Isnin, 23 April 2012

Jus Daun Ketumbar



Daun ketumbar (coriandrum sativum)

Saya amat menggemari daun ketumbar  (coriandrum sativum) dan sering  memasukkan daun ketumbar sama ada sebagai penambah rasa terutama jenis masakan sop, mahu pun hanya sebagai hiasan dalam masakkan saya.  Aromanya yang agak keras berbanding daun salderi pada saya ianya amat membangkit selera.  Daun ketumbar sentiasa berada dalam simpanan saya, cuma masalahnya daun ketumbar tidak tahan lama. Jika dibiarkan begitu sahaja ianya mudah layu dan benyek.
Info yang saya perolehi dari pembacaan di internet berkaitan khasiat daun ketumbar di antaranya ialah sebagai pencuci darah iaitu membersihkan darah dari racun-racun, membantu pencernaan dan perut kembung, mengurangi gejala arthritis, infeksi saluran kencing, menurunkan kadar kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL,selain mengandungi zat besi ianya juga mengandungi zat magnesium.



Jus daun ketumbar

Info ini telah memangkin untuk saya terus menyukai daun ketumbar dan mulalah saya memikir apa rasanya jus daun ketumbar. Setelah membersihkan daun ketumbar saya terus blend dengan air masak dan saya tapis untuk mendapatkan pati airnya.  Rasa jus ini ada sedikit macam jus pegaga, dan bertambah sedap jika dicampur dengan gula dan lagi enak bila dicampur susu pekat manis... Tak percaya? Cubalah!


yang mana pilihan anda? keduanya mempunyai rasa tersendiri





Jus ketumbar susu



Rabu, 18 April 2012

~Kesinambungan Semangat Leluhur Bugis: Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia

Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBM) Bahagian Negeri Selangor telah selamat disempurnakan perasmiannya oleh Yg. Bhg. En. Samsul Alang Hamsah - Presiden PRBM


Tuan Presiden PRBM - En. Samsul Alang Hamsah bersama tetamu kehormat dan AMT



















Alhamdulillah dikesempatan usia ini, saya dapat menyaksikan satu usaha sahabat-sahabat Bugis dari Sabah yang terus memperkasakan keturunan Bugis di negara ini. Ucapan tahniah kepada barisan Majlis Tertinggi Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBM), AJK dan semua ahlinya yang menzahirkan  persatuan ini menjadi satu kebanggaan masyarakt Bugis di Sabah khasnya dan seluruh Malaysia amnya.

        Walaupun  saya belum menganggotai mana-mana persatuan tetapi agak aktif dalam komuniti di alam maya melalui Face Book (FB).  Hasil sumbangan  FB ini maka terjalin perkenalan  yang membawa kepada satu ikatan silaturrahim masyarakat Bugis dengan lebih akrab. Perkongsian maklumat, cerita harian dan tentunya berkaitan leluhur, budaya dan semangatnya menjadi satu agenda dalam komunikasi. Akhirnya komunikasi tanpa suara melalui FB menjadi nyata apabila bertemu sahabat-sahabat di satu majlis yang menghimpunkan masyarakat Bugis di Selangor pada 15 April 2012 di Pandamaran, Port Klang, Selangor.

Ketibaan Tuan Presiden PBRM disambut dengan iringan penari kebudayaan Bugis


Kehadiran Masyarakat Bugis di Negeri Selangor
       Kehadiran masyarakat Bugis yang hadir dalam dewan Sek. Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Pandamaran membuatkan saya teruja dan jauh di sudut hati saya amat terharu. Pelbagai lapisan umur terdiri dari kanak-kanak, remaja, dewasa dan golongan warga emas turut hadir menjayakan satu majlis yang membawa satu makna besar dalam hidup mereka.

        Kehidupan sebagai  "pasomppe'"  (perantau)  mengutuhkan semangat daya juang yang tinggi di samping itu perlunya hal ehwal kebajikan mereka sentiasa dapat didengar dan diatasi. Wujudnya persatuan sebegini amatlah baik dan memerlukan sokongan padu dari semua ahli demi membawa kepada kehidupan yang lebih murni. Kesepaduan, kemuafakatan, sokongan dan pengertian itu merupakan satu semangat yang luar biasa yang mereka simpan selama ini dan akhirnya direalisaikan dalam satu pertemuan rumpun yang membawa kepada gelombang perubahan bukan sahaja status dalam hiraki masyarakat tempatan, malah ekonomi, politik dan juga kesinambungan warisan budayanya. Falsafah "Siri'" yang dipeggang oleh masyarakat Bugis akan menjadikan masyarakat ini akan sentiasa ingat susur galurnya, budayanya, kehormatan bangsanya, maruah negara dan tentunya akidah agamanya.  Jauh di sudut hati saya, lahir satu kebangaan bahawa saya adalah keturunan Bugis yang ingin terus bersama dengan semangat Bugisnya. insyaAllah.
  

Barisan Kepimpinandan ahli menyanyikan Lagu Negaraku



Pembuka tirai dengan persembahan tarian tradisi bugis  - Gemalai dan sopan meraikan tetamu.

Kehadiran sahabat-sahabat yang bukan berasal dari Sabah memberi sokongan usaha murni ini juga merupakan satu penghormatan dan insya'Allah pertemuan pada hari itu juga akan melangkah ke satu arah yang lebih luas .“Padaidi Padaelo Sipatuo Sipatokkong”



Barisan tetamu yang memberi sokongan ~ Akhirnya pertemuan di alam maya menjadi pertemuan di alam nyata...












Rabu, 11 April 2012

Menghijaukan dan Menceriakan Halaman..

Selama setahun lebih saya mengabaikan segala tanaman yang menyebabkan pokok bunga yang liat untuk mati akhirnya garing di dalam pasu.. Mood untuk bercucuk tanam tiba-tiba hilang, dan tidak perlulah saya nyatakan kenapa berlaku demikian.. huhuhuhuhu..
Di awal tahun apabila emosi dan penyakit dapat diatasi dengan baik, syukur alhamdulillah mood dan minat untuk brcucuk tanam kembali dalam diri ini.  Pokok mulberry juga saya sudah biakkan  dan kini tumbuh subur. Selain itu, saya mula menanam poko bendi dan bunga matahari di mana benihnya saya beli di pasaraya.
Saya juga menanam pokok kunyit, pokok halia,  pokok serai dan pokok bakawali (salah satu pokok herba yang amat pahit rasanya).
Halaman yang kosong.. pokok bunga dalam pasu semua garing.. huhuhu...
Pokok Mulberry yang tinggal.. yang lain telah ditebang oleh kontraktor kononya nak buat pagar baru..
Pokok Tomato tanam dalam pasu
Buah Mulberry ~ dah banyak kali buat jem dan jus..

Tanaman bendi dan telah menuai hasilnya.. belum sempat merumput.. hehehehe..

Bunga Matahari yang hidup subur di halam rumah..







anak buah ~ Acheera sempat bergambar sakan..



Ahad, 8 April 2012

NASI CAROT BERLAUK AYAM MASAK BRIYANI

Hari Ahad  lazimnya hari mood baik untuk aku mengemas dan memasak-masak.  Selepas mnguruskan C Memey (kucing parsi) dan anak-anaknya, membasuh baju dan kemas segalanya, perut mula terasa lapar..  Beberapa kali membuka peti ais.. bahan-bahan untuk memasak memang ada, Ayam,  kobis, tomato dan lobak merah masih ada. Rempah briyani dan rempah kari daging juga ada.   Jika semalam masak tom yam ayam, sayur peria goreng, telur dadar, dan ulaman bercecah sambal belacan dan hari  ini pula apa yer?
Idea nak membuat nasi karot tiba-tiba menerjah di kepala dan spontan juga nak buat ayam masak briyani.
Nasi Karot 





Ayam Briyani


Teh Habbratus Sauda (Teh Jintan Hitam)
Karot saya kisar bersama bawang besar, bawang putih dan halia.  Bahan-bahan ini saya masukkan terus ke dalam air rebusan ayam beserta beras bersama gumpalan daun pandan dan masak dalam rice cooker.  Sementara itu saya menumis bawang besar, halia,  bawang putih dan daun ketumbar yang telah saya kisar sekali beserta rempah briyani.  Kemudia saya masukkan ayam dan jangan lupa susu cair yer.. Rasalah ikut citarasa sendiri.. nak tambah apa yang patut suka hati lah.. hehehehe..    

Kemudian saya buat acar ringkas hanya hirisan tomato dan karot yang diletak cuka serta gula sedikit bagi menyeimbangkan rasa supaya makan nanti tidak terasa muak.


Nasi karot dan ayam briyani telah siap! Dan inilah hasilnya yang saya hidang bersama air teh habbatus sauda (teh  jintan hitam) untuk dimakan seorang diri... hehehehe.. Kalau ada sesiapa nak rasa, saya akan buat lagi best.. hehehehe.. Percubaan pertama ini, saya memang berpuas hati.. next time boleh panggil kawan-kawan makan..

Hidangan makan tengahariku.. Nasi Karot, Ayam Briyani, Acar dan Teh Jintan Hitam






Bila Dia Semakin Kembang...

Kehidupan ini sesusungguhnya bukan indah belaka.. adakalanya kita tersungkur, ada kalanya sengaja disungkur dan ada kalanya tidak sengaja tersungkur gara-gara terlanggar batu..  hidup ini juga selalu sangat ada kebetulan.. kadangkala orang yang tidak pernah mahu kita temui kembali tiba-tiba muncul depan mata, bukan secara realiti tetapi di alam maya.. gambarnya, ceritanya, perkembangan, kehidupan keluarganya dan sekali dapat dilihat perkembangan fizikalnya sama ada semakin molek atau semakin kembang.. maka itulah yang saya lihat kepada seseorang ini. 
gambar: sumber google
Sesuatu yang dinginkan seperti kecantikan bukan bererti dia perolehi sepanjang masa.. maksudnya di sini dirinya sendiri mengemuk semacam.. dapat isteri memanglah cantik tetapi kursemangat anak-anak daranya mak datuk kembang macam dia juga..   sesungguhnya kecantikan itu terlalu subjektif dan yang paling penting bagaimana keharmonian keluarga itu tetap utuh.. atau mungkin kelihatan utuh tetapi bagaimana di luar lingkungan anak dan isterinya pula..  kerana lelaki tetap lelaki.. yang suka kepada kecantikan walaupun dia tahu bukan hak miliknya.. 
gambar:sumber google

Isnin, 26 Mac 2012

Aku dan Waktu

Aku dan waktu
mana mungkin boleh terpisah
jika aku lambat tetap bersama waktu
walau waktu sudah berganti waktu
lalu aku hanya penanti tanpa ada penentu..

Antara aku dengan waktu
mana bisa ada pemisah
dalam rahim atau di luar rahim
waktu begitu setia mengiringku
waktu melihat aku membesar
malah tua bersama waktu

Tika tiba waktu ajalku
tentu jasadku menunggu waktu untuk dikapankan
di antara lima waktu 
mana satu yang penentu

Antara lima waktu pemburu waktu
sebelum atau sesudah Zohor
atau mungkin selepas Asar sebelum Maghrib
atau mungkin selepas Maghrib waktu Isyak
mungkin juga sebelum Subuh
asal jangan terlepas banyak waktu
tentu rohku tidak menentu

Masih waktu menemaniku dengan setia
menanti dan menanti
bila waktunya Sangkakala ditiup oleh Israfil
supaya aku bisa bangkit
berkumpul di Padang Masyar
kerana aku tidak tidak sanggup
bersama waktu di alam barzakh..
kerna dosaku tidak lepas bersama waktu...

Syanz Aishah Abdul Raoof
26 Mac 2012
2.32 am.
tekala mindaku menerawang mengingati ajalku..

Rabu, 14 Mac 2012

Anak dan Ibu

Untuk semua ibu
yang punya anak
pasti punya hati nurani
bisa terluka dan tersinggung
dek kata-kata dan laku
sang anak

Bisakah kita ingat
masih kecil ditimang-timang
dibelai dan dijaga
hingga sang nyamuk tidak berani hinggap

Dan kata dan laku itu
akan berulang bila tiba giliran
dulu kau anak kini engkau ibu...

Syanz Abraoof
14 Mac 2012

Rabu, 29 Februari 2012

CURANG TETAPI SETIA ATAU SETIA TETAPI CURANG

Curang? Mengapa ada kecurangan dalam satu perhubungan yang suci? Adakah lelaki atau wanita yang curang sengaja untuk curang? Saya rasa tiada seorang ingin curang tetapi ianya kadangkala hadir dalam situasi yang mendorong berlakunya kecurangan.  Curang bukan sahaja untuk lelaki tetapi ianya berlaku kepada wanita juga. Bukan sekadar yang telah berumahtangga tetapi dalam hubungan percintaan awal juga boleh berlaku. Curang juga bukan hanya merujuk kepada perhubungan cinta dan kasih sayang antara pasangan tetapi curang juga boleh merujuk kepada keesetiaan kepada organisasi atau negara. Saya lebih ingin membahaskan kecurangan dalam erti kata hubungan kasih sayang antara insan. 
gambar: sumber google
Keretakkan dalam rumahtangga lazimya disebabkan wujudnya ketidak sefahaman. Curang boleh berlaku dek ketidak sefahaman antara pasangan lalu mencari satu jalan keluar bagi menyelesaikan masalah. Pencarian menyelesai masalah lazim juga makin menambah masalah.  Seringkali seseorang yang ada masalah rumahtangga akan menceritakan masalahnya kepada yang sudi mendengar. Kecenderungan untuk menceritakan masalah selalunya kepada orang yang dikenali tanpa mengira lelaki atau wanita. Andainya tukang mendengar adalah yang berlainan jantina dan mempunyai masalah yang sama, maka lagi mudah terlibat dalam perkongsian emosi dan juga pengalaman. Tidak mustahil situasi ini akan mewujudkan simpati yang berlebihan dan tanpa disedari. Perkongsian masalah ini akan mewujudkan keserasian maka bibit rindu mula wujud dan akhirnya terikat dalam perasaaan. Adalah agak sukar jika kedua pasangan masing-masing mempunyai terikat dengan perkahwinan. Cinta terlarang ini lebih banyak membuahkan kesengsaraan, terpaksa setia walau hakikatnya telah berlaku curang perasaan dan boleh terdorong kepada perlakuan curang fizikal. Adakah  situasi begini dikatakan terpaksa curang dan terpaksa setia?
 
Curang juga boleh berlaku jika wujud masalah dalam bilik tidor. Pasangan akan mula mencari perlepasan dalam imaginasi seksnya melalui pelbagai cara. Ada di antaranya akan kemaruk dengan laman lucah, dan ada yang begitu suka dalam mencari kekasih hati di alam maya, dan ada yang juga secara langsung terlibat dalam pasangan berbayar dan ramai juga mempunyai kekasih gelap sebagai pendorongan atau terlibat secara langsung dalam hubungan intim. Apa yang diperhatikan ramai pasangan ini tetap setia dan masih menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dalam urusan rumahtangga dan keluarganya. Ianya kelihatan bahagia malah ramai mengkaguminya rumah tangga yang dibina seolah sempurna dan bahagia. Mungkin ini dikatakan curang tetapi setia.

Ada juga pasangan curang kerana terjatuh cinta kali kedua. Kehadiran orang yang menepati ciri-ciri dalam imaginasinya secara tiba-tiba hadir di hadapan mata.  Mungkin siisteri atau suami tetap akan setia antara satu sama lain, tetapi kehendak yang lebih merangsang diperlukan dalam dirinya secara peribadi yang mungkin sudah tidak dimiliki oleh pasangan. Justeru itu pasangan akan cepat tergoda melihat orang lain yang menepati fizikal atau sikap yang selama ini dalam imaginasinya. Bayangan wanita atau lelaki yang didambakan selama ini benar-benar wujud apa tah lagi jika pihak lawan ini memberikan respon yang baik dan tidak mustahil  berlakunya hubungan yang berterusan. Adakah ini dikatakan setia tetapi telah curang?

Seringkali juga kita membaca atau disajikan berita hasil penangkapan tokoh, ketua-ketua jabatan atau orang biasa yang dituduh kerana terlibat dalam kes khalwat tetap ditemani oleh isteri semasa pertuduhan atau turun naik mahkamah. Adakah ini dikata sengaja tunjuk setia atau seikhlasnya setia atas dasar tanggungjawab sebagai isteri atau suami yang sedia menemani pasangan dalam susah dan senang? Adakah ini dikatakan rela dicurangi tetapi akan tetap setia?
gambar: sumber google

Dalam hubungan suami isteri yang dikatakan tiada rahsia antara satu sama lain, hati dan budi yang dikatakan cukup dikenali, mana tahu jauh di dalam kalbu suami atau isteri tetap ada rahsia yang disembunyikan. Curang tetapi setia adalah bukti bahawa manusia tidak pernah puas akan kehendak diri dan tentunya nafsu. Terpulang sejauh mana seseorang dapat menyimpan rahsia kecurangannya, dan sejauh mana pasangan dapat menerima kecurangan pasangannya. Adakah ini dikatakan takdir dalam kehidupan rumahtangga? Tepuk dada tanya nafsu sendiri... opppps tanya ilmu dan iman... hehehehe... 
Maaf & Wallahualam.

Sabtu, 18 Februari 2012

Rice Cooker Rosak & Nasi Pilau Ayamku Lembik



Hari ini dek lapar beberapa kali membuka peti ais.. masalahnya tiada makanan segera yang boleh dimakan. Maggi pon dah habis. Di freezer adalah ayam dan ikan yang telah disiang, masalahnya dah beku.. aduhai kena rendam lah pulak.. sementara memikir apa nak dibuat sambil menghirup air nescafe O dan dapat kunikamti  kesegaran lewat pagi (hehehe.. jam menunjukkan pukul 11.50) baru minum pagi. Sebab tu perut lapar.. Idea nak masak ada tetapi masalahnya gas dah lama habis.. (nak gi beli pon malas). Hendak keluar rumah kelihatan cuaca pon tak berapa elok.. dah mula gerimis dan ini membantutkan mood nak keluar ke kedai.

Mood memasak ada tapi tak tahu apa nak dimasak. Akhirnya keluarkan ayam dari freezer dan rendam. Beberapa kali terfikir ayam ni nak masak apa sedangkan gas dah habis.. Terbayang beberapa resepi dalam kepala yang boleh dimasak menggunakan rice cooker..  Maka terbayang nasi ayam, bubur nasi ayam, nasi briani (alamak bahan dah habis) dan nasi pilau. Nasi Pilau ok juga kerana bahan-bahan sedia ada..  lagi pon dah lama tak buat nasi pilau.. lalu mengambil keputusan membuat nasi pilau ayam hari ini...

Menumis rencah di dalam rice cooker dan akhirnya beras ku masukkan.. mula mendidih..  tetiber terpandang rice cooker ni tak menyala.. beberapa kali digodeh fiusnya confirm memang tak befungsi. Alamak rice cooker ni baru dibeli 3 minggu yang lalu..rosak lah pulak. Terpaksa gunakan rice cooker yang lama (dah uzur). Alhamdulillah masih berfungsi dan kelihatan nasi pilau mula mendidih. Tak sabar rasanya menunggu sebab perut mula lapar..

Setelah masak lalu kuceduk dalam pinggan... alamak nasi pilau ayam yang kubuat hari ini agak lembik.. tetapi rasa tetap sedap.. hehehehehe.. apa pon sendiri masak sendiri makan lah...Jemput makan!



Khamis, 16 Februari 2012

Ikhlaskah Kita Sebagai Warganegara

Banyak cara pemikiran manusia bila tidak sealiran. Setiap orang mempunyai cara dan tujuan tersendiri.  Sebagai ahli keluarga mungkinkah kita benar ikhlas dengan cara gaya kepimpinan ibu bapa kita? Begitu juga dalam komuniti di kampung adakah kita ikhlas dengan cara gaya kepimpinan ketua kampung dan penghulu kita. Dalam konteks yang besar adakah kita juga ikhlas menerima cara gaya kepimpinan pegawai daerah, ADUN dan  Ahli Parlimen kita.

Mungkinkah kita sering terfikir mengapa mereka berbuat demikian dan kenapa mereka tak buat begini.  Apabila terjadi satu konflik dan segala tindakan ketua dilihat tidak lagi menyebelahi pemikiran dan kehendak kita. Maka dari itu bermulalah agenda di kepala masing-masing dan membawa beberapa pendekatan dalam menangani masalah "yang sebenarnya tak serasi dengan kehendak diri". Hilang sudah sifat keikhlasan sebagai pengikut, dan akan hilang juga sifat kesetiaan dalam diri. Konflik di antara pengikut dengan pemimpin akan membuahkan beberapa startegik.  Kadangkala strategik yang dilakukan itu sebenarnya telah dikuasai oleh nafsu yang akhirnya ibarat kata orang "menang jadi arang".


Dalam memerhati kemelut ini dilihat ramai di antara kita membawa pendekatan yang boleh menjahanamkan organisasi dan objektif organisasi itu sendiri.  Mungkinkah kita akan membawa pendekatan seperti berikut;
  • menjadikan diri sebagai "orang luar" yang menghasut, memfitnah, boikot, menghina agar kelumpuhan dalam organisasi/pemerintahan sendiri supaya dapat kepimpinan yang baru sealiran dengan diri atau;

  • menjadi "orang dalam" yang mengintai, membujuk, mempersona, mengampu sehingga rahsia diperolehi untuk kepentingan diri dan organisasi lain atau;

  • menjadi "pengkritik berani" menyatakan salah dan betul untuk tujuan perkukuhkan organisasi sendiri walau diketahui akan dibenci oleh pemimpin

  • menjadi "pasif" yang tidak ambil kisah baik atau buruk asal diri sendiri tidak mendapat masalah daripada organisasi atau;

  • menjadi "pak turut' tanpa memikirkan buruk dan baik asal dirinya senang diterima dan sentiasa mendapat hasil dari sikapnya atau;

  • menjadi "ibu dan ayah" yang sentiasa nak membimbing, mengajar dan mendisiplinkan supaya tidak keluar dari landasan kepimpinan sebenar tetapi membuat pemimpin rimas kerana sentiasa dibayangi..

Seharusnya orang yang paling bijak itu adalah  ~KAPTEN~  itu sendiri yang dapat mengenal pasti nilai budi dan kewarasan anak buahnya dan hala tuju kapalnya..

Muzakarah adalah jalan terbaik untuk mengatasi kemelut dengan syarat buang sikap ego dan terbitkan sifat kasih sayang dan kesetiaan demi negara.
Jangan biar sejarah kejatuhan kesultanan Melayu Melaka berulang kembali dek khianat dan dengki oleh rakyatnya sendiri. 

Rabu, 15 Februari 2012

~Kasih dan Sayang~



Gambar: sumber google



Tarikh 14 Februari - Valentine Day(VD) ~ Hari Valentine (Hari Kasih Sayang) yang menjadi isu telah berlalu semalam. Kalau tak sambut pun tak menjadi hal kan. Saya percaya ramai saudara Islamku tidak menyambutnya. Naluri orang yang mempunyai rasa kasih sayang penuh romantis (di alam percintaan) mungkin mempunyai keghairahan yang tinggi untuk menyambut VD. Almaklum pengucapan sayang atau melahirkan sayang itu adalah satu perkara yang kelihatan mudah tetapi agak sukar untuk dilafazkan. Justeru itu bersempena tarikh yang dianggap "istimewa" maka ramai pasangan ternanti-nanti tarikh tersebut yang dianggap penuh bermakna untuk meraikan dan menzahirkan rasa kasih sayang mereka.  Apa pun alasannya sebagai penganut agama Islam kita perlu melihat kepada kepentingan aqidah.

Jika pihak berkuasa dan menjaga hal ehwal agama sudah memberikan fatwanya bahawa ianya menyalahi aqidah adalah wajib kita mematuhinnya.  Kasih sayang itu terlalu luas untuk dimengertikan dan tidak mempunyai batasan untuk dizahirkan asalkan tahu di mana halal dan haramnya. 

Selagi ianya membawa kepada kebaikan adalah wajar kita segarkan rasa kasih sayang dalam jiwa kita. Kuntuman bunga atau kepingan coklat sebagai lambang kasih sayang boleh diberi pada bila-bila masa sahaja asalkan ianya ikhlas dan bertujuan baik. Seorang suami harus membuang rasa malu untuk menzahirkan rasa sayang dengan membeli hadiah yang tidak semestinya mahal buat isteri, begitu juga siisteri. Anak-anak harus menyejukkan hati ibu bapa dengan memberikan hadiah kepada orang tuanya walaupon hadiah itu bukan dilihat dalam bentuk harga tetapi pemberian ikhlas itu cukup mengembirakan orang tua. Seorang sahabat akan terus mengingati sahabatnya apabila terpandang hadiah yang diterimanya. Pemberian hadiah saya anggap sebagai satu kesinambungan ingatan walau jauh di mata sebagai lambang rasa kasih dan sayang.

Gambar:sumber google
Sebagai manusia kita difitrahkan rasa kasih sayang oleh Illahi. Bukan sahaja ianya tertuju kepada orang menjadi pujaan hati, penuh rasa kecintaan berahi yang dianggap sebagai kekasih. Kasih sayang kepada pencipta kita iaitu  Allah SWT, kepada Rasulullah, ibubapa, adik beradik, saudara-mara, jiran tetangga, sahabat andai, saudara seislam  mahupon semua manusia di dunia ini wajib ada agar tidak wujud persengketaan. Kerana adanya sifat kasih dan sayang akan membuatkan kita berhenti bersengketa, kerana adanya kasih dan sayang wujudnya sikap tolong menolong, adanya kasih sayang maka umat di dunia ini semakin bertambah, dan wujudnya kasih sayang juga pelbagai ciptaan dan rekaan dilakukan untuk menfaat umat di dunia, dan kerana adanya kasih sayang kita sentiasa mengucapkan terima kasih. Sesungguhnya maha basar kuasa Allah mengizinkan sifatNya dengan menwujudkan rasa kasih dan sayang ini kepada hambanya. Sewajibnya rasa syukur itu kepadaMu ya Allah.

Marilah kita hidup dalam penuh kasih sayang kerana kasih sayang yang ikhlas akan mengundang kebahagiaan, mengundang rasa kegembiraan dan tentunya melalui kasih sayang juga akan membuat orang lain bahagia dan akan menyekat segala kemungkaran. Jangan biarkan kasih sayang itu berlalu pergi tanpa memberi menfaat kepada orang lain...
Gambar: sumber google

Isnin, 13 Februari 2012

Mingguan Malaysia : Wawancara Prof Dr Chandra - ~ANWAR TIDAK PERNAH IKHLAS~

“Anwar tidak pernah ikhlas”

NAMA Dr. Chandra Muzaffar bukanlah satu nama asing dalam bidang akademik di negara ini. Pemikiran dan idea kritis beliau sering sahaja menimbulkan polemik yang pelbagai. Namun kini beliau menumpukan sepenuh tugasnya sebagai Presiden International Movement for a Just World (JUST) selain menjadi pengerusi Yayasan 1Malaysia. Namun di sebalik semua usaha ini Chandra berkongsi bersama wartawan Mingguan Malaysia, Lukman Ismail dan Hafizahril Hamid tentang kesilapan paling besar pernah dilakukan sepanjang hidupnya, iaitu menyertai Parti Keadilan.
Beliau mengakui secara ‘terpaksa’ memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan pada awal penubuhannya dan kemudian Dr. Chandra juga antara orang pertama yang keluar parti setelah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya baru-baru ini, Dr. Chandra secara berterus terang bercakap tentang penglibatan dan kesilapannya itu dan pandangannya terhadap Anwar yang disifatkan beliau sebagai orang yang tidak layak memimpin negara ini. Berikut adalah sedutan wawancara tersebut.
MINGGUAN: Apa yang mendorong Dr. menyertai Parti Keadilan pada peringkat awal penubuhannya?
CHANDRA: Sebelum parti itu ditubuhkan pada 19 April 1999, sudah terdapat gerakan sebelumnya yang bernama Adil. Ia mendahului Keadilan sebagai satu gerakan sosial yang dipimpin oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan saya pula sebagai timbalan pengerusi. Matlamatnya untuk mempertingkatkan kesedaran rakyat tentang isu-isu yang mencabar masyarakat ketika itu, selepas Anwar dipecat. Adil berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat namun ia bukan parti politik. Saya dimaklumkan pada masa itu dan diulangi beberapa pihak, bila parti politik tertubuh maka orang lain akan memimpinnya. Bukan saya atau Wan Azizah kerana Adil bergerak sebagai sebuah NGO. Tapi apabila parti politik ditubuhkan dikatakan 20 ahli Parlimen akan menyertai parti ini. Saya menganggap ini sebagai sesuatu yang akan berlaku maka saya tidak perlu terlibat dalam politik kepartian. Ini kerana saya memang tidak berminat dalam politik kepartian kerana saya bukan ahli politik dan ini bukan matlamat kami. Tetapi 20 ahli Parlimen yang dikatakan akan keluar tidak menjadi kenyataan dan ia hanya omong kosong. Oleh kerana tidak ada yang sanggup memikul bebanan ini maka saya terpaksa memegang jawatan timbalan presiden.
Boleh dikatakan Dr. terpaksa memikul tanggungjawab ini?
CHANDRA: Saya terpaksa memikul walaupun tidak berminat politik kepartian. Satu lagi faktor yang mendorong saya adalah dengan apa yang berlaku kepada Anwar bukan kerana beliau sahabat saya tetapi kerana peristiwa Anwar dibelasah di penjara. Perkara ini didedahkan pada 29 September 1998. Bagi saya, adalah sesuatu yang tidak adil apabila beliau dipukul oleh Ketua Polis Negara. Saya sebenarnya tertipu kerana pada awalnya dikatakan terdapat ahli Parlimen yang akan melompat tetapi ia tidak berlaku.
Berapa lama Dr. di dalam parti dan apa yang mendorong Dr. keluar?
CHANDRA: Saya menyertai parti itu sejak April 1999 hingga awal Disember 2001. Saya tidak meninggalkan perjuangan tetapi menyertainya sebagai wadah. Saya berundur atas beberapa sebab, pertamanya selepas menyertai dan memegang jawatan timbalan presiden, saya telah terdedah kepada beberapa perkara dalam parti yang ahli-ahli biasa tidak mengetahui tentangnya. Saya nampak cara Anwar mengendalikan parti dari dalam penjara. Beliau berada di dalam penjara tetapi menguasai parti, membuat keputusan dan sebagainya. Beliau yang pastikan arah tuju parti dan menguasai segalanya. Ini telah menjadi masalah kerana beliau cuba menentukan corak pengurusan dari belakang tembok penjara dan sudah tentu sukar untuk dilakukan. Seperti yang pernah dihujahkan oleh Allahyarham Maududi ketika dipenjarakan, beliau tidak mahu terlibat dalam pengurusan Jamaat Islami kerana merasakan ia adalah sesuatu yang mustahil. Tapi bagi Anwar walaupun ada struktur dan kepimpinan parti tetapi beliau masih mahu mengawal segalanya. Bagi saya ia mencerminkan satu sikap beliau yang suka mengawal dan menguasai. Beberapa masalah yang diketahui umum iaitu parti ini mempunyai banyak puak serta terdapat pelbagai kecenderungan dan sebagainya.
Keadaan ini bertambah teruk dengan cara pengurusan Anwar yang sering berjanji sesuatu kepada individu tertentu dan kemudian berjanji pula kepada orang lain. Mungkin ini adalah salah satu daripada gaya politik beliau. Apabila beliau menguasai parti terutama dalam keadaannya dipenjarakan, mungkin beliau menganggap cara tersebut sebagai paling berkesan. Anwar dengan sengaja menimbulkan perselisihan dan berpuak-puak dalam parti. Itu salah satu kelemahan yang saya lihat merugikan parti. Perkara ketiga, Anwar ialah seorang pemimpin yang boleh disifatkan sebagai kurang ikhlas kerana ucapan, pidato dan retorik beliau sangat bertentangan dengan apa yang berlaku di dalam parti. Dalam Keadilan pada masa itu ada individu tertentu yang rapat dengan beliau dan terlibat dalam politik wang. Apabila saya mendapat tahu tentang perkara ini dan membawanya kepada Anwar, namun beliau tidak mahu bertindak kerana melindungi mereka. Begitu juga dalam perkara lain. Beliau kononnya pemimpin yang memperjuangkan perpaduan kaum tetapi dalam pilihan raya kecil Lunas misalnya jelas Anwar memainkan isu perkauman untuk meraih sokongan. Ini sangat bertentangan dengan apa yang dilaungkan beliau. Ini seperti ungkapan cakap tidak serupa bikin.
Faktor lain adalah kerana hubungan Anwar dengan individu-individu tertentu di luar negara. Anwar mahu meneruskan dasar luar Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang bertujuan menguasai kawasan-kawasan tertentu untuk mencapai matlamat mereka. Mungkin kita masih ingat tentang peristiwa 11 September 2001 lebih kurang tiga bulan sebelum saya keluar parti. Anwar pernah menulis dalam majalah Times yang seolah-olah menyebelahi AS dalam soal ini. Sudah tentu kita tidak setuju tentang keganasan, politik Osama Bin Laden dan sebagainya tetapi kita perlu mencari punca kenapa mereka menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat mereka. Namun penulisan Anwar dalam majalah itu terlalu berat sebelah dan beliau tidak cuba untuk memahami keadaan sebenar dan dilihat cuba merestui tindakan AS atas alasan penguasaan politik dan dominasi. Ini bukti kecenderungan beliau dalam hal ini kerana Anwar rapat dengan pihak-pihak tertantu. Sekarang ini sudah terbongkar tentang hubungan beliau dengan Paul Wolfowitz yang ketika itu merupakan Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan beberapa individu lain yang cenderung terhadap Neo-Con. Mereka ini memang rapat dengan pihak Zionis.
Bagaimana dengan masalah peribadi Anwar. Apa pandangan Dr. terhadap isu ini?
CHANDRA: Saya pernah menimbulkan perkara ini dalam surat setebal 15 muka yang saya kemukakan kepada Anwar sebelum berundur dari parti. Ini bukan satu dokumen yang didedahkan untuk khalayak ramai. Namun dalam surat itu saya nyatakan juga tentang isu-isu moral yang turut dibangkitkan oleh rakan-rakan saya yang lain seperti dari Singapura yang tahu tentang aspek-aspek tertentu tingkah laku beliau. Saya bangkitkan soal ini tetapi beliau hanya menyatakan ia adalah satu konspirasi, ada pihak mahu menjatuhkan beliau dan beberapa lagi. Namun apabila beberapa individu membangkit dan menjelaskan tentang isu ini kepada saya, saya mula meragui apa yang dikatakan beliau kepada saya.
Bagaimana pula pandangan Dr. tentang keadaan sekarang apabila banyak perkara semakin jelas tentang Anwar sama ada dalam hubungannya dengan pemimpin luar serta dalam soal peribadi?
CHANDRA: Mungkin kita masih ingat empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 berlangsung, saya pernah ditanya pandangan jika Anwar menjadi perdana menteri dalam satu forum dianjurkan akhbar The Star, saya menjawab berterus terang bahawa beliau akan menjadi malapetaka kepada negara. Itu pandangan saya selepas tujuh tahun meninggalkan parti. Anwar telah menyaman saya sebanyak RM10 juta selepas saya menyatakan pandangan itu. Kes itu masih belum selesai dan ia masih di peringkat pengurusan kes. Namun saya akan tetap dengan pendirian saya tentang hal ini. Pada pendapat saya, perkembangan dalam dua tiga tahun ini memperkukuhkan pandangan saya tentang Anwar. Kini pandangan saya mengenai beliau semakin kukuh setelah Pilihan Raya 2008 antaranya peristiwa 16 September, ia adalah satu pembohongan besar. Kalau kita benar-benar serius memperjuangkan demokrasi, bagaimana kita boleh mencetuskan satu rancangan atau komplot yang sangat bertentangan dengan demokrasi. Ini bermakna beliau mahu merampas kuasa melalui politik pintu belakang dan itu yang saya tentang. Malah saya pernah menulis satu artikel mengenai bagaimana beliau memujuk ahli Parlimen untuk berpaling tadah menjatuhkan parti yang dipilih secara sah dan demokrasi.
Ini jelas menunjukkan beliau tidak menghormati demokrasi malah hanya mempergunakan demokrasi untuk kepentingan diri. Adakah tindakan beliau ini berlandaskan etika? Sudah tentu Anwar ada menawarkan janji-janji tertentu kepada beberapa pihak yang sudah tentu melibatkan wang, jawatan dan sebagainya. Kita tidak tahu tentang perkara sebenar tetapi jika benar sudah pasti ia berbentuk rasuah. Padahal jika Anwar berucap di luar mahupun dalam negara, beliau akan mengecam kerajaan sekarang sebagai rasuah dan sebagainya. Bagi saya beliau mempunyai masalah kontradiksi dalam personaliti beliau. Tidak ada pemimpin politik yang lebih hebat mengecam rasuah, isu kronisme dan sebagainya selain beliau tetapi sebenarnya beliau pun sama juga.
Satu lagi bukti yang saya mahu kemukakan adalah mengenai cara beliau menangani pemilihan dalam parti. Anwar akan memastikan kroninya menang pada hal beliau begitu lantang menentang kronisme. Terdapat banyak masalah berkaitan dengan etika seperti cara pihaknya mengira undi yang tidak betul, terdapat nama yang tidak wujud dalam pendaftaran parti serta bermacam-macam lagi. Keadaan sangat kucar-kacir dan apakah kita mengharapkan orang seperti ini menjadi pemimpin negara?
Seperkara lagi kalau kita lihat dalam kerjaya politiknya, beliau pakar dalam dua bidang atau dalam bahasa Inggerisnya, two ‘D’ specialist, pertama, demegogery atau pandai berpidato berapi-api tetapi kosong dalam ideanya dan satu lagi adalah dalam demonstrasi.
Pencapaiannya sebagai menteri kalau kita kaji, terdapat menteri-menteri yang mencapai pencapaian tertentu namun bagi Anwar, apa pencapaian yang dilakukan sebagai Menteri Pertanian kemudian Menteri Pelajaran? Sebagai Menteri Kewangan pula beliau hanya merosakkan ekonomi kita. Perkara ini jelas berlaku dan rakyat sudah lupa tentang bagaimana Anwar terlalu mengikut telunjuk IMF seperti yang ditulis oleh pemenang Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi, Joseph Stiglitz dalam bukunya Globalization and its discontent. Beliau secara berterus terang menyatakan bahawa Anwar mengikut IMF tanpa campur tangan IMF secara langsung.
Kita boleh lihat dalam kes Malaysia, IMF tidak masuk campur seperti di Indonesia kerana Dr. Mahathir Mohamad sangat tegas dalam hal ini, tidak seperti Anwar dari segi dasar-dasar yang dilaksanakan, semua itu adalah dasar IMF. Inilah yang merosakkan ekonomi kita. Yang menyelamatkan ekonomi negara ialah Dr. Mahathir apabila beliau melakukan dua langkah iaitu pertama, memecat Anwar dan kemudian, beliau mengenakan kawalan mata wang. Anwar sepatutnya menonjolkan kemahiran dalam aspek-aspek seperti pentadbiran, ekonomi dan sebagainya. Malangnya Anwar tidak ada idea dan hanya tahu mengkritik. Apakah individu seperti ini boleh memimpin negara kita? Malangnya terdapat pihak yang masih yakin dengan beliau dan saya tidak faham kenapa ini berlaku.
Kenapa terdapat pihak-pihak yang mahu menyokong beliau dan cuba mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri?
CHANDRA: Ini semua kerana kuasa. Tidak ada sebab lain kerana matlamat mereka mahu menawan Putrajaya. Sebahagian daripada pemimpin Pas dan DAP, tidak ada lain yang diimpikan selain kuasa dan Putrajaya. Tidak ada matlamat lain. Bagi mereka Anwar sangat penting kerana pertama, hanya Anwar yang dapat menyatukan mereka kerana jelas Pas dan DAP tidak mungkin mampu bekerjasama tanpa beliau. Tidak ada pemimpin lain dalam kalangan mereka yang boleh memainkan peranan ini kerana mungkin beliau berpengalaman sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan sebagainya. Dalam soal karakter, sifat-sifat kepimpinan seperti apakah beliau seorang yang ikhlas dan amanah, mereka ketepikan soal itu kerana mahu mengejar kuasa dan menawan Putrajaya. Pada masa sama, Anwar memperalatkan mereka dan mereka juga melakukan perkara yang sama terhadap Anwar. Namun yang penting bagi Anwar, beliau tetap mahu menjadi perdana menteri tidak kira apa caranya. Beliau sanggup mengorbankan prinsip hanya untuk mencapai matlamatnya.
Pada pandangan Dr. apa kesannya jika Anwar yang pernah menjadi Pengerusi Foundation For The Future, menjadi Perdana Menteri memandangkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak-pihak tertentu di luar negara?
CHANDRA: Kita semua boleh bertanya apa sebabnya seorang rakyat Asia Tenggara dilantik memimpin sebuah yayasan yang ditubuhkan kononnya untuk menyebarkan idea-idea tentang demokrasi di dunia Arab. Yayasan ini diilhamkan oleh Lyn Chenney, anak bekas Naib Presiden AS, Dick Chenney yang juga terlibat secara langsung dalam Perang Iraq. Lyn Chenney juga masyhur sebagai seorang lesbian. Badan ini dilancarkan pada 2005 oleh bekas Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice. Ini menunjukkan pertubuhan ini sangat rapat dengan AS dan golongan tertentu yang rapat dengan Zionisme dan penguasaan dunia. Anwar menjadi pengerusi selama tiga tahun dan meletakkan jawatan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Yayasan ini jelas matlamatnya dalam memperkukuhkan hegemoni dan penguasaan AS dan Israel di rantau Asia Barat tetapi bertopengkan demokrasi seperti beberapa NGO lain antaranya National Endownment for Democracy dan Open Society yang diasaskan oleh George Soros. Ini pastinya menimbulkan tandatanya kenapa Anwar dipilih sebagai pengerusi yayasan ini selain menunjukkan mereka begitu yakin terhadap beliau. Selepas Anwar menyertai demonstrasi mengenai flotila Palestin pada 2010, beliau mengecam Israel tentang hal ini namun kemudian bergegas berkunjung ke AS untuk memberi penjelasan tentang apa yang berlaku. Anwar telah ditemuramah oleh CNN dan sebagainya untuk memulihkan imejnya. Dua pemimpin AS menulis rencana dalam Wall Street Journal yang kita ketahui dikuasai oleh Rupert Murdoch seorang Yahudi Zionis yang menguasai media. Al Gore yang juga bekas Naib Presiden AS dan Paul Wolfowitz menulis rencana yang membela Anwar yang mereka sifatkan bahawa beliau seorang yang baik, kawan rapat dan sebagainya. Ini juga menimbulkan tanda tanya kenapa mereka begitu bersungguh-sungguh membela Anwar. Malah kita boleh lihat sejak sekian lama, setiap kali Anwar berhadapan dengan krisis, cara mereka membela Anwar dan tekanan yang dilakukan mereka begitu bersungguh-sungguh. Ini menimbulkan persoalan kenapa mereka begitu sayang pada Anwar. Sudah tentu jika mereka bersungguh-sungguh membela Anwar pasti ada sesuatu yang mereka harapkan daripada beliau.
Saya tidak mahu membuat spekulasi apa yang mereka mahukan tetapi kita tahu dari segi dasar luar AS, ada dua pertimbangan utama, pertama adalah isu dan kedudukan Israel. Kita tahu AS mahu lebih ramai pihak yang menyokong atau mengiktiraf negara Israel dan keduanya dalam konteks Asia Tenggara dan isu China, mereka bukan mencari kawan tetapi sekutu yang boleh diharapkan untuk mencapai matlamat mereka. Sebagai contoh ucapan Barack Obama di Hawaii dalam mesyuarat APEC dan ucapan Hillary Clinton, mereka menamakan beberapa negara yang dianggap sebagai sekutu rapat iaitu Filipina, Thailand dan Singapura yang dilihat boleh bekerjasama mengimbangi kuasa China. Namun nama Malaysia tidak disebut kerana walaupun negara ini berkawan dengan AS tetapi kita mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan kita sebagai sebuah negara dan tidak mahu menjadi budak suruhan AS atau Israel. Memang ini dasar yang digubal oleh Allahyarham Tun Razak sebagai negara yang bebas. Malah Malaysia merupakan negara bukan komunis pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf China. Oleh itu kita boleh faham bahawa AS mahu mendapatkan sesuatu daripada Malaysia sebagai balasan.

