Khamis, 22 Disember 2011

Siswa-Siswi Vs Penderhaka

Tanggungjawab bergelar siswazah ni beratnya bukan sekadar seberat buku yang dibawa ke hulu atau ke hilir. Ianya berat yang tidak boleh terukur dek timbangan kilo. Berat  memikul tanggungjawab pada diri sendiri,  menjaga nama baik dan harapan ibu bapa, menjaga nama baik asal keturunan, menjaga nama baik para pensyarah dan tentunya nama baik univrsiti.
Syukur kehadrat Allah bagi siswazah yang punya tanggung jawab pada diri, bangsa, negara dan agama.  Keempat elemen ini penting didukung bersama dalam membawa gelaran sebagai siswazah.  Apalah gunanya jika hanya pandai tetapi tidak berilmu, tetapi tidak matang. Apalah gunanya hanya pandai tetapi hanya pandai membawa kehancuran. Apalah gunanya pandai kalau hanya membawa kontraversi yang mencemarkan nama baik sendiri. Apalah gunanya hanya pandai tetapi dilebelkan sebagai penderhaka kepada ibu bapa, bangsa, negara dan agama sendiri.
Dalam arus perdana ini, ramai orang yang ingin mempergunakan tenaga muda yang berjiwa besar tetapi cetek kematangan demi agenda dan kepentingan diri sendiri.  Apakah peranan golongan dewasa yang dikatakan matang, punya kuasa, punya kredibiliti untuk membawa anak muda yang tersasar kembali ke landasan sebenar. Wahai pengurusan universiti, pemimpin politik, ibu bapa, para ilmuan bantulah anak-anak muda ini yang perlu bimbingan dan ajarlah mereka hal tanggungjawab. Jangan biarkan mereka hanyut kerana mereka ini adalah aset negara.
Siswa/siswi yang punya tanggungjawab dan faham di bahunya ada amanah yang perlu ditunaikan akan berfikir seribu kali malah beribu-ribu kali untuk memikirkan hal kebaikan dirinya dan juga orang lain. Usahlah kita terlalu hanyut dek janji di mana bulan dan matahari  seolah bisa diubah kedudukannya.  Walau jauh di sudut hati ada bisikan mengatakan semuanya itu maha mustahil.
Wahai adik-adik yang sedang belajar di IPTA/S tunaikan tanggungjawab anda sebagi siswa/wi demi masa hadapanmu. Usah menyongsang arus kerana tidak tercapai kematangan akalmu berhadapan dengan "politik gila" orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Orang yang sayang agamanya, bangsanya, negaranya, keluarganya tidak akan membiarkan dirinya menjadi penderhaka dan menjadi agen kepada penderhaka agama, bangsa dan negara. Kembalilah kepada tanggungjawab kalian sebagai pelajar yang berhemah. Jika sudah ada segulung ijazah, jika sudah ada duit berkarung guni, jika sudah ada pangkat, tekadkan hati dan carilah formula bagaimana menjadikan negara yang tercinta ini terus aman damai, kukuh ekonominya, rakyatnya berjiwa besar dan kuat pendirian agamanya. 

Tiada ulasan: