Selasa, 28 Januari 2014

Menghirup Bayu Laut Sambil Membeli Hasil Laut di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor.


Pantai Remis Menghadap Selat Melaka , berbalam kelihatan Pulau Angsa


Assalam, lama tak berkongsi cerita di blog ini.. kali ini penulis ingin berkongsi pengalaman semasa berkunjung ke Pantai Remis, Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor.

Mendapat kesempatan di hujung minggu melihat tempat orang menjadi satu pengalaman yang cukup berharga.  Gara-gara teringin nak merasa mentarang yang begitu popular di Kuala Selangor memberi peluang  kepada saya  bersama sahabat balik ke kampungn halaman keluarganya di Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor.   
Kesempatan ini membawa saya ke Pantai Remis yang tidak jauh dari belakang rumah ibu saudaranya.  Hamparan laut Selat Melaka menjadikan Pantai Remis ini sumber rezeki kepada penduduk tempatan. Hembusan bayu yang menyegarkan amat mendamaikan jika anda penggemar alam semula jadi yang menghargai alam.  Walaupun pantainya tidak berpasir putih segebu di pantai sebelah timur, berlaut Laut China Selatan namun Pantai Remis tetap ada keunikannya serta mendamaikan.


Batuan tambak sepanjang pantai bagi mengelakkan hakisan dan deretan pohon rhu menambah keindahan pantai

Penulis  bersama sahabat mengambil peluang merakamkan kenangan di pantai ini

Gerai yang menghadap laut tentunya memberi kepuasan kepada mereka yang cintakan alam semula jadi. Sambil membeli belah untuk dijadikan lauk pauk, pengujung juga boleh membawa keluarga terutama anak-anak bermain layang-layang.  Tiupan angin laut tentunya memberi keseronokan kepada penggemar layang-layang.
 
Pantai Remis ini memberi rezeki kehidupan kepada penduduknya yang menjadi nelayan pantai dan peniaga di sepanjang Pantai Remis ini. Banyak gerai-gerai yang menjual hasil tangkapan laut selain ikan segar, spesis cengkerang iaitu mentarang, lokan, siput sedut, remis, kepah, ala-ala, pepahat, kupang malah belangkas juga ada dijual. Di Pantai Remis ini seolah satu hub penjualan hasil laut spesis cengkerang.
Penulis menunjukkan belangkas yang dijual digerai makanan dan menjadi rezeki hidangan makan malam belangkas masak cili.
Belangkas juga adalah hasil makanan laut yang enak dimakan.
Ianya dianggap sebagai makanan exotik dan hanya mereka yang biasa sahaja mengetahui kelazatan belangkas. Sebelum ini penulis hanya berpengalaman memakan telurnya sahaja, tetapi kesempatan ini penulis dapat menikmati isinya, walaubagaimana pun penulis jujur mengatakan telurnya lagi enak.. hehehehe..

Pelbagai hasil laut yang boleh dibeli di gerai Pantai Remis
Inilah yang dikatakan mentarang. Direbus atau dibakar memang enak sekali.
Rasanya manis. Selain itu ianya juga boleh dimasak sambal atau apa sahaja yang difikirkan sesuai.






Selain dari hasil laut, tanaman sayuran penduduk tempatan juga banyak dijual seperti keladi, ubi, keledek, batang keladi, pucuk ubi, pucuk paku, pucuk peria pantai, nangka dan pelbagai hasil tanaman lain boleh dibeli dengan harga yang cukup berpatutan.  


Ikan Bilis, ikan kering dan belacan buatan penduduk tempatan juga ada dijual. Pendek kata apa sahaja hasil lautan boleh diperolehi di gerai sepanjang Pantai Remis ini. Sempat juga berbual mesra dengan penjual yang cukup ramah yang melahirkan rasa bangganya kerana penduduk tempatan boleh menghasilkan jualan  yang menjadi identiti masyarakat setempat.

Berkunjung di Pantai Remis, membawa satu pengalaman menarik dan rasa keinginan penulis untuk datang lagi begitu tinggi. Kepada anda pembaca blog ini andai ada kesempatan pergilah berkunjung ke Pantai Remis.
Akhir kata pantun penulis..
                                                  Pantai Remis pantainya landai,
                                                  Banyak kerangan datang merapat,
                                                  Tidaklah mengemis andainya pandai,  
                                                  Ringannya tangan rezeki mendapat.

Wassalam.
Oleh : Syanz Abdul Raoof
Kenangan 22 Januari 2014

Tiada ulasan: