Jumaat, 27 Julai 2012

Wanita VS Cemburu Dan Lelaki Pencetus Cemburu?


 
Cemburu dan wanita, atau wanita dan cemburu merupakan jalinan ikatan emosi yang begitu setia dalam diri wanita.  Perasaan itu timbul kerana wujudnya rasa kasih sayang, cinta dan ingin memiliki dan dimiliki oleh orang yang disayangi. Namun begitu perasaan cemburu yang terlalu kuat dan tanpa batasan akan mengundang bahaya kerana jika tidak dapat mengawal emosi ini boleh memberi mudarat pada wanita. Ramai wanita akan putus cinta kerana sikap cemburu buta atau melulu. Ramai isteri bercerai kasih kerana cemburu buta kepada suaminya. Persoalannya mengapa wanita menjadi cemburu kepada pasangannya.  Inilah hakikat yang mungkin kaum lelaki sukar untuk menerimanya bahawa sikap lelaki itu sendiri mengundang rasa cemburu kaum wanita.

Mana tidaknya jika sudah beristeri, si suami masih sering memuja wanita lain, masih cuba untuk bermesra dengan wanita lain dan sikap pantang lihat yang berkenan maka layanan dari mata hingga pergerakkan badan menggambarkan si lelaki bertukar watak. Faktor luaran kelihatan nyata, dan bagaimana jika hati dan mindanya sentiasa kepada wanita lain? Sudah tentu pasangan akan  menjeruk rasa. Mungkin sudah nasib badan wanita yang memiliki pasangan yang sememangnya  pemuja wanita. Ramai lelaki sepesis ini diberi bakat yang cemerlang dalam mengayat wanita, manis tutur kata, pandangan menggoda dan juga sering bersikap gentleman yang menjadikan ramai wanita cair di hati lalu jatuh cinta. 

Tidak dinafikan lelaki memang mudah jatuh hati dan akan jatuh cinta untuk kali kedua. Sama ada cinta itu akan kekal atau hanya bermusim bergantung kepada kesetiaan hatinya juga. Andainya lelaki sebegini memonopoli kehidupan dunia, dapat bayangkan maka ramailah wanita akan mengalami kemurungan dan mungkin kadar penceraian akan berlipat kali gandanya. Lelaki jenis sepesis Kasanova, Don Joan, Mat Romeo atau apa sahaja nama yang diberi dianugerahkan hati dan perasaan untuk memuja wanita.  Adanya lelaki seperti ini memberi keceriaan hidup kepada wanita yang memerlukan perhatian dan kasih sayang tetapi mungkin hanya seketika, apabila diketahui dirinya hanya sebagai satu sandaran kasih sayang lelaki.

Bagaimana pula kehidupan wanita-wanita yang terlibat dengan lelaki seperti ini? Kebarangkalian ianya adalah seperti berikut ; bekas makwe, bekas tunang, bekas isteri, bakal tunang, bakal isteri, bakal makwe akan memiliki perasaan cemburu kepada lelaki yang sama. Malang sekali bila dimiliki oleh seorang wanita bergelar isteri pasti api cemburunya akan tinggi melangit dan mungkin akhirnya membawa gelaran bekas isteri. Kesimpulannya siapa sebenarnya pembawa nasib malang? Wanita yang sememangnya cemburu atau lelaki yang sengaja meminta supaya wanita sentiasa cemburu kepada dirinya. Berbalik kepada fitrah lelaki sebagai khalifah, mana-mana lelaki tahu akan tanggungjawabnya kepada wanita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku.  Beruntung punya suami yang tahu akan tanggungjawab, setia dan tahu menjaga keselamatan keluaraga dan wanita yang dicintainya. akhir kata, tepuk dahi tanya akal, tepuk dada tanya nafsu dan tepuk hati tanya iman..

Khamis, 5 Julai 2012

Dulu Dia Hero Malaya..

gambar: google

Dulu  dia hero Malaya
berseluar yengki berkemaja jalur
berkasut tajam bagai bercermin
rokok tersepit dicelah jari
rambut  ramos tersisir rapi.

Dulu dia hero Malaya
selalu ada di simpang jalan
setia bersama vespa
berkaca mata hitam
bersiul lagu kasih merindu
anak gadis terumpan kasih.

Dulu dia hero Malaya
belakang kedai tempat bertemu
bukan seringgit dua malah beratus
dari pagi hingga dinihari
siapa menang dia belanja
perempuan kaberet menjadi halwa
bila kalah anak bini jadi mangsa.

Dulu dia hero Malaya
kasih dijaja cinta dicurah
anak bini merempat di rumah tak punya apa
peduli apa aku hero Malaya
kawan dan taulan gembira bersama
anak dara mahu pun janda
dipetik jari pasti ada
anak bini makan tiada
peduli apa bukannya papa

Dulu lain ceritanya
kini lain bicaranya
anak bini sudah tidak kenal padanya
bila merempat di rumah papa
mungkinkah dia kerana alpa
atau sudah suratan takdir menimpa
balasan padanya kerana terlupa
tanggungjawab suami mahupun bapa
yang akhirnya tidak punya apa-apa.


* bila kulihat seorang tua yang sudah tidak punya apa.. sedangkan masa mudanya dia hebat tidak takut siapa.

Selasa, 3 Julai 2012

Rindu Bak..

Beruntung bagi mereka yang masih mempunyai ayah.  Tiba-tiba aku terfikir perkara ini. Aku bertanya balik kenapa aku terfikir perkara ini? Ini bermakna sebenarnya aku merindu ayahku sendiri.. merindui untuk aku becerita manja tetapi penuh hormat dengannya.. Aku rindu untuk bertukar fikiran dan menyatakan apa yang aku fikirkan. Aku rindu untuk berkongsi cerita dengannya. Aku mula rindu segalanya tentang Bak. Andainya dia masih ada, ingin sahaja aku pecut kereta ini kembali menemuinya dan menyatakan apa yang berbuku di hatiku, apa yang membuat aku marah dan apa yang membuat aku sedih.

Aku sebenarnya tahu apa yang akan dilakukan.. iaitu hanya menjadi pendengar yang baik.. mendengar apa sahaja yang aku katakan.. dan aku tahu dia akan tersenyum dan mengangguk-angguk kepala memahami apa yang aku kata. Aku tahu dia akan berkata "selagi nama manusia, pasti tidak akan berpuas hati" dan aku akan membayangkan dia akan berkata "aruah ayah Bak pernah berkata, harta dan wang inggit boleh dicari.. usah takut untuk dikongsi..jika itu yang membuat mereka bahagia dan hidup, jangan kerana kedekutnya kita maka mereka akan hilang sifat kemanusiaan, dan Allah berhak mengambil nyawa manusia bila-bila masa dan sifat sabar itu adalah paling utama" Pastinya aku akan terdiam bila mendengar kata-kata ini. Dapat kubayangkan wajah tenangnya dan senyuman manisnya serta renungan matanya yang meminta aku mengerti.


Di kala ini aku mengimbau dan menolog setiap detik bersamanya. Siapa diri kita, bagaimana pun status kita perlunya ada seseorang yang boleh menjadi pendengar segala masalah kita dengan tenang tanpa menambah keperitan hati. "Bak, saya rindu Bak!. Ya Allah, rahmatilah rohnya ayahendaku Abdul Raoof bin Jabir@Tuaka. Sedetik ku pejam mata.. dan ada kelegaan dalam hati ini. Syukur, Alhamdulillah.

Syanz Abdul Raoof 
10.00pm@3Julai2012
Bangi.
  


Kasihku Yang Tulus..



Ya Allah ya Tuhanku..
aku merasai limpahan kasihMu
aku menikmati lazatnya rinduMu
izinkanlah nikmat kasih dan lazat rindu itu
pinjamanku selagi hayat ada
bersama impian bahagia
dalam sinar NurMu
dalam kasih LatiffMu
untuk kukongsi bersama dia
penuh tulus dan kudus
kerana ku tahu ia hanya dengan izinMu.
Syant Abra @2 Julai 2012/1.20am


Sabtu, 16 Jun 2012

~BAPA~


Senyum manis penuh karisma
di sebalik senyum itu ada bangga
menyelubung jiwa juga hatinya
baka zuriat sudah ada
pewaris nama juga harta
hilang malu dari dikata
terbukti dirinya adalah bapa

                                Jiwa bapa watak nakhoda                                 
satu arah penuh berpada
agar anak tidak mengada
kelak keluarga tidak ternoda
dek kelaku si anak muda

Menjadi bapa bukan senang
lembut usah garang pun jangan
bagai kawan janganlah semedang
kelak anak menjadi lawan
bisa menjadi berpatah arang

Bapa budiman pilihan hati
sopan berkata ilmu diberi
rezeki dicari kasih diberi
anak mengerti bapa dihormati
sepanjang nyawa bapa disayangi
kepada Illahi amanah ditepati
hatinya senang, perginya nanti.





*Selamat Hari Bapa kepada semua yang berstatus bapa..

Syanz Abdul Raoof
16 Jun 2012

Rabu, 13 Jun 2012

Anak Kecil Itu Suka Berangan...


Anak kecil itu punya angan
punya rasa punya cerita
mahu berbaring atas kapas awan
mahu petik bintang malam
mahu bersuluh bulan terang
mahu duduk atas pelangi

Anak kecil itu selalu berangan
di bawah pohon dan menyanyi kecil
irama dan lagu nyanyi di hati
lagu alam cerita tani juga mahu kaya
berlagu satu persatu tanpa jemu

Anak itu berangan lagi...
bisakah berlagu tanpa alunan
hanya terpandang dalam akal menerawang
kalau bisa punya bioala
mungkin lagu indah sudah tercipta
buat dirinya juga taulannya

Anak itu berangan lagi...
bila besar punya biola punya gitar
untuk dipetik kala duka
atau bisa membawa suka
pada mereka yang derita

Wahai ibu dan bapa
anak kecil usah diderita
bersama cerita lagu sedih
cari bakat usaha seada
agar anak berlagu suka
yang derita pasti teruja
mengubat luka di dalam dada...

Anak itu terus berangan...
haruskah kita lepas tangan?

Syanz Abdul Raoof
di kala fajar menyising
13 Jun 2012


Selasa, 12 Jun 2012

Mandi Manda Di Gunung Pulai, Pekan Nenas, Pontian, Johor







Kesempatan cuti sekolah, saya mengambil peluang bersama anak-anak saudara untuk menikmati pengalaman bercuti bersama.  Jauh di sudut hati saya, berkehendak untuk membawa mereka menikmati pengalaman hidup yang ceria, memahami adat dan budaya, menyayangi alam semesta, di samping itu  ada nilai dan budi yang mereka akan bawa sebagai satu pengertian kasih sayang dalam hidup bersaudara.




Tanggal 9 Jun 2012  hari Sabtu bersama 6 kanak-kanak bawah umur 12 tahun merupakan anak-anak saudara ku telah kubawa ke Hutan Lipur Gunung Pulai yang terletak, di Pekan Nenas, Pontian, Johor. Turut sama adik perempuan saya yang menemani anak perempuannya, di samping itu anak buah saya satu-satunya lelaki turut sama mengawasi dalam aspek keselamatan.

Keseronokkan mereka tergambar apabila sebaik sahaja mereka melihat suasana damai dan tenang.. apa tah lagi melihat dan mendengar deruan air yang mengailir tanpa henti. Perkongsian gambar dapat melihat keseronokan mereka dan tentunya sebagai orang dewasa dapat merasakan apa yang mereka rasakan kerana kita juga pernah menjadi kanak-kanak.

Di sebalik keseronokan mandi manda kanak-kanak ini harus diterapkan pemahaman dalam aspek konservasi iaitu melestarikan atau melindungi alam. Khazanah alam amat berkait rapat dengan manusia. Tanpa alam apalah akan terjadi kepada manusia sejagat.  Aspek ilmu bagi mengekalkan persekitaran alam dengan baik perlu ada seperti pemahaman dalam disiplin pembuangan sampah dan kesan jika ada pemusnahan tumbuhan haruslah diterap ke dalam minda generasi ini.



Bunga Senduduk Unggu
Di Sebalik Batu..


Dari atas: Acha, Indok, Aha, Dok Qi, Fira & Saffin


Achie
Bergaya sempoi...

Semoga percutian dengan mandi manda di jeram seperti ini akan memberikan mereka satu pengalaman yang indah untuk dikenang, juga mengerti akan keperihatianan dan kasih sayang orang dewasa.  Amat berharap nilai-nilai kasih sayang sesama saudara dan keperihatinan kepada alam akan terus subur dalam arus menuju kedewasaan mereka. 

Jauh di sudut hatiku ada rasa kepuasan dan ketenangan.  Sebagai orang dewasa ketenangan begini dapat meringan beban tekanan dalam kehidupan seharian yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran sama ada dalam kehidupan peribadi mahu pun kerjaya.

    Syanz Abdul Raoof

























Ahad, 10 Jun 2012

Senduduk Unggu Di Sebalik Batu

Senduduk Unggu
hanya setia menunggu
bagai penjaga arus berlalu
tiada siapa yang tahu
dia juga seorang perindu
pada musafir lalu yang bertamu
yang sekadar menyapa lalu
oh! di sana ada Senduduk Unggu
setia menunggu di sebalik batu
dan senduduk unggu diam terpaku
mengerti dirinya bukan untuk dirindu
dan biarlah setia menunggu
bersama bayu yang dingin menyusuk kalbu
menunggu lagi musafir lalu
Setia bersama waktu di sebalik batu...

Syanz Aisyah Abdul Raoof
9 Jun 2012


Senduduk Unggu Di Sebalik Batu
(gambar di ambil di Air Terjun Gunung Pulai)








Khamis, 7 Jun 2012

Aku dan Sikapku....




Gambar Profil     Aku kerling bukan bermaksud aku benci
                                                           Aku senyum bukan bermaksud aku sudi                                                            Aku geleng kepala bukan bermaksud aku tidak beri
                                                           Aku angguk bukan bermaksud aku pasti...
                                                           

                                                           Kadangkala aku angguk hanya penyedap hati
                                                           agar tidak membawa sengketa
                                                           kadangkala aku setuju untuk seketika
                                                           agar situasi kembali ceria.. 

                                                            Pabila aku kerling tajam
                                                            ada tanda benci yang mendalam
                                                            bikin hatiku rawan
                                                            asal jangan sampai dendam..  

                                                            Pabila aku tersenyum
                                                            seiring bersama mata, bibir dan hatiku
                                                            aku pasti tiada kata secantik bahasa
                                                             kerana ikhlas datang dari hati...  

                                                            Angguk dan geleng
                                                            dua watak berbeza
                                                            kadang mengia kadang menidak
                                                            perlu selari dari hati dan minda
                                                            agar tidak tertipu dek akal...


Syanz Aisyah Abdul Raoof
7 Jun 2012


Ahad, 3 Jun 2012

Bila aku mengalun rindu


Bila aku mengalun lagu rindu 
di malam indah namun sepi
bila aku berlagu rindu
tiada siapa yang di sisi
mungkin aku hanya penyair sepi
yang hadir pada penghujung waktu
mungkinkah aku hanya pandai berlagu rindu
sedang waktu berlalu pergi
mungkin aku terus menyepi
ibarat masa yang terus berlalu
terus berlalu..
terus berlalu...
terus berlalu.......
dan aku terus menyepi....
bersama ketentuan azali.

Syanz Abdul Raoof
12 Januari 2011