Khamis, 9 Februari 2012

~Pesan Untuk Si Anak Muda~

Di kala masih bayi
siapa yang memandang terjatuh hati 
bila sudah pandai duduk
ibu pasti tersenyum bangga
bila sudah pandai berdiri
bapa pula terasa megah
bila sudah pandai jalan jatuh
bapa sentiasa awasinya
pasti dan tahu
ibu dan ayah sentiasa ada di sisi
kala menangis mahu pon ketawa..

Kini sudah pandai berjalan
tangan ibu dan ayah sudah bisa ditepis
bukan benci tapi ia satu penghalang
untuk tunjuk jaguh
bahawa dirinya sudah tidak jatuh
maka tidak perlu dibimbing
sudah ada gah di dada..

Kini sudah boleh berlari
bisa berlari dan berlari
ayah ibu tepuk tangan tanda riang di hati
anaknya kini sudah pandai berdikari
cebuk dan mandi dibuat sendiri
dalam hati ibu dan ayah terasa iri
rupanya anaknya sudah pandai bawa diri
dirinya tidak diperlu lagi...

Kini sudah remaja
dunia ini ana yang punya
nasihat ayah dan ibu hanya sementara
peduli apa mereka kata
bukan dia tahu kehendak remaja
nasihat hanya memekak telinga
lebih baik mencari bahan teruja
bisa membuat dirinya dipuja
peduli apa titisan airmatanya...

Kini sudah dewasa
mengerti apa itu usia
nasihat ibu dan ayah ada rahsia
perbuatan terlarang membawa sia-sia
menyesal dulu membawa bahagia
menyesal kemudian membawa sangsara
sudah kenal apa itu syurga dan neraka..

Kala ibu dan ayah masih ada
ibarat penyuluh di malam gulita
senyum dan tawanya semanis gula
duka dan laranya simpan di dada
demi anak pewaris harta
sejahtera hidup doa dipinta
bukankah itu amanah dariNya
bahagia anak membawa sejahtera
tanpa balasan harta dan nyawa
kerana ikhlas begelar ayah dan bonda
kini mengerti apa itu anak derhaka
jauh dari cium bau syurga..

Wahai anak muda belia
beringat masa ada
ayah dan ibu tiada dua
sejahtera hidupmu dalam dakapan doanya...