Ahad, 26 Jun 2011

Jati Diri Ogi' - bahagian 1.

Semenjak akhir-akhir ini saya agak aktif dalam meneroka kehidupan salasilah keturunan saya iaitu Bugis. Apa sahaja berkaitan Bugis (Ogi') akan menjadi keutamaan saya. Mungkin kerana selama ini saya hanya seolah keseoarangan dalam pncarian.  Rupanya saya tidak keseorangan bila secara tidak langsungnya saya bertemu dengan ramai rakan Bugis yang sama pemikiran dan mempunyai aspirasi yang mulia terhadap keturunan kami iaitu Bugis.

Apa yang ingin saya nyatakan melalui luahan naluriku.. sampai bilakah semangat ini akan berterusan.. Saya tahu semua rakan-rakanku mempunyai jati diri yang tersendiri, melalui peradaban yang tertentu seperti makanan tradisinya, pemakaiannya, adat istiadat dan juga bahasanya.  Alangkah indahnya kesemua elemen ini dapat digabungkan dan akan terus menjadi warisan tanpa ada sebarang hakisan.

Saya tertarik dengan saranan seorang sahabat walau apa pun kemodenan jangan sekali kita ubah nama lain terhadap makanan yang menjadi kebanggaan Ogi'. Sebagai contoh makanan tradisi orang Bugis seperti Burasak, Lepek Loi, Baulu Pechak, Senggarak Pepek dan banyak makanan lain yang mungkin boleh dikomersialkan tetapi kepunyaan identiti itu wajib dikekalkan melalui namanya.

Sebagai generasi sekarang ini, maka perlunya kita mempelajari dari orang terdahulu dari kita jenis masakan agar ianya akan menjadi kebanggaan kita.  Saya sendiri mengakui beberapa makanan Bugis itu sendiri baru saya ketahui dan baru saya merasainya. Ini adalah kerana tidak berlaku satu kesinambungan yang baik di antara generasi dulu dalam keluarga.  Walaubagaimana pun daya inisiatif  kita perlu untuk mengetahu dan mempelajarinya.

Selain dari jenis makanan, jati diri kita juga seharusnya dalam pengekalan nama nasab keturunan.  Apa yang saya perhati terlalu ramai telah hilang pangkalan nama gelaran nasab keluarga yang menggambarkan keturunan mereka wal hal mereka ini sememangnya layak. Ada yang menyatakan apalah ada pada nama jika kita tidak berharta.  Cuba kita lihat masyarakat dari Kelantan.. Mereka terus mengekalkan nasab mereka. Ada gelaran Nik, Che, Wan, Tuan dan mengapa bagi mereka keturunan Bugis sudah malu atau tidak mahu lagi meletakkan nama "Petta""Andik" "Daeng", "Ambok" "Induk" "Bessek" wal hal mereka sememangnya layak meneruskan gelaran nama ini. Adalah wajar bagi mereka yang menmpunyai gelaran ini meneruskan tradisi ini bagi menunjukkan salasilah keturunan Bugis terus gah dan seiring itu tentunya akan wujud sikap sayang dan ingin menjaga nasab keturunan melalui peradaban diri melalui tatalaku yang sopan.
(bersambung...)

Sabtu, 11 Jun 2011

"TETIBA HAND PHONE KU HILANG"

Semasa urusan lawatan muhibah antara dua keluarga di Terengganu, saya dan ahli keluarga sempat mengunjungi sahabat lamaku di Marang Terengganu. Sahabatku ini Puan Amree binti Abdul Rahman adalah rakan setugas di Taman Seri Puteri Rembau dahulu dan kini beliau seorang guru.  Hampir 12 tahun tidak bertemu.. Alhamdulillah akhirnya kami bertemu dengan penuh gembira. Saya dan keluarga ibarat rombongan marhaban di waktu musim hari raya.. Bayangkan kehadiran kami  semua seramai 18 orang.. Gamat rasanya.. dan tentu meriah sakan di rumah sahabatku ini. 

Rajin sungguh sahabatku ini membuat pelbagai jenis kueh muih dan kebetullannya hari itu adalah sambutan hari kelahiran anak bongsunya. Dalam sibuk berbual sakan, mengimbau kisah-kisah lalu sambil makan dan minum aku pun sengaja meletak telefon bimbitku di atas meja makanan. Oleh kerana terlalu seronok berbual dan makan-makan aku pun lupa hal telefon bimbitku.

Bila sahaja hendak beransur balik, aku pun mula memeriksa beg tanganku.. aku mendapati HP ku tiada dalam beg tangan.. tapi aku masih perasan di saat akhir aku ada meletaknya di atas meja sederet dengan hidangan makanan tadi.

Aku pun mula mencari di atas meja tapi tak ketemu juga. Akhirnya Azman suami sahabatku mendail no telefon ku.. terdengar sayup-sayup tapi tidak tahu di mana.. seolah-olah bunyi telefon itu berada di mana-mana. Masalahnya tiada siapa yang melihat HP ku tu berada di atas meja tu, tapi aku begitu yakin sememangnya di situ aku meletaknya.

Segala pelusuk ruang tamu dicari tapi tak jumpa tetapi kedengaran sayup-sayup bila didail.  Masalahnya HPku volume brnada rendah.  Terasa malu juga aku kepada sahabatku dan ahli keluarganya.  Pertama kali datang sudah bikin kecoh dan dalam masa yang sama terasa lucu juga.
 
Dalam suasana sibuk mencari, aku berhampiran dengan ibuku.. dan pastinya nada deringan HPku begitu jelas. Aku memandang ibuku dan ibuku memandang ku penuh suspen. Aku hampiri poket baju ibuku dan aku mula ketawa kerana terdapat dua HP di dalam poket baju kurungnya. Ibuku terpinga dan turut ketawa. Confirm orang tua ini ingat HPku adalah HPnya lalu menyimpannya dalam poket bajunya kerana HPku pun lebih kurang sama miliknya. Hahahahaa... satu rumah berderai ketawa... dan mungkin juga ibu mmpunyai masalah lupa.. heheheh tapi kami faham. Maafkan kami wahai tuan rumah akan kekecuhan ini. Aku pasti peristiwa ini akan menjadi agnda lucu kami bila bertemu kembali.

Selasa, 31 Mei 2011

PUTERI BANGSAKU

Puteri Bangsaku
Masihkah engkau menghitung
Lampu neon di kota raya yang indah
Walau sinarnya malap..

Puteriku,
Masihkah engkau duduk tersenyum
Membelai jemarimu dalam bayangan
Walau kau tahu gelapnya bayang pengundang ngeri
Tapi kau terus menghitung 
Membelai jari jemarimu..

Oh.. Oh Tun Fatimah, Tun Kudu
Bangsamu yang sopan dan berani
Pada zaman gemilangmu
Mungkin lenyap ditelan neon yang malap

Sopan lentikan jemarimu
Membentulkan cindai kerudung di kepalamu
Di sebalik wajah ayumu
Rupanya hanya ikutan di malam hari
Menghitung jari suapan duniawi

Bangunlah bangsaku
Bersama sopannya Tun Kudu
Bersama beraninya Tun Fatimah
Menentang petualang penghancur bangsa..

Puteriku..
Aku pasti
Sinar neon yang malap
Akan bertukar jua
Menjadi sinar rang bulan yang Latiff
Menyinari maya dalam sinar an-NurNya
dalam izin keRahmatanNya.

Syanz Abra
31 Mei 2011





Sabtu, 21 Mei 2011

Bila Manusia Telah Ada SPM

  • SPM bukan singkatan kepada Sijil Pelajaran Malaysia tetapi merujuk kepada pemikiran aku terhadap huruf S bermaksud "Sex", P bermaksud "Power" dan M pula bermaksud "Money". 
  • Tiga elemen ini adalah melengkapi kehidupan manusia tidak kira di mana, agama apa, keturunan apa atau nasabnya apa. 
  • Semua orang mempunyai naluri seks. Miskin kah, kaya kah, cacat kah atau tidak, lelaki atau wanita kah secara fitrahnya tetap ada keinginan seksnya.
  • Power atau kuasa? Secara tidak sedarnya semua manusia di muka bumi mempunyai kuasa. Bergantung kepada persekitaran dirinya di mana kedudukan dirinya waktu itu. Kuasa sebagai seorang abang atau kakak kepada adiknya, kuasa seorang guru kepada anak muridnya, kuasa seorang suami terhadap isterinya, kuasa ibu kepada anaknya, kuasa ketua kepada pengikutnya, kuasa majikan kepada pekerjanya dan kuasa pemerintah kepada rakyatnya dan tidak boleh dipertikaikan kuasa Allah S.W.T pencipta maha agong kepada hambaNya. 
  • Adanya kuasa maka adanya kesan dari kuasa itu. Bijak atau tidak mereka yang ada kuasa dalam menentukan objektif yang dikehendaki,  jujur atau tidak mereka dalam mengendalikan kuasa.
  • Kuasa bukan sahaja merujuk kepada isu yang besar seperti kepimpinan negara tetapi kuasa penentu dalam membuat keputusan untuk diri sendiri juga amat penting.
  • Kuasa dalam hala tuju sebuah keluarga juga penting di mana pemimpin dalam keluarga iaitu suami/bapa/ibu/isteri mengorak langkah kepada keharmonian sesebuah keluarga itu sendiri.
  • Money atau duit dan pelbagai sebutan seperti dolar, yen, pound, sterling, ringgit, peso, rupee, rupiah  atau apa sahaja mengikut ketetetapan sesebuah negara dilihat boleh membawa power dan seks menjadi tertinggi atau yang paling rendah.martabatnya. Kenapa?
  • Sesetngah individu telah dikuniakan kekuatan "power" di mana keupayaan mempengaruhi orang lain adalah skill yang boleh menjadi senjata. Di sini mungkin power boleh mempengaruhi untuk mendapatkan money mahu pun sex.
  • Money sebenarnya juga satu kuasa yang benar-benar boleh membuatkan manusia berjaya atau terus tenggelam. Kuasa membeli tentunya dengan duit yang dimiliki. Boleh membeli dan memilik apa jua barangan yang dihajati. Hatta maruah diri manusia juga boleh dibeli bila berduit. Jika tidak berduit maka ada manusia sanggup merendahkan martabat dirinya untuk menjadi pengemis, menjadi pelacur, menjadi tali barut, menjadi perasuah, menerima rasuah, membunuh, merompak dan lain-lain demi kuasa wang.  Berbohong jika tidak ada sekumit dalam diri manusia menganggap tiada wang tidak mengapa, asal penuh cinta di dada.  
  • Seks? aduh.. mungkin agak keterlaluan kita memperkatakan di sini.. tapi apa salahnya jika ianya sebagai perkongsian ilmu.. setiap manusia naluri seksnya pasti ada.. jika mahu dirujuk ilmu perkembangan manusia mengikut psikologi tentu terlalu banyak dan detail diperkatakan.  Secara jujurnya manusia berkahwin selain memupuk kasih sayang dan menghalalkan perhubungan sudah tentunya ianya juga kerana seks. Tanpa wang bagaimana mahu berkahwin? Jika tanpa kuasa/kudrat/tenaga bagaimana boleh mengukuhkan sesebuah perkahwinan? Ini bermakna dalam konteks kehidupan seharian SPM saling berkaitan dan tidak akan terpisah.
  • Ingin juga saya nyatakan dalam hubungan kekuasan dalam sudut moralnya. Dewasa ini perlakuan orang-orang ternama yang punya kuasa, punya duit terkantul dek rakus seksnya. Sejarah memperlihatkan bagaimana Kesultanan Melayu Melaka musnah dek nafsu serakah seks sultannya selain faktor penjajah. Beberapa pemimpin politik berkalibar hilang status pangkatnya dek keterlibatannya dalam skandal seks. Ketua-ketua jabatan diberi tindakan tatatertib dek berlakunya skandal seks. Hatta pemimpin-pemimpin dunia yang berkuasa dan kaya juga hilang kuasa dek masalah moralnya. 
  • Jadi bagaimana harus kita melihat sudut SPM ini? Pandangan saya biarlah kuasa yang ada jika adil, saksama, bijak menjalankan tanggungjawabnya, tahu di mana letak kuasa bila digunakan, memberi manfaat kepada orang lain akan kuasanya, maka akan selamat lah individu tersebut.
  •  Money jika digunakan pada saluran yang betul maka bertambah banyaklah ia kerana dalam keberkatan.
  • Seks sebagai satu keperluan dalam kehidupan yang telah difitrahkan oleh Allah kepada hambaNya, jika disalurkan secara halal maka selamatlah manusia ini.
  • Janganlah kita menjadikan ketiga elemen sama didahulukan sama ada seperti SPM, atau SMP atau PMS atau PSM, atau MSP atau MPS sebagai  jalan dalam mementingkan nafsu serakah semata-mata.
  • Wallahualam..

    Maaf jika saya tersilap dalam pandangan ini.

Ahad, 15 Mei 2011

Sikap Pembaca Akhbar...

  • Hari ini aku rasa terkilan apabila membaca komen-komen pengunjung di Berita Harian Online. Apa yang aku terkilan bila membaca komen-komen yang berlandaskan emosi yang membuak-buak membara kerana berbeza pemikiran.  seesetengahnya tidak mahu menerima hakikat bahawa berita yang dikeluarkan itu adalah maklumat, peristiwa dan juga sebagai ilmu pengetahuan.  
  • Kadangkala tidak membaca dahulu apa sebenar intipati cerita, baca tajuk terus melenting. Sikap beginilah membuatkan seseorang mendapat pengetahuan atau menyalahgunakan maklumat yang diterima.
  • Perbandingan pemikiran penting demi menyeimbangkan sesuatu yang didebatkan, tetapi kata-kata menghina dan menghukum mengapa kita lakukan? Sempurnakah ilmu kita? 
  • Salah kah jika ada individu yang sudi berkongsi ilmu melalui pengalaman yang dilaluinya? Bukan pengalaman itu amat berharga dan tidak semua insan diizinkan melaluinya.  Sebagai contoh merujuk kepada cerita di akhbar Berita Harian "Wardina Saffiayah, kelar tangan, tuntut cerai akibat murung selepas melahirkan anak kedua kerana meroyan.Ramai yang melihat sebagai perkongsian ilmu dan ramai juga menganggap cerita tersebut mengarut dan menuduh bukan-bukan malah ada yang menghukum dengan kata-kata yang ksat. Aduh! beginikah cara gaya khidupan rakyat dewasa ini. 
  • Dalam bab meroyan (postpartum) ini, kalau dilihat dari sudut psikologi ia terbahagi kepada tiga iaitu pringkat yang mild "postpartum blues" atau "baby blues" dan di pringkat mild ke moderate di panggil postpartum depression dan peringkat yang teruk dipanggil postpartum psychosis. 
  • Mreka yang baru lepas melahirkan bayi, akan melalui meroyan  cuma ada sesetengahnya sekejap dan ada juga yang lama. Salah satu sebabnya berlakunya meroyan ini adalah perubahan hormon selepas mengandung.
  • Berbalik kepada tujuan asal penulisan ini, alangkah indahnya jika permasalahan atau pengalaman orang lain jika mereka sudi untuk dikongsi seharusnya kita terima sebagai ilmu pengtahuan. Menariknya di sini dapat dilihat bagaimana pemikiran dan hati budi para pengunjung di laman tersebut memberi pandangan. Ada yang menerima dengan penuh keinsafan, ada yang baru mengetahui, ada yang memberi pandangan bernas sebagai penambahan ilmu dan agak malang rasanya bagi mereka yang cuba menyalahkan orang lain kerana keluarnya artikel sebegitu. Mungkin kita harus berlapang dada dengan segala cerca mereka yang tak kesudahan, dan berdoa bila mereka mempunyai ilmu atau pengalaman tersebut baru tahu bagaimana orang lain yang telah melaluinya.
  • Sesungguhnya ilmu itu luas dan akan semakin luas bila kita mencarinya. Smoga kita semua dalam kerahmatanNya jua.

