Rabu, 30 Mei 2012

Legasi Kemiskinan...

Pelbagai perbualan yang tercetus di dalam kereta sewaktu menuju balik dari menghadiri kenduri kahwin staff di Pelabuhan Klang.  Kehangatan cuaca, persekitaran yang berdebu serta kepenatan dek sesat barat membuatkan kepala mula terasa pening. Nasib baik bukan saya yang memandu, tetapi Mimie rakan setugas saya yang sudah kelihatan bosan.   Bagi menghilangkan rasa bosan kami mula berbual dari soal perasaan hinggalah topik berkisar kehidupan manusia. Boleh kata topik yang agak berat. Ilham tercetus bila melihat kenderaan mewah menyusur laju memotong kenderaan kami.  Beruntungnya punya wang yang banyak! Dapat beli kenderaan yang mewah.. dan untungnya empunya kereta dan ahli  keluarganya mewah bergaya.. dari si kecil hingga si tua..

Beruntungnya jika dilahirkan dalam lingkungan keluarga mempunyai wang yang banyak, harta melimpah, kebun beratus ekar.  Secara langsung keluarga itu dipandangn mulia bak kata orang tidak akan merempat. Apa tah lagi jika keluarga ini mementingkan ilmu pendidikan sebagai jaminan untuk diri terus dihargai dan dihormati.  Legasi dalam sebuah keluarga terletak bagaimana individu atau ketua keluarga itu punya cita-cita yang tinggi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Pendidikan merupakan aset yang tidak ternilai.  Tinggi pendidikan yang diperolehi boleh menjadikan diri individu sebagai pakar rujuk, boleh dijadikan sebagai ketua, boleh diiktiraf kecendikiawannya.  Berjayanya dalam pendidikan akan memudahkan individu beroleh kerja yang tinggi pangkatnya. Apabila berpangkat bermakna ada kuasa, bila. ada kuasa bermakna ada pengikut. Adanya pengikut maka penghormatan sebagai pemimpin secara tidak langsung akan wujud. Sinario seperti di atas mungkin terjadi kepada keluarga kaya, berharta, berfikiran luas, dan ada penghormatan melalui kuasa, harta, darjat  dan ilmu.  Alangkah eloknya kalau semua dapat menikmati takdir sedemikian. 

Bagaimana jika dalam keluarga tidak terlepas dari kepompong kemiskinan.  Datuknya hanya nelayan atau petani  atau penarik beca yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang? Si generasi kedua juga masih tidak dapat melepasi untuk keluar dari belenggu kemiskinan maka si generasi ketiga tetap merasai penderitaan sebagai anak si miskin. Situasi ini bukanlah satu kayu ukur untuk menentukan takdir selamanya menjadi orang miskin.  Pemikiran jauh kehadapan untuk melepasi kepompong kemiskinan perlu ada.  Ini bermakna perlu ada pengorbanan, perlu ada motivasi dan juga ikhtiar hidup untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna.  

Kematangan berfikir dan mempunyai cita-cita yang tinggi agar anak berjaya dalam hidup harus tertanam dalam diri bukan sekadar menyerah kalah dengan takdir kemiskinan.  Saya percaya kemiskinan hanyalah satu ujian dalam hidup kerana terlalu ramai manusia yang miskin kini menjadi kaya raya. Tidak semestinya juga sikaya sentiasa kekal kaya kerana Allah boleh mengambil kekayaan bila-bila masa sahaja.  Oleh yang demikian kemiskinan boleh ditolak melalui usaha, dan ilmu di dada. Walaubagaimana pun sikaya juga mempunyai tanggungjawab sosial dalam memberi pertolongan dalam pengagihan rezeki kepada golongan miskin ini.  Manusia di dunia saling melengkapi cuma kita sama ada rela atau tidak untuk sama berkongsi dalam suka dan duka.

Tiada ulasan: