Jumaat, 4 Mei 2012

KEMAHIRAN MENENUN SEMAKIN HILANG DITELAN ZAMAN

Bila balik kampung ni.. seronok gak bercerita dengan ibu berkaitan kisah-kisah silam yang berlaku dalam keluarga. Kali ini dalam mood pakaian tradisional, dan ini mengingatkan emak kepada kain hasil tenunan aruah ibunya iaitu nenek saya.  Tergambar di ruang mata aruah nenek saya yang saya panggil "Mak Tua".  Beliau sememang seorang wanita yang mempunyai kemahiran tangan yang cukup halus. Saya masih dapat mengingati hasil anyaman tikar pandannya yang cantik, hasil jahitannya yang halus dan hari ini saya diperlihatkan hasil tenunan kain songket beliau.

Kain Tenunan berwarna pulasan bersulam songket


Masa kecil-kecil dahulu saya selalu juga  panjat loteng di rumah lama dan saya pernah lihat perkakas menenun nenek saya.. tapi masa itu beliau tidak lagi menenun. Di zaman kanak-kanak manalah kita mengetahui betapa tingginya nilai budaya dan kemahiran ini.  Bila dah cukup dewasa baru terfikir kenapalah kemahiran menenun ini tidak menjadi satu kemahiran yang wajib diwarisi dalam lingkungan ahli keluarga.

Ibu saya kelihatan menung jauh.  Tiba-tiba dia bersuara "menenun ini perlu ada kesabaran, jika tiada kesabaran dan bakat kadangkala hasil tenunan kita tak sempurna dan kain yang dihasilkan akan senget.. itulah yang terjadi kepada kain mak cik kamu, sehingga aruah emak saya cukup marah. Maklumlah aruah Emak Tua kamu amat memberatkan kualiti dan hasil kerja tangannya memang sempurna." 

Saya mendengar kata-kata yang keluar dari ibu saya sambil membelek kain tenunan tersebut  dan saya mengakui kebenarannya.  Menurut ibu saya nenek saya masih menenun sehingga sekitar tahun 1954 dan beberapa hasil kain tenunannya telah dicuri oleh penceroboh. Syukur Alhamdulillah saya dapat melihat hasil kain tenunan nenek saya seperti di gambar ini dan kini diberi penghargaan oleh ibu saya untuk mewarisinya.

Kain tenunan bersulam bunga songket dari benang yang dicelup sendiri bermotifkan warna unggu manggis








Tiada ulasan: