam (pilau kuku) yang telah saya buat melalui resepi yang dikirim oleh sahabat dari Zanzibar, Tanzania. First time saya buat pada 17 Julai 2011 bersempena juadah berbuka puasa pada hari nisfu Syaaban. Rasanya sedap, cara membuatnya juga mudah dan ringkas.  Sebenarnya kalau bahan semua ada ianya mudah untuk kita nak mulakan memasak-masak ni. Paling utama dalam bab memasak ni kena emosi yang stabil, ini adalah kerana bila memasak dengan rasa gembira, ikhlas dan scara tidak langsung kita akan seronok.. bila seronok hasilnya wow! marvelous.. oklah, jom kita lihat-lihat resepinya.. (berdasarkan apa yang telah saya buat pada 17 Julai 2011)
 
Bahan A:
Ayam atau daging (4 ketul untuk 4 orang makan) potong ikut minat dan kuantiti ikut bilangan orang.
kentang potong dadu (3 biji boleh potong 4 atau 6) bergantung saiz kentang 
Blend bawang besar(2 labu) dan halia(i inci) bersama garam (kemudian tumiskan, slepas itu masukkan daging atau ayam dan kentang. masak hingga empok. (elok kentang di masukkan kemudian takut ianya bnyek bila di masak lama) bila dah empok asingkan isi dengan sopnya. saya suka lebihkan bawang karana rasanya akan lebih manis dan sedap.

Bahan B:
Blend bawang kecil (4 biji), bawang putih (2 biji), jintan (1 sudu teh), lada hitam 91 sudu teh) dan buah pala (2 biji). Selepas itu tumiskan bahan ini dan masukkan air sop daging atau ayam tadi.  Bila medidih masukkan brasmati atau beras biasa. Apabila beras dah mula hampir kering masukkan ayam atau daging beserta kentang tadi. Tunggu hingga masak dan boleh dihidangkan.

Lauk sampingan:
Menurut sahabat saya.. dimakan dengan salad (buah tomato dihiris dicampur garam), kalau ikut selera kita ianya ibarat acar. Pada hari itu saya menggunakan bahan yang sedia ada iaitu.. timun, lobak, bawang besar dan lada yang semua saya mayang dan kemudia saya letak cuka dan gula.. wow memang best... Acar ini akan menaturalkan rasanya kalau kita rasa muak.
 

 


Paling best kalau kita minum dengan air limau.. sekurangnya akan membakar kalori dalam badan... oleh kerana batuk maka elok kalau dibuat air limau campur madu.
 

Difahamkan nasi pilau ini adalah makanan harian orang Zanzibar.  Ringkas dan mengenyangkan. Sedap pun sedap (bergantung kepada kemahiran sendiri dan adaya kreativiti masing-masing mengikut selera). Boleh tambah biji gajus, badam atau kismis sebagai penambah selera dan mencantikkan makanan apabial dihidang.
Sesuai dihidang untuk berbuka puasa dan juga jamuan seperti rumah terbuka bila musim raya nanti.  Selamat mencuba..

Ahad, 26 Jun 2011

Jati Diri Ogi' - bahagian 1.

Semenjak akhir-akhir ini saya agak aktif dalam meneroka kehidupan salasilah keturunan saya iaitu Bugis. Apa sahaja berkaitan Bugis (Ogi') akan menjadi keutamaan saya. Mungkin kerana selama ini saya hanya seolah keseoarangan dalam pncarian.  Rupanya saya tidak keseorangan bila secara tidak langsungnya saya bertemu dengan ramai rakan Bugis yang sama pemikiran dan mempunyai aspirasi yang mulia terhadap keturunan kami iaitu Bugis.

Apa yang ingin saya nyatakan melalui luahan naluriku.. sampai bilakah semangat ini akan berterusan.. Saya tahu semua rakan-rakanku mempunyai jati diri yang tersendiri, melalui peradaban yang tertentu seperti makanan tradisinya, pemakaiannya, adat istiadat dan juga bahasanya.  Alangkah indahnya kesemua elemen ini dapat digabungkan dan akan terus menjadi warisan tanpa ada sebarang hakisan.

Saya tertarik dengan saranan seorang sahabat walau apa pun kemodenan jangan sekali kita ubah nama lain terhadap makanan yang menjadi kebanggaan Ogi'. Sebagai contoh makanan tradisi orang Bugis seperti Burasak, Lepek Loi, Baulu Pechak, Senggarak Pepek dan banyak makanan lain yang mungkin boleh dikomersialkan tetapi kepunyaan identiti itu wajib dikekalkan melalui namanya.

Sebagai generasi sekarang ini, maka perlunya kita mempelajari dari orang terdahulu dari kita jenis masakan agar ianya akan menjadi kebanggaan kita.  Saya sendiri mengakui beberapa makanan Bugis itu sendiri baru saya ketahui dan baru saya merasainya. Ini adalah kerana tidak berlaku satu kesinambungan yang baik di antara generasi dulu dalam keluarga.  Walaubagaimana pun daya inisiatif  kita perlu untuk mengetahu dan mempelajarinya.

Selain dari jenis makanan, jati diri kita juga seharusnya dalam pengekalan nama nasab keturunan.  Apa yang saya perhati terlalu ramai telah hilang pangkalan nama gelaran nasab keluarga yang menggambarkan keturunan mereka wal hal mereka ini sememangnya layak. Ada yang menyatakan apalah ada pada nama jika kita tidak berharta.  Cuba kita lihat masyarakat dari Kelantan.. Mereka terus mengekalkan nasab mereka. Ada gelaran Nik, Che, Wan, Tuan dan mengapa bagi mereka keturunan Bugis sudah malu atau tidak mahu lagi meletakkan nama "Petta""Andik" "Daeng", "Ambok" "Induk" "Bessek" wal hal mereka sememangnya layak meneruskan gelaran nama ini. Adalah wajar bagi mereka yang menmpunyai gelaran ini meneruskan tradisi ini bagi menunjukkan salasilah keturunan Bugis terus gah dan seiring itu tentunya akan wujud sikap sayang dan ingin menjaga nasab keturunan melalui peradaban diri melalui tatalaku yang sopan.
(bersambung...)

Sabtu, 11 Jun 2011

"TETIBA HAND PHONE KU HILANG"

Semasa urusan lawatan muhibah antara dua keluarga di Terengganu, saya dan ahli keluarga sempat mengunjungi sahabat lamaku di Marang Terengganu. Sahabatku ini Puan Amree binti Abdul Rahman adalah rakan setugas di Taman Seri Puteri Rembau dahulu dan kini beliau seorang guru.  Hampir 12 tahun tidak bertemu.. Alhamdulillah akhirnya kami bertemu dengan penuh gembira. Saya dan keluarga ibarat rombongan marhaban di waktu musim hari raya.. Bayangkan kehadiran kami  semua seramai 18 orang.. Gamat rasanya.. dan tentu meriah sakan di rumah sahabatku ini. 

Rajin sungguh sahabatku ini membuat pelbagai jenis kueh muih dan kebetullannya hari itu adalah sambutan hari kelahiran anak bongsunya. Dalam sibuk berbual sakan, mengimbau kisah-kisah lalu sambil makan dan minum aku pun sengaja meletak telefon bimbitku di atas meja makanan. Oleh kerana terlalu seronok berbual dan makan-makan aku pun lupa hal telefon bimbitku.

Bila sahaja hendak beransur balik, aku pun mula memeriksa beg tanganku.. aku mendapati HP ku tiada dalam beg tangan.. tapi aku masih perasan di saat akhir aku ada meletaknya di atas meja sederet dengan hidangan makanan tadi.

Aku pun mula mencari di atas meja tapi tak ketemu juga. Akhirnya Azman suami sahabatku mendail no telefon ku.. terdengar sayup-sayup tapi tidak tahu di mana.. seolah-olah bunyi telefon itu berada di mana-mana. Masalahnya tiada siapa yang melihat HP ku tu berada di atas meja tu, tapi aku begitu yakin sememangnya di situ aku meletaknya.

Segala pelusuk ruang tamu dicari tapi tak jumpa tetapi kedengaran sayup-sayup bila didail.  Masalahnya HPku volume brnada rendah.  Terasa malu juga aku kepada sahabatku dan ahli keluarganya.  Pertama kali datang sudah bikin kecoh dan dalam masa yang sama terasa lucu juga.
 
Dalam suasana sibuk mencari, aku berhampiran dengan ibuku.. dan pastinya nada deringan HPku begitu jelas. Aku memandang ibuku dan ibuku memandang ku penuh suspen. Aku hampiri poket baju ibuku dan aku mula ketawa kerana terdapat dua HP di dalam poket baju kurungnya. Ibuku terpinga dan turut ketawa. Confirm orang tua ini ingat HPku adalah HPnya lalu menyimpannya dalam poket bajunya kerana HPku pun lebih kurang sama miliknya. Hahahahaa... satu rumah berderai ketawa... dan mungkin juga ibu mmpunyai masalah lupa.. heheheh tapi kami faham. Maafkan kami wahai tuan rumah akan kekecuhan ini. Aku pasti peristiwa ini akan menjadi agnda lucu kami bila bertemu kembali.

Selasa, 31 Mei 2011

PUTERI BANGSAKU

Puteri Bangsaku
Masihkah engkau menghitung
Lampu neon di kota raya yang indah
Walau sinarnya malap..

Puteriku,
Masihkah engkau duduk tersenyum
Membelai jemarimu dalam bayangan
Walau kau tahu gelapnya bayang pengundang ngeri
Tapi kau terus menghitung 
Membelai jari jemarimu..

Oh.. Oh Tun Fatimah, Tun Kudu
Bangsamu yang sopan dan berani
Pada zaman gemilangmu
Mungkin lenyap ditelan neon yang malap

Sopan lentikan jemarimu
Membentulkan cindai kerudung di kepalamu
Di sebalik wajah ayumu
Rupanya hanya ikutan di malam hari
Menghitung jari suapan duniawi

Bangunlah bangsaku
Bersama sopannya Tun Kudu
Bersama beraninya Tun Fatimah
Menentang petualang penghancur bangsa..

Puteriku..
Aku pasti
Sinar neon yang malap
Akan bertukar jua
Menjadi sinar rang bulan yang Latiff
Menyinari maya dalam sinar an-NurNya
dalam izin keRahmatanNya.

Syanz Abra
31 Mei 2011





Sabtu, 21 Mei 2011

Bila Manusia Telah Ada SPM

  • SPM bukan singkatan kepada Sijil Pelajaran Malaysia tetapi merujuk kepada pemikiran aku terhadap huruf S bermaksud "Sex", P bermaksud "Power" dan M pula bermaksud "Money". 
  • Tiga elemen ini adalah melengkapi kehidupan manusia tidak kira di mana, agama apa, keturunan apa atau nasabnya apa. 
  • Semua orang mempunyai naluri seks. Miskin kah, kaya kah, cacat kah atau tidak, lelaki atau wanita kah secara fitrahnya tetap ada keinginan seksnya.
  • Power atau kuasa? Secara tidak sedarnya semua manusia di muka bumi mempunyai kuasa. Bergantung kepada persekitaran dirinya di mana kedudukan dirinya waktu itu. Kuasa sebagai seorang abang atau kakak kepada adiknya, kuasa seorang guru kepada anak muridnya, kuasa seorang suami terhadap isterinya, kuasa ibu kepada anaknya, kuasa ketua kepada pengikutnya, kuasa majikan kepada pekerjanya dan kuasa pemerintah kepada rakyatnya dan tidak boleh dipertikaikan kuasa Allah S.W.T pencipta maha agong kepada hambaNya. 
  • Adanya kuasa maka adanya kesan dari kuasa itu. Bijak atau tidak mereka yang ada kuasa dalam menentukan objektif yang dikehendaki,  jujur atau tidak mereka dalam mengendalikan kuasa.
  • Kuasa bukan sahaja merujuk kepada isu yang besar seperti kepimpinan negara tetapi kuasa penentu dalam membuat keputusan untuk diri sendiri juga amat penting.
  • Kuasa dalam hala tuju sebuah keluarga juga penting di mana pemimpin dalam keluarga iaitu suami/bapa/ibu/isteri mengorak langkah kepada keharmonian sesebuah keluarga itu sendiri.
  • Money atau duit dan pelbagai sebutan seperti dolar, yen, pound, sterling, ringgit, peso, rupee, rupiah  atau apa sahaja mengikut ketetetapan sesebuah negara dilihat boleh membawa power dan seks menjadi tertinggi atau yang paling rendah.martabatnya. Kenapa?
  • Sesetngah individu telah dikuniakan kekuatan "power" di mana keupayaan mempengaruhi orang lain adalah skill yang boleh menjadi senjata. Di sini mungkin power boleh mempengaruhi untuk mendapatkan money mahu pun sex.
  • Money sebenarnya juga satu kuasa yang benar-benar boleh membuatkan manusia berjaya atau terus tenggelam. Kuasa membeli tentunya dengan duit yang dimiliki. Boleh membeli dan memilik apa jua barangan yang dihajati. Hatta maruah diri manusia juga boleh dibeli bila berduit. Jika tidak berduit maka ada manusia sanggup merendahkan martabat dirinya untuk menjadi pengemis, menjadi pelacur, menjadi tali barut, menjadi perasuah, menerima rasuah, membunuh, merompak dan lain-lain demi kuasa wang.  Berbohong jika tidak ada sekumit dalam diri manusia menganggap tiada wang tidak mengapa, asal penuh cinta di dada.  
  • Seks? aduh.. mungkin agak keterlaluan kita memperkatakan di sini.. tapi apa salahnya jika ianya sebagai perkongsian ilmu.. setiap manusia naluri seksnya pasti ada.. jika mahu dirujuk ilmu perkembangan manusia mengikut psikologi tentu terlalu banyak dan detail diperkatakan.  Secara jujurnya manusia berkahwin selain memupuk kasih sayang dan menghalalkan perhubungan sudah tentunya ianya juga kerana seks. Tanpa wang bagaimana mahu berkahwin? Jika tanpa kuasa/kudrat/tenaga bagaimana boleh mengukuhkan sesebuah perkahwinan? Ini bermakna dalam konteks kehidupan seharian SPM saling berkaitan dan tidak akan terpisah.
  • Ingin juga saya nyatakan dalam hubungan kekuasan dalam sudut moralnya. Dewasa ini perlakuan orang-orang ternama yang punya kuasa, punya duit terkantul dek rakus seksnya. Sejarah memperlihatkan bagaimana Kesultanan Melayu Melaka musnah dek nafsu serakah seks sultannya selain faktor penjajah. Beberapa pemimpin politik berkalibar hilang status pangkatnya dek keterlibatannya dalam skandal seks. Ketua-ketua jabatan diberi tindakan tatatertib dek berlakunya skandal seks. Hatta pemimpin-pemimpin dunia yang berkuasa dan kaya juga hilang kuasa dek masalah moralnya. 
  • Jadi bagaimana harus kita melihat sudut SPM ini? Pandangan saya biarlah kuasa yang ada jika adil, saksama, bijak menjalankan tanggungjawabnya, tahu di mana letak kuasa bila digunakan, memberi manfaat kepada orang lain akan kuasanya, maka akan selamat lah individu tersebut.
  •  Money jika digunakan pada saluran yang betul maka bertambah banyaklah ia kerana dalam keberkatan.
  • Seks sebagai satu keperluan dalam kehidupan yang telah difitrahkan oleh Allah kepada hambaNya, jika disalurkan secara halal maka selamatlah manusia ini.
  • Janganlah kita menjadikan ketiga elemen sama didahulukan sama ada seperti SPM, atau SMP atau PMS atau PSM, atau MSP atau MPS sebagai  jalan dalam mementingkan nafsu serakah semata-mata.
  • Wallahualam..

    Maaf jika saya tersilap dalam pandangan ini.

Ahad, 15 Mei 2011

Sikap Pembaca Akhbar...

  • Hari ini aku rasa terkilan apabila membaca komen-komen pengunjung di Berita Harian Online. Apa yang aku terkilan bila membaca komen-komen yang berlandaskan emosi yang membuak-buak membara kerana berbeza pemikiran.  seesetengahnya tidak mahu menerima hakikat bahawa berita yang dikeluarkan itu adalah maklumat, peristiwa dan juga sebagai ilmu pengetahuan.  
  • Kadangkala tidak membaca dahulu apa sebenar intipati cerita, baca tajuk terus melenting. Sikap beginilah membuatkan seseorang mendapat pengetahuan atau menyalahgunakan maklumat yang diterima.
  • Perbandingan pemikiran penting demi menyeimbangkan sesuatu yang didebatkan, tetapi kata-kata menghina dan menghukum mengapa kita lakukan? Sempurnakah ilmu kita? 
  • Salah kah jika ada individu yang sudi berkongsi ilmu melalui pengalaman yang dilaluinya? Bukan pengalaman itu amat berharga dan tidak semua insan diizinkan melaluinya.  Sebagai contoh merujuk kepada cerita di akhbar Berita Harian "Wardina Saffiayah, kelar tangan, tuntut cerai akibat murung selepas melahirkan anak kedua kerana meroyan.Ramai yang melihat sebagai perkongsian ilmu dan ramai juga menganggap cerita tersebut mengarut dan menuduh bukan-bukan malah ada yang menghukum dengan kata-kata yang ksat. Aduh! beginikah cara gaya khidupan rakyat dewasa ini. 
  • Dalam bab meroyan (postpartum) ini, kalau dilihat dari sudut psikologi ia terbahagi kepada tiga iaitu pringkat yang mild "postpartum blues" atau "baby blues" dan di pringkat mild ke moderate di panggil postpartum depression dan peringkat yang teruk dipanggil postpartum psychosis
  • Mreka yang baru lepas melahirkan bayi, akan melalui meroyan  cuma ada sesetengahnya sekejap dan ada juga yang lama. Salah satu sebabnya berlakunya meroyan ini adalah perubahan hormon selepas mengandung.
  • Berbalik kepada tujuan asal penulisan ini, alangkah indahnya jika permasalahan atau pengalaman orang lain jika mereka sudi untuk dikongsi seharusnya kita terima sebagai ilmu pengtahuan. Menariknya di sini dapat dilihat bagaimana pemikiran dan hati budi para pengunjung di laman tersebut memberi pandangan. Ada yang menerima dengan penuh keinsafan, ada yang baru mengetahui, ada yang memberi pandangan bernas sebagai penambahan ilmu dan agak malang rasanya bagi mereka yang cuba menyalahkan orang lain kerana keluarnya artikel sebegitu. Mungkin kita harus berlapang dada dengan segala cerca mereka yang tak kesudahan, dan berdoa bila mereka mempunyai ilmu atau pengalaman tersebut baru tahu bagaimana orang lain yang telah melaluinya.
  • Sesungguhnya ilmu itu luas dan akan semakin luas bila kita mencarinya. Smoga kita semua dalam kerahmatanNya jua.

Rabu, 11 Mei 2011

Selamat Hari Ulang Tahun UMNO ke 65 Tahun

  • Hari ini (11 Mei 2011) rupanya genap 65 tahun penubuhan UMNO.  
  • Suka duka perjuangan orang terdahulu mengahrungi pelbagai onak dan duri demi memperjuangkan bangsa Melayu di bumi tercinta amat patut dihargai. Semangat nasionalisme yang tinggi tanpa ragu-ragu memertabatkan agama, bangsa, dan negara patut kita ikuti dan sentiasa disemat dalam dada.  Pengorbanan dan harapan menggunung mereka terhadap generasi kemudian agar terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara demi kesejahteraan tanah bertuah ini perlu diteruskan tanpa ragu-ragu.
  • Perpaduan bangsa amat penting demi mendiami negara berdaulat ini. Namun begitu masih terdapat di kalangan bangsa ini yang ingin terus berpecah demi perinsip dan perjuangan masing-masing. Masihkah ada ruang dalam penyatuan ini, jika dalam diri masing-masing sentiasa menganggap dirinya sahaja yang betul?. 
  • Adakah benar bahawa hati Melayu sememangnya rapuh,  mudah memberontak dan amat sensitif? Lebih banyak dipengaruhi akan hasad dan dengki? Jika ini benar-benar berlaku sampai bila negara yang indah ini akan sejahtera 65 tahun akan datang? 
  • Sesungguhnya jauh di sudut hati aku.. aku ingin sekali Melayu itu kuat jati dirinya, dalam masa yang sama Melayu itu terus kekal dengan hati budi yang mulia dan penuh ketertiban, kerana itu adalah wajah Melayu.
  • Kusyukuri apa yang kunikmati pada hari ini dan kuucapkan terima kasih kepada semua pemimpin-pemimpin dalam UMNO yang dulu dan kini. Bagi pejuang UMNO zaman ini aku berharap kalian jadilah pemimpin yang ikhlas, amanah dan cekap demi negara ini di samping terus mewujudkan/mengekalkan perpaduan antara kaum.
  • Al-Fatihah kepada pejuang-pejuang terdahulu, semoga roh mereka adalah dalam kerahmatanNya jua. 

Selasa, 29 Mac 2011

Aku Hanya Ibarat Bebayang

AKU HANYA IBARAT BEBAYANG

Mungkin aku ibarat bebayang
yang pernah hadir bertandang
dalam sudut hatimu
seketika 
di kala aku diraikan

Mungkin juga aku hanya bagai angin sepoi
meniup lembut di sudut telingamu
di kala engkau ingin dibelai manja
tika hatimu pilu dan sayu

Mungkin juga bagai air di muara
ada pasang dan surutnya
hadir dan pergi
mengikut masa dan tikanya
yang bisa hanya sabar menanti
dan sabar menanti
kerna aku pasti
Tuhan mengerti apa yang aku nanti...

SYANZ ABDUL RAOOF
29 MAC 2011

Jumaat, 4 Mac 2011

Sampai Mana Bisa Mendada

Sampai Mana Bisa Mendada

Jalannya bagai merak
yang cantik dan mendada
mengepak dan berlegar
hebat dengan bulu yang indah lagi menawan

Langkahnya bagai sang kuda
laju dan pantas
berlari dalam waktu
untuk mencapai destinasi

Matanya helang yang terbang
meninjau alam semesta
dengan renungan tajam
akan menjunam mencari mangsa

Sejauh mana megahnya
ilmu di dada
jika tiada sopan dan silunya
maka hancur ditelan malu...
sejauh mana pantasnya mengejar waktu
jika hanya mahu mencela
akan hilang serinya jua
sejauh mana tajam pandangannya
meninjau apa yang tercela
akan terjunam jua
dek kerakusannya

Bukan ilmu di dada sekadar kata
tapi sahsiah diri membuka mata

Syanz Abra
4 Mac 2011