Rabu, 11 Mei 2011

Selamat Hari Ulang Tahun UMNO ke 65 Tahun

  • Hari ini (11 Mei 2011) rupanya genap 65 tahun penubuhan UMNO.  
  • Suka duka perjuangan orang terdahulu mengahrungi pelbagai onak dan duri demi memperjuangkan bangsa Melayu di bumi tercinta amat patut dihargai. Semangat nasionalisme yang tinggi tanpa ragu-ragu memertabatkan agama, bangsa, dan negara patut kita ikuti dan sentiasa disemat dalam dada.  Pengorbanan dan harapan menggunung mereka terhadap generasi kemudian agar terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara demi kesejahteraan tanah bertuah ini perlu diteruskan tanpa ragu-ragu.
  • Perpaduan bangsa amat penting demi mendiami negara berdaulat ini. Namun begitu masih terdapat di kalangan bangsa ini yang ingin terus berpecah demi perinsip dan perjuangan masing-masing. Masihkah ada ruang dalam penyatuan ini, jika dalam diri masing-masing sentiasa menganggap dirinya sahaja yang betul?. 
  • Adakah benar bahawa hati Melayu sememangnya rapuh,  mudah memberontak dan amat sensitif? Lebih banyak dipengaruhi akan hasad dan dengki? Jika ini benar-benar berlaku sampai bila negara yang indah ini akan sejahtera 65 tahun akan datang? 
  • Sesungguhnya jauh di sudut hati aku.. aku ingin sekali Melayu itu kuat jati dirinya, dalam masa yang sama Melayu itu terus kekal dengan hati budi yang mulia dan penuh ketertiban, kerana itu adalah wajah Melayu.
  • Kusyukuri apa yang kunikmati pada hari ini dan kuucapkan terima kasih kepada semua pemimpin-pemimpin dalam UMNO yang dulu dan kini. Bagi pejuang UMNO zaman ini aku berharap kalian jadilah pemimpin yang ikhlas, amanah dan cekap demi negara ini di samping terus mewujudkan/mengekalkan perpaduan antara kaum.
  • Al-Fatihah kepada pejuang-pejuang terdahulu, semoga roh mereka adalah dalam kerahmatanNya jua. 

Selasa, 29 Mac 2011

Aku Hanya Ibarat Bebayang

AKU HANYA IBARAT BEBAYANG

Mungkin aku ibarat bebayang
yang pernah hadir bertandang
dalam sudut hatimu
seketika 
di kala aku diraikan

Mungkin juga aku hanya bagai angin sepoi
meniup lembut di sudut telingamu
di kala engkau ingin dibelai manja
tika hatimu pilu dan sayu

Mungkin juga bagai air di muara
ada pasang dan surutnya
hadir dan pergi
mengikut masa dan tikanya
yang bisa hanya sabar menanti
dan sabar menanti
kerna aku pasti
Tuhan mengerti apa yang aku nanti...

SYANZ ABDUL RAOOF
29 MAC 2011

Jumaat, 4 Mac 2011

Sampai Mana Bisa Mendada

Sampai Mana Bisa Mendada

Jalannya bagai merak
yang cantik dan mendada
mengepak dan berlegar
hebat dengan bulu yang indah lagi menawan

Langkahnya bagai sang kuda
laju dan pantas
berlari dalam waktu
untuk mencapai destinasi

Matanya helang yang terbang
meninjau alam semesta
dengan renungan tajam
akan menjunam mencari mangsa

Sejauh mana megahnya
ilmu di dada
jika tiada sopan dan silunya
maka hancur ditelan malu...
sejauh mana pantasnya mengejar waktu
jika hanya mahu mencela
akan hilang serinya jua
sejauh mana tajam pandangannya
meninjau apa yang tercela
akan terjunam jua
dek kerakusannya

Bukan ilmu di dada sekadar kata
tapi sahsiah diri membuka mata

Syanz Abra
4 Mac 2011

Ahad, 27 Februari 2011

Rindu Diresapi Cemburu

Rindu Diresapi Cemburu

Pabila tanpa bisikan suara
yang menyapa aku
dari kejauhan
membuat aku rindu
berganti cemburu..

Rindu  itu juga buat aku berani
mengaku dalam malu
yang aku mula rasa terasing
dalam benci diri ada rindu
dan dalam rindu mula meragu

Bila rindu diresapi cemburu
meragu dan merindu
saling berganti 
dalam waktu yang berlalu

Rindu juga membuat aku 
merasa bodoh 
dalam bijaknya aku bersuara
aku akur  cemburu yang tidak pasti
hanya buat aku lesu

Dalam rindu ada cemburu
yang bisa ganggu lenaku
dan aku benci ini berlaku
biar biar biar engkau berlalu
wahai cemburu
dan tinggalkan hanya rindu
bertapa dalam diriku 
kerana aku tahu dalam diam
kau juga merindu...

Syanz Ab Raoof
27 Feb. 2011
22:00


Sabtu, 26 Februari 2011

AKU PUNYA TAPI BUKAN MILIK AKU

Aku Punya Tapi Bukan Milik Ku

hadir dia setiap detik
dalam angan
dalam mimpi
dalam jaga
dalam duka
dalam suka

candanya
membuat aku suka
dan kadang membuat aku rasa salah
begitu aku tetap rindu

dia
bukan milik ku
walau apa cara
dia tetap bukan milik ku
walau hati dan mindanya
ada dalam kalbu ku

semadu mana bicaranya
semegah mana nasabnya
seindah mana sifatnya
dia bukan milik ku
walau dia ada dalam diriku

syant abra
26 Feb 2011

Sabtu, 19 Februari 2011

Seteguh Sang Batu Menahan Ombak




Bila ombak memecah pantai
berjuta pasir berselerakan
menghuni pantai yang setia menanti
kadang kembali hanyut bersama ombak

Bila ombak membadai
sang batu masih bisa senyum
kerana dia tahu..
teguhnya batu
membidas ombak..
berbakti menyelamat pantai
juga dia tahu
 peritnya rasa menahan
tamparan ombak
hanya seketika musim

Antara ombak, pantai dan batu
bisa bersatu
dalam harmoni
pabila angin yang garang dan getir
bertukar lembut sayup sepoi berlalu..

Indah
sayu
syahadu
bila sang pantai
sang ombak
sang batu
bersatu menjadi satu
dalam menentu hala tuju
redha dalam ketentuan Yang Maha Satu


Syanz Abdul Raoof
10 Mac 2010 

Khamis, 17 Februari 2011

JAWAPAN KEPADA NIK AZIZ

JAWAPAN KEPADA NIK AZIZ

oleh Dr. Mahathir bin Mohamad pada pada 16hb Februari 2011 pukul 11.45 pagi
1. Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

2. Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.

3. Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.

4. Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.

5. Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.

6. Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.

7. Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.

8. Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.

9. Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.

10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.

11. Dengan menyelamatkan Turki daripada orang Greek agama Islam terpelihara sehingga ke hari ini dan ke-Islaman orang Turki kekal. Sudah tentu Nik Aziz tidak akan akui orang Islam Turki adalah Islam.

12. Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.

13. Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.

14. Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.

15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.

16. Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.

17. Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?

18. Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.

19. Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.

20. Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.

21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.

22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.

23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.

24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.

25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?

26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; "Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, "Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.

28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.

29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); "Innamalmukminu na ikhwana..." iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.

30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, "maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."

32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.

33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.

34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.

35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.

36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.

37. Iqraq ditafsir sebagai "baca". Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.

38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.

39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.

40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.

41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.

42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.

43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala?

45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?

46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?

47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.

48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?

49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.

coretan 1:
Syanz: Syabas Tun.. very good! Sokong dengan dengan jawapan Tun.. ermmmmm macam tu lah...Nik Aziz tetap Nik Aziz.. ramai gak saya tenguk penyokong kuat si Nik Aziz /PAS ni tak pernah sembahyang pon...18 minit yang lalu · · 2 orang

coretan 2:
Syanz:masalahnya si nik aziz ni boleh kah terima pandangan yang berilmiah dan penuh fakta.. sebab dia rasa dia jer yang betul dan "beriman".. walau dah tak segan2 sokong si kafir..3 jam yang lalu · · 4 orang

Khamis, 10 Februari 2011

Bahagian 1- Tajuk belum ada..

Pagi yang cerah membawa mood aku untuk meneruskan tanggungawab sebagai pekerja yang patuh.. berbagai perancangan berlegar di benak  fikiranku.. Dengan memberi salam aku masuk ke kamar kerja, membuka suis lampu dan kemudian duduk di kerusi. Aku on suis komputer.  Entah mengapa aku rasa ada satu kekurangan dalam hidupku pada hari ini... rasanya bukan hari ini sahaja, semalam dan semalamnya..  ermmm usah dilayan hati ini, tiba-tiba akalku berkata.. tapi hati ini sering terusik dan meminta aku menunjukkan nada simpati.. dalam diam aku tertawa.. otak kah ketawa atau hati yang ketawa? yang nyata dibibir hanya satu senyuman yang aku sendiri kira tidak semanis mana...
Telefon bimbit aku keluarkan dari beg tanganku.. kuamati.. perlukah aku menghantar mesej sekadar bertanya khabar? patutkah aku? kenapa tiba-tiba hari ini aku begitu teragak-agak? kenapa yer.. ? hatiku seolah terasa terasing dan mungkinkah aku terpinggir...? Mengapa hatiku begitu berat seolah-olah aku begitu jauh darinya..
Terfikir aku betapa hati kecil ini tiba-tiba sayu... sesayu angin bertiup lembut pada subuh hari ketika di tepi pantai..aduh mungkinkah aku beegitu menurut hati untuk terus melayan hati atau mungkin terbit rasa cemburu dala diri ini?
Tiba-tiba kugagahi diriku untuk mengucapkan selamat pagi melalui pesanan ringkas dari telefonku.. walaupun jawapannya lewat aku bersyukur dia sihat dan okey sahaja.. Mungkin kerana aku ingin mencari satu jawapan yang hakiki aku nyatakan apa yang aku fikirkan.. Jawapannya cukup positif membuat airmataku mengalir perlahan... aku memberanikan membuka wall FB miliknya.. dan aku membaca bait-bait katanya.. kenapa hatiku berkata "kata-kata indah itu bukan lagi milik exclusive untukku "

Bahagian2

Satu persatu aku meneliti kata-kata yang tertulis di statusnya.. mengapa hatiku berkata bahawa apa yang ditulisnya itu bukan tertuju kepada ku.. Mungkinkah aku merasakan ada sesuatu di luar pengetahuan aku dan dia sendiri cuba menyembunyikan dariku.  Mengapa hati ini begitu bersikap ingin tahu? Akal aku sekali cuba merasionalkan. mengapa hatiku kuat mengatakan kata-kata indah yang begitu puitis walaupun ringkas bukan lagi untuk aku.  Cemburukah aku?  Jika benar ini penyakitnya yang membuat hati merasa sayu, merasa terasing dan terpinggir, maka akal aku sendiri mantafsirkan batapa perlun diriku dalam keadaan bertenang. Jangan biarkan api cemburu menguasai mindaku.  Aduh! kalau boleh aku ingin sekali merasai damai dan jiwa ini tidak merasa gundah gulana.

Buat apa aku terus melayan perasaan ini.. lantas aku mencapai nota yang pelu aku amati sebelum aku membuat keputusan dalam  pembetangan mesyuarat pada jam 3 petang nanti.



Rabu, 2 Februari 2011

Bila Mata Ingkar

Bila Mata Ingkar

Bila mata terus ingkar
untuk melabuhkan tirainya
maka hati sentiasa mengetuk
agar sang mata terus bercahaya
sedang sang akal puas merayu
agar sang mata terus berlabuh

firasat hati selaju cahaya
ingin terus bersatu 
bersinar cahaya 
indah bak pelangi

sebijak akal memanding
untung rugi perlu dikira
agar tujuan bukan terbuang
walau berkilau dek cahaya
walau indah bak pelangi
pasti duri terpanah di hati

kira mata ingkar lagi
biar hati setia bersama
berirama dan bersenandung
mengubat hati yang pilu
biar akal rasa cemburu
pasti dia turut bersama
menemani mata yang ingkar
walau akal bisa memusing
walau hati berkata benar
kerna akal dan hati
tetap bisa bersatu
dalam  jiwaku..


Syanz Abdul Raoof
2 Februari 2011@04.45am
Bangi.



Kucingku-Viet

Nama: Viet
Jantina : Jantan
Tarikh Lahir : Tidak diketahui
Baka : Belum diketahui
Tarikh diambil: 31 Januari 2011
Lokasi: PLPP Bangi
Perwatakan: jinak dan manja




Isnin, 31 Januari 2011

Bisakah aku Mengerti


Bisakah Aku Mengerti 

   Bisakah aku mengerti akan hidup ini
dalam mencari satu sinar
dalam duniawi yang mengerti
bahawa aku juga insan
yang perlu udara segar untuk hidup
yang perlu sesuap nasi penambah tenaga
yang perlu seteguk air
pembasah tekak dalam bersuara
yang perlu sentuhan manja
dalam dakapan hangat
yang perlu bumbung kasih
dalam aku berlindung
mungkinkah aku hanya beban
dalam mata memandang
bagai satu halangan
bagi kalian dalam kemewahan
siapalah aku
tangga bukan jalanku kepuncak
hanya penyebab ku turun
bisakah tangan-tangan kalian menarikku?
atau hanya berlalu sinis....

Syanz Abdul Raoof
31 Januari 2011
 

Ahad, 30 Januari 2011

Aku Dan Hujan

Aku Dan Hujan 

 Sayu hatiku 
entah apa puncanya
mungkinkah dek hujan yang turun
dalam dingin yang menyusuk tulangku
atau mungkin hujan
hanya punca alasan
bahawa diriku dilanda pilu

Pilu dan hujan
mungkin satu kebetulan
yang membawa erti
aku rindu
atau mungkin aku cemburu
hadirmu hujan
di pagi aku merindu

Aku redha
hadirmu hujan
membawa nikmat
pada siapa yang mengerti 
bahawa kau bisa membasahi bumi
yang mungkin aku tidak mengerti

Aku juga redha
kiranya hadirmu hujan
membawa simpati
pada insan yang mengerti
jika kamu juga bukan pembawa rezeki 

Syanz Abdul Raoof
30 Januari 2011



Rabu, 26 Januari 2011

KAUM MELAYU SINGAPURA - Oleh: Tun Dr. Mahathir Mohamed


KAUM MELAYU SINGAPURA
oleh Dr. Mahathir bin Mohamad pada pada 25hb Januari 2011 pukul 11.15 pagi
1. Tan Malaka yang namanya amat terkenal di zaman Sukarno mendakwa Melayu Singapura lebih disiplin (daripada Melayu Malaysia). Ini memang benar. Bahkan rakyat Singapura tanpa mengira bangsa juga amat disiplin.

2. Sebagai contoh mereka tidak akan buang sampah di jalan. Dengan itu jalan-jalan di Singapura amat bersih.

3. Tetapi apabila mereka menyeberang ke tanah besar Malaysia mereka akan buang sampah dari kereta mereka dalam perjalanan.
4. Ada pelawak yang memanggil Singapura "a fine city". Sebabnya kerana bagi tiap kesalahan kecil rakyatnya akan dikenakan denda iaitu "fine".

5. Rakyat Malaysia pun bila ke Singapura akan berjaga-jaga supaya tidak dikenakan fine.

6. Di Malaysia buang sampah selori di tepi jalan pun tidak diambil apa-apa tindakan. Sudah tentu rakyat Malaysia di Malaysia tidak disiplin dalam soal kebersihan dan lain-lain.

7. Mungkin ini kerana kita demokratik. Parti-parti politik takut rakyat tidak akan sokong mereka jika mereka bertindak terlalu keras supaya rakyat berdisiplin.

8. Parti pemerintah Singapura tidak takut kepada rakyat. Jika rakyat pilih bukan calon PAP, dia akan diheret ke mahkamah, didenda dan dijadikan bankrap. Selepas itu dia tidak dapat ke Parlimen untuk membantah perlakuan pemerintah.

9. Jika dia dibenar mengambil tempat di Parlimen, dia tidak akan berani berkata apa-apa.

10. Mungkin Tan Malaka lebih senang jika amalan di Singapura didapati di Malaysia.

11. Jika "demokrasi" ala Singapura diamal disini saya yakin bukan sahaja Melayu Malaysia akan disiplin tetapi semua kaum akan disiplin.

12. Sesungguhnya keadaan di Singapura amat mengagumkan sesetengah daripada kita di Malaysia. Apa tidak. Masalah Kampung Baru dapat diselesaikan dengan mudah. Pindahkan sahaja penduduk Kampung Baru, dan bangunkan rumah pangsa yang akan diduduki oleh sesiapa sahaja. Seperti hilangnya Geylang dan Pasir Panjang akan hilanglah Kampung Baru.

13. Menteri-Menteri pun lega kerana jika dicalonkan semula oleh parti, kemenangan terjamin walaupun menidakkan hak bersuara rakyat.

Komen ku:
Tun, Terima kasih. Yang tersurat dan tersirat... fikir-fikirlah wahai rakyat Malaysia..
4 jam yang lalu · SukaTidak suka · http://static.ak.fbcdn.net/rsrc.php/yF/r/tddUIK01p63.pngSeorang

Tun, Teringat kembali Hikayat Munsyi Abdullah!.. elok kita baca kembali bagaimana pemikiran beliau lebih 200 tahun dahulu berkaitan kebersihan dan sikap orang Melayu kita...

Isnin, 24 Januari 2011

ANGIN BAYU


ANGIN  BAYU

Angin bayu
Kiranya sudi  kau menerimaku
Ingin sekali ku terbang bersamu
Meniup lembut hati bak batu
Agar selembut jiwamu..

Dalam sepoi dirimu mengalun
Meleka hati yang kematu
Agar dibuai rasa sayu
Bersama alunan rindumu
Membuat hati terharu

Angin bayu
Mungkinkah kau akan sudi
Membawa aku pergi
Mencari satu yang hakiki
Dalam kehidupan duniawi 

Syanz Abdul Raoof 
24 Januari 2010
02:00