“Anwar tidak pernah ikhlas”
NAMA Dr. Chandra Muzaffar bukanlah satu nama asing dalam bidang akademik di negara ini. Pemikiran dan idea kritis beliau sering sahaja menimbulkan polemik yang pelbagai. Namun kini beliau menumpukan sepenuh tugasnya sebagai Presiden International Movement for a Just World (JUST) selain menjadi pengerusi Yayasan 1Malaysia. Namun di sebalik semua usaha ini Chandra berkongsi bersama wartawan Mingguan Malaysia, Lukman Ismail dan Hafizahril Hamid tentang kesilapan paling besar pernah dilakukan sepanjang hidupnya, iaitu menyertai Parti Keadilan.
Beliau mengakui secara ‘terpaksa’ memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan pada awal penubuhannya dan kemudian Dr. Chandra juga antara orang pertama yang keluar parti setelah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya baru-baru ini, Dr. Chandra secara berterus terang bercakap tentang penglibatan dan kesilapannya itu dan pandangannya terhadap Anwar yang disifatkan beliau sebagai orang yang tidak layak memimpin negara ini. Berikut adalah sedutan wawancara tersebut.
Beliau mengakui secara ‘terpaksa’ memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan pada awal penubuhannya dan kemudian Dr. Chandra juga antara orang pertama yang keluar parti setelah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya baru-baru ini, Dr. Chandra secara berterus terang bercakap tentang penglibatan dan kesilapannya itu dan pandangannya terhadap Anwar yang disifatkan beliau sebagai orang yang tidak layak memimpin negara ini. Berikut adalah sedutan wawancara tersebut.
MINGGUAN: Apa yang mendorong Dr. menyertai Parti Keadilan pada peringkat awal penubuhannya?
CHANDRA: Sebelum parti itu ditubuhkan pada 19 April 1999, sudah terdapat gerakan sebelumnya yang bernama Adil. Ia mendahului Keadilan sebagai satu gerakan sosial yang dipimpin oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan saya pula sebagai timbalan pengerusi. Matlamatnya untuk mempertingkatkan kesedaran rakyat tentang isu-isu yang mencabar masyarakat ketika itu, selepas Anwar dipecat. Adil berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat namun ia bukan parti politik. Saya dimaklumkan pada masa itu dan diulangi beberapa pihak, bila parti politik tertubuh maka orang lain akan memimpinnya. Bukan saya atau Wan Azizah kerana Adil bergerak sebagai sebuah NGO. Tapi apabila parti politik ditubuhkan dikatakan 20 ahli Parlimen akan menyertai parti ini. Saya menganggap ini sebagai sesuatu yang akan berlaku maka saya tidak perlu terlibat dalam politik kepartian. Ini kerana saya memang tidak berminat dalam politik kepartian kerana saya bukan ahli politik dan ini bukan matlamat kami. Tetapi 20 ahli Parlimen yang dikatakan akan keluar tidak menjadi kenyataan dan ia hanya omong kosong. Oleh kerana tidak ada yang sanggup memikul bebanan ini maka saya terpaksa memegang jawatan timbalan presiden.
Boleh dikatakan Dr. terpaksa memikul tanggungjawab ini?
CHANDRA: Saya terpaksa memikul walaupun tidak berminat politik kepartian. Satu lagi faktor yang mendorong saya adalah dengan apa yang berlaku kepada Anwar bukan kerana beliau sahabat saya tetapi kerana peristiwa Anwar dibelasah di penjara. Perkara ini didedahkan pada 29 September 1998. Bagi saya, adalah sesuatu yang tidak adil apabila beliau dipukul oleh Ketua Polis Negara. Saya sebenarnya tertipu kerana pada awalnya dikatakan terdapat ahli Parlimen yang akan melompat tetapi ia tidak berlaku.
Berapa lama Dr. di dalam parti dan apa yang mendorong Dr. keluar?
CHANDRA: Saya menyertai parti itu sejak April 1999 hingga awal Disember 2001. Saya tidak meninggalkan perjuangan tetapi menyertainya sebagai wadah. Saya berundur atas beberapa sebab, pertamanya selepas menyertai dan memegang jawatan timbalan presiden, saya telah terdedah kepada beberapa perkara dalam parti yang ahli-ahli biasa tidak mengetahui tentangnya. Saya nampak cara Anwar mengendalikan parti dari dalam penjara. Beliau berada di dalam penjara tetapi menguasai parti, membuat keputusan dan sebagainya. Beliau yang pastikan arah tuju parti dan menguasai segalanya. Ini telah menjadi masalah kerana beliau cuba menentukan corak pengurusan dari belakang tembok penjara dan sudah tentu sukar untuk dilakukan. Seperti yang pernah dihujahkan oleh Allahyarham Maududi ketika dipenjarakan, beliau tidak mahu terlibat dalam pengurusan Jamaat Islami kerana merasakan ia adalah sesuatu yang mustahil. Tapi bagi Anwar walaupun ada struktur dan kepimpinan parti tetapi beliau masih mahu mengawal segalanya. Bagi saya ia mencerminkan satu sikap beliau yang suka mengawal dan menguasai. Beberapa masalah yang diketahui umum iaitu parti ini mempunyai banyak puak serta terdapat pelbagai kecenderungan dan sebagainya.
Keadaan ini bertambah teruk dengan cara pengurusan Anwar yang sering berjanji sesuatu kepada individu tertentu dan kemudian berjanji pula kepada orang lain. Mungkin ini adalah salah satu daripada gaya politik beliau. Apabila beliau menguasai parti terutama dalam keadaannya dipenjarakan, mungkin beliau menganggap cara tersebut sebagai paling berkesan. Anwar dengan sengaja menimbulkan perselisihan dan berpuak-puak dalam parti. Itu salah satu kelemahan yang saya lihat merugikan parti. Perkara ketiga, Anwar ialah seorang pemimpin yang boleh disifatkan sebagai kurang ikhlas kerana ucapan, pidato dan retorik beliau sangat bertentangan dengan apa yang berlaku di dalam parti. Dalam Keadilan pada masa itu ada individu tertentu yang rapat dengan beliau dan terlibat dalam politik wang. Apabila saya mendapat tahu tentang perkara ini dan membawanya kepada Anwar, namun beliau tidak mahu bertindak kerana melindungi mereka. Begitu juga dalam perkara lain. Beliau kononnya pemimpin yang memperjuangkan perpaduan kaum tetapi dalam pilihan raya kecil Lunas misalnya jelas Anwar memainkan isu perkauman untuk meraih sokongan. Ini sangat bertentangan dengan apa yang dilaungkan beliau. Ini seperti ungkapan cakap tidak serupa bikin.
Faktor lain adalah kerana hubungan Anwar dengan individu-individu tertentu di luar negara. Anwar mahu meneruskan dasar luar Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang bertujuan menguasai kawasan-kawasan tertentu untuk mencapai matlamat mereka. Mungkin kita masih ingat tentang peristiwa 11 September 2001 lebih kurang tiga bulan sebelum saya keluar parti. Anwar pernah menulis dalam majalah Times yang seolah-olah menyebelahi AS dalam soal ini. Sudah tentu kita tidak setuju tentang keganasan, politik Osama Bin Laden dan sebagainya tetapi kita perlu mencari punca kenapa mereka menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat mereka. Namun penulisan Anwar dalam majalah itu terlalu berat sebelah dan beliau tidak cuba untuk memahami keadaan sebenar dan dilihat cuba merestui tindakan AS atas alasan penguasaan politik dan dominasi. Ini bukti kecenderungan beliau dalam hal ini kerana Anwar rapat dengan pihak-pihak tertantu. Sekarang ini sudah terbongkar tentang hubungan beliau dengan Paul Wolfowitz yang ketika itu merupakan Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan beberapa individu lain yang cenderung terhadap Neo-Con. Mereka ini memang rapat dengan pihak Zionis.
Bagaimana dengan masalah peribadi Anwar. Apa pandangan Dr. terhadap isu ini?
CHANDRA: Saya pernah menimbulkan perkara ini dalam surat setebal 15 muka yang saya kemukakan kepada Anwar sebelum berundur dari parti. Ini bukan satu dokumen yang didedahkan untuk khalayak ramai. Namun dalam surat itu saya nyatakan juga tentang isu-isu moral yang turut dibangkitkan oleh rakan-rakan saya yang lain seperti dari Singapura yang tahu tentang aspek-aspek tertentu tingkah laku beliau. Saya bangkitkan soal ini tetapi beliau hanya menyatakan ia adalah satu konspirasi, ada pihak mahu menjatuhkan beliau dan beberapa lagi. Namun apabila beberapa individu membangkit dan menjelaskan tentang isu ini kepada saya, saya mula meragui apa yang dikatakan beliau kepada saya.
Bagaimana pula pandangan Dr. tentang keadaan sekarang apabila banyak perkara semakin jelas tentang Anwar sama ada dalam hubungannya dengan pemimpin luar serta dalam soal peribadi?
CHANDRA: Mungkin kita masih ingat empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 berlangsung, saya pernah ditanya pandangan jika Anwar menjadi perdana menteri dalam satu forum dianjurkan akhbar The Star, saya menjawab berterus terang bahawa beliau akan menjadi malapetaka kepada negara. Itu pandangan saya selepas tujuh tahun meninggalkan parti. Anwar telah menyaman saya sebanyak RM10 juta selepas saya menyatakan pandangan itu. Kes itu masih belum selesai dan ia masih di peringkat pengurusan kes. Namun saya akan tetap dengan pendirian saya tentang hal ini. Pada pendapat saya, perkembangan dalam dua tiga tahun ini memperkukuhkan pandangan saya tentang Anwar. Kini pandangan saya mengenai beliau semakin kukuh setelah Pilihan Raya 2008 antaranya peristiwa 16 September, ia adalah satu pembohongan besar. Kalau kita benar-benar serius memperjuangkan demokrasi, bagaimana kita boleh mencetuskan satu rancangan atau komplot yang sangat bertentangan dengan demokrasi. Ini bermakna beliau mahu merampas kuasa melalui politik pintu belakang dan itu yang saya tentang. Malah saya pernah menulis satu artikel mengenai bagaimana beliau memujuk ahli Parlimen untuk berpaling tadah menjatuhkan parti yang dipilih secara sah dan demokrasi.
Ini jelas menunjukkan beliau tidak menghormati demokrasi malah hanya mempergunakan demokrasi untuk kepentingan diri. Adakah tindakan beliau ini berlandaskan etika? Sudah tentu Anwar ada menawarkan janji-janji tertentu kepada beberapa pihak yang sudah tentu melibatkan wang, jawatan dan sebagainya. Kita tidak tahu tentang perkara sebenar tetapi jika benar sudah pasti ia berbentuk rasuah. Padahal jika Anwar berucap di luar mahupun dalam negara, beliau akan mengecam kerajaan sekarang sebagai rasuah dan sebagainya. Bagi saya beliau mempunyai masalah kontradiksi dalam personaliti beliau. Tidak ada pemimpin politik yang lebih hebat mengecam rasuah, isu kronisme dan sebagainya selain beliau tetapi sebenarnya beliau pun sama juga.
Satu lagi bukti yang saya mahu kemukakan adalah mengenai cara beliau menangani pemilihan dalam parti. Anwar akan memastikan kroninya menang pada hal beliau begitu lantang menentang kronisme. Terdapat banyak masalah berkaitan dengan etika seperti cara pihaknya mengira undi yang tidak betul, terdapat nama yang tidak wujud dalam pendaftaran parti serta bermacam-macam lagi. Keadaan sangat kucar-kacir dan apakah kita mengharapkan orang seperti ini menjadi pemimpin negara?
Seperkara lagi kalau kita lihat dalam kerjaya politiknya, beliau pakar dalam dua bidang atau dalam bahasa Inggerisnya, two ‘D’ specialist, pertama, demegogery atau pandai berpidato berapi-api tetapi kosong dalam ideanya dan satu lagi adalah dalam demonstrasi.
Pencapaiannya sebagai menteri kalau kita kaji, terdapat menteri-menteri yang mencapai pencapaian tertentu namun bagi Anwar, apa pencapaian yang dilakukan sebagai Menteri Pertanian kemudian Menteri Pelajaran? Sebagai Menteri Kewangan pula beliau hanya merosakkan ekonomi kita. Perkara ini jelas berlaku dan rakyat sudah lupa tentang bagaimana Anwar terlalu mengikut telunjuk IMF seperti yang ditulis oleh pemenang Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi, Joseph Stiglitz dalam bukunya Globalization and its discontent. Beliau secara berterus terang menyatakan bahawa Anwar mengikut IMF tanpa campur tangan IMF secara langsung.
Kita boleh lihat dalam kes Malaysia, IMF tidak masuk campur seperti di Indonesia kerana Dr. Mahathir Mohamad sangat tegas dalam hal ini, tidak seperti Anwar dari segi dasar-dasar yang dilaksanakan, semua itu adalah dasar IMF. Inilah yang merosakkan ekonomi kita. Yang menyelamatkan ekonomi negara ialah Dr. Mahathir apabila beliau melakukan dua langkah iaitu pertama, memecat Anwar dan kemudian, beliau mengenakan kawalan mata wang. Anwar sepatutnya menonjolkan kemahiran dalam aspek-aspek seperti pentadbiran, ekonomi dan sebagainya. Malangnya Anwar tidak ada idea dan hanya tahu mengkritik. Apakah individu seperti ini boleh memimpin negara kita? Malangnya terdapat pihak yang masih yakin dengan beliau dan saya tidak faham kenapa ini berlaku.
Kenapa terdapat pihak-pihak yang mahu menyokong beliau dan cuba mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri?
CHANDRA: Ini semua kerana kuasa. Tidak ada sebab lain kerana matlamat mereka mahu menawan Putrajaya. Sebahagian daripada pemimpin Pas dan DAP, tidak ada lain yang diimpikan selain kuasa dan Putrajaya. Tidak ada matlamat lain. Bagi mereka Anwar sangat penting kerana pertama, hanya Anwar yang dapat menyatukan mereka kerana jelas Pas dan DAP tidak mungkin mampu bekerjasama tanpa beliau. Tidak ada pemimpin lain dalam kalangan mereka yang boleh memainkan peranan ini kerana mungkin beliau berpengalaman sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan sebagainya. Dalam soal karakter, sifat-sifat kepimpinan seperti apakah beliau seorang yang ikhlas dan amanah, mereka ketepikan soal itu kerana mahu mengejar kuasa dan menawan Putrajaya. Pada masa sama, Anwar memperalatkan mereka dan mereka juga melakukan perkara yang sama terhadap Anwar. Namun yang penting bagi Anwar, beliau tetap mahu menjadi perdana menteri tidak kira apa caranya. Beliau sanggup mengorbankan prinsip hanya untuk mencapai matlamatnya.
Pada pandangan Dr. apa kesannya jika Anwar yang pernah menjadi Pengerusi Foundation For The Future, menjadi Perdana Menteri memandangkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak-pihak tertentu di luar negara?
CHANDRA: Kita semua boleh bertanya apa sebabnya seorang rakyat Asia Tenggara dilantik memimpin sebuah yayasan yang ditubuhkan kononnya untuk menyebarkan idea-idea tentang demokrasi di dunia Arab. Yayasan ini diilhamkan oleh Lyn Chenney, anak bekas Naib Presiden AS, Dick Chenney yang juga terlibat secara langsung dalam Perang Iraq. Lyn Chenney juga masyhur sebagai seorang lesbian. Badan ini dilancarkan pada 2005 oleh bekas Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice. Ini menunjukkan pertubuhan ini sangat rapat dengan AS dan golongan tertentu yang rapat dengan Zionisme dan penguasaan dunia. Anwar menjadi pengerusi selama tiga tahun dan meletakkan jawatan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Yayasan ini jelas matlamatnya dalam memperkukuhkan hegemoni dan penguasaan AS dan Israel di rantau Asia Barat tetapi bertopengkan demokrasi seperti beberapa NGO lain antaranya National Endownment for Democracy dan Open Society yang diasaskan oleh George Soros. Ini pastinya menimbulkan tandatanya kenapa Anwar dipilih sebagai pengerusi yayasan ini selain menunjukkan mereka begitu yakin terhadap beliau. Selepas Anwar menyertai demonstrasi mengenai flotila Palestin pada 2010, beliau mengecam Israel tentang hal ini namun kemudian bergegas berkunjung ke AS untuk memberi penjelasan tentang apa yang berlaku. Anwar telah ditemuramah oleh CNN dan sebagainya untuk memulihkan imejnya. Dua pemimpin AS menulis rencana dalam Wall Street Journal yang kita ketahui dikuasai oleh Rupert Murdoch seorang Yahudi Zionis yang menguasai media. Al Gore yang juga bekas Naib Presiden AS dan Paul Wolfowitz menulis rencana yang membela Anwar yang mereka sifatkan bahawa beliau seorang yang baik, kawan rapat dan sebagainya. Ini juga menimbulkan tanda tanya kenapa mereka begitu bersungguh-sungguh membela Anwar. Malah kita boleh lihat sejak sekian lama, setiap kali Anwar berhadapan dengan krisis, cara mereka membela Anwar dan tekanan yang dilakukan mereka begitu bersungguh-sungguh. Ini menimbulkan persoalan kenapa mereka begitu sayang pada Anwar. Sudah tentu jika mereka bersungguh-sungguh membela Anwar pasti ada sesuatu yang mereka harapkan daripada beliau.
Saya tidak mahu membuat spekulasi apa yang mereka mahukan tetapi kita tahu dari segi dasar luar AS, ada dua pertimbangan utama, pertama adalah isu dan kedudukan Israel. Kita tahu AS mahu lebih ramai pihak yang menyokong atau mengiktiraf negara Israel dan keduanya dalam konteks Asia Tenggara dan isu China, mereka bukan mencari kawan tetapi sekutu yang boleh diharapkan untuk mencapai matlamat mereka. Sebagai contoh ucapan Barack Obama di Hawaii dalam mesyuarat APEC dan ucapan Hillary Clinton, mereka menamakan beberapa negara yang dianggap sebagai sekutu rapat iaitu Filipina, Thailand dan Singapura yang dilihat boleh bekerjasama mengimbangi kuasa China. Namun nama Malaysia tidak disebut kerana walaupun negara ini berkawan dengan AS tetapi kita mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan kita sebagai sebuah negara dan tidak mahu menjadi budak suruhan AS atau Israel. Memang ini dasar yang digubal oleh Allahyarham Tun Razak sebagai negara yang bebas. Malah Malaysia merupakan negara bukan komunis pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf China. Oleh itu kita boleh faham bahawa AS mahu mendapatkan sesuatu daripada Malaysia sebagai balasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan