Isnin, 29 Julai 2013

Nukilan Pantun Dariku: 

Angin kencang beralun gelombang,
Gelombang besar membadai pantai,
Bawa berbincang bawa bersembang,
Hati nan gusar menjadi santai.

Gelombang besar membadai pantai,
Pasir berderai hanyut ke laut,
Hati nan gusar dibawa bersantai,
Kusut terlerai kasih berpaut.

Pasir berderai hanyut kelaut,
Dipukul ombak naik ke pantai,
Kusut terlerai kasih berpaut,
Harum semerbak di birai mengintai.

Dipukul ombak naik ke pantai,
Mencari teduh di bawah kepayang,
Harum semerbak di birai mengintai,
Jodoh nan utuh kembali menyayang.


(Pemerhatianku, bahtera rumahtangga gelora melanda pasti ada, namun begitu sikap tolak ansur dan ingin kedamaian akan membawa perbincangan. Paling penting ketepikan sikap ego dahulu dan seeloknya buanglah ego agar kesejahteraan hidup lebih diutamakan) 



Syanz Aisyah Abdul Raoof

29 julai 2013



Gambar: Sumber Negis Art.

Khamis, 13 Jun 2013

Bukit Broga Dalam Ingatan.


Cik Aisyah!!! Jom kita pergi Bukit Broga.. Lembut ajer si Khaidzir mempelawa saya apabila masuk di kamar kerja saya. Geng minat rekreasi di pejabat  mengajak pergi mendaki Bukit Broga yang terletak di Semenyeh. Oleh kerana saya tinggal di Bangi maka jarak bukanlah satu masalah lagi pun  memang teringin sangat nak mendaki Bukit Broga ini.. Almaklumlah melihat gambar-gambar di Face Book rakan-rakan mengamit keinginan untuk pergi.   Apa lagi perbincangan yang banyak kali berubah akhirnya terputus juga dengan hanya 3 orang yang akan pergi saya, Amirah Sofea dan Khaidzir. Khaidzir Zaharin ni memang kaki gunung dan out door. Beliaulah yang memberitahu arah jalan dan akan menunggu di kaki bukit jam 7.30 pagi.


Hahahahaha.. ketawa saya dengan Amirah Sofea bila jam 7.30 pagi kami berdua masih dalam rumah baru memakai sepatu. Tup tup terdengar bunyi telefon dari Khaidzir bertanya di mana kedudukan saya. Rasa bersalah dan meminta dia menunggu atau pergi bersarapan pagi sementara menunggu mak-mak datin ni bergerak.. hehehehe..



 

 
8.10 pagi  akhirnya kami sampai di kaki bukit dan melihat sekitar.... wow banyaknya kereta yang parking di celah pokok kelapa sawit. Lalu saya terus memandu masuk dengan membayar RM2.00 untuk parking kepada Aunty berbangsa Cina. Beliau mengalukan kehadiran kami dengan ucapan "Morning..." dengan nada mesra sekali.. Alhamdulillah ada juga parking untuk Gen2ku. Sebaik sampai, saya terus telefon Khaidzir.. dengar nada mengahnya.. rupanya dia dah berada 3/4 pendakian dan meminta saya terus  mendaki semementara dia turun menjemput saya dan Amirah.



Tidak sampai 10 minit Khaidzir pun dah ada di hadapan kami.  Kami pun bersama ramai pendaki lain meneruskan pendakian.  Semasa pendakian sentiasa berselisih  dengan ramai pendaki yang telah turun ke kaki bukit. Saya kira beratus orang berselisih turun dari pendakian Bukit Broga ni. Menurut Khaidzir kami kira terlewat kerana ramai pendaki seawal subuh sudah berada di atas puncak untuk melihat matahari terbit atau sebagai satu senaman pendakian. Terasa meriah seolah berada satu pesta apabila melihat ramainya pencinta alam atau penggemar rekreasi yang hadir pada hari ini. Menurut Khaidzir beginilah keadaan bila hujung minggu. Pengunjung sentiasa ramai dan dalam waktu jam 9 pagi ini sudah 60 peratus pengunjung sudah turun dan balik. Apatah lagi hari itu adalah hari cuti umum sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Agong  (Sabtu: 1 Jun 2013)
 

Oklah.. dalam perjalanan sambil sembang-sembang saya memerhati para peserta yang pelbagai keturunan, pelbagai lingkungan usia dan latarbelakang. Dari kanak-kanak seusia 3 tahun lebih hinggalah ke usia lewat 50an sama-sama menuju impian yang sama ke puncak Bukit Broga. Saya kagum dengan ibu bapa yang mendidik anak-anak kecil mendaki bersama mereka. Dalam bertembung sempat juga bertegur sapa.  Maklum balasnya mengapa mereka bawa anak yang masih kecil kerana ingin mendidik mereka dari segi ketahanan fizikal dan mental. Wow.. saya merasakan jika ramai ibubapa yang bersikap positif begini tentu akan melahirkan anak watan yang berjiwa kental.

  
Matahari semakin terik walau jam baru menunjukkan pukul 9.30 pagi apabila sudah sampai ke Bukit Botak. Subahanallah cantik sungguh ciptaan Illahi bila saya berdiri dari aras ini kulihat pemandangan alam semulajdi menghijau dan langit cerah kebiruan. Apa lagi kamera HP ku pun mencari sudut yang saya rasa cantik dan menarik.
Ternyata Bukit Broga setinggi 400 meter terletak di Semenyeh ini menjadi tumpuan ramai bagi penduduk sekitar lembah Klang dan kawasan sekitarnya. Apa lagi.. sesiapa yang belum pergi ke Bukit Broga saya mencadang supaya pergi..

Sinar terik di pagi hari,
Bunga lalang megah berdiri,
Mata melirik riang terperi,
Penat hilang di broga ku berdiri..

Oleh: Syanz Abdul Raoof

Khamis, 16 Mei 2013

~PELITA MINYAK TANAH BERSUMBU KAIN~

Pelita itu hanya menyala di kala malam
bila ada minyak menjadi nadi untuk bercahaya
kadang terkerlip kerlip ke kiri dan kanan
bila angin laut berlalu meniup

Kadang pelita itu hanya bernyawa sekejap cuma
bila minyak bukan penuh di dalam
nasib baik ada cahaya bulan purnama
membalik cahaya bersama sinar nan indah

Pelita ini hanya bersumbu kain
kain batik lama dikoyak

menjadi sumbu hingga lima pelita
dari ruang tamu hingga ke pelantar mencuci pinggan
pelita itu teman di kala malam

Pelita itu saksi aku mengaji
mengenal hurul alif ba dan ta
kerja sekolah siap esok dihantar
ada kesan habuk hitam dalm hidung
peduli apa semua orang pun sama

Pelita itu sudah lama aku cari
tiada lagi di depan mata
untuk kuisi minyak di sebelum senja
mana kau tercampak
sedang aku masih ada rindu di hati

Pelita itu bukan sekadar pelita
pelita realiti membawa cerita
dalam dada ada banyak derita
bikin hati menjadi tabah

Pelita itu bikin hatiku terus bersinar
bersama sinar Sang Pelita dari sekolah
pelita hati pelita ilmu
menjadi satu dalam jiwa besar.


Syanz Abdul Raoof
16 Mei 2013

Jumaat, 10 Mei 2013

Kuasa Penumpang

~Kuasa Penumpang~

Penumpang berdiri megah
menunjuk arah dituju
tangan kiri di pinggang
matanya tajam bersama telunjuk
pemandu akur dan menyusur laju

Penumpang membayar hanya segenggam emas
pemandu sudah juling mata
wajah cerah tampan di mata
mata sepet tapi celik permata
pemandu mula kelabu
lubuk baru dituju

Lubuk baru punya sinar
pemandu resah hati berdebar
sayang ada haloba pun ada
terikat janji perlu dikota

Kini penumpang sudah jadi nakhoda
pemandu hanya kaku kelu bersuara
emas sinar bukan kongsi bersama
mata sepet memenuhi lembah
pemandu lari tinggal harta berjuta.


 
Oleh: Syanz Abdul Raoof

Rabu, 6 Mac 2013

~LALANG~





Lalang lentuk kiri dan kanan
Lalang rebah ditiup angin
Lalang benihmu berterbangan
Lalang akarmu bersatu erat dalam tanah
Lalang sayang daunmu kasar dan tajam.. 
Lalang memang begitu fitrahmu

Tetapi lalang ini punya otak
Bisa berkata nista
Sanggup membunuh tanpa senjata
Tangannya bisa menari selaju angin
Katanya setajam hirisan daunmu
Akal jahatnya bagai akar bergenggam rapat di tanah
Kata fitnahnya bagai debunga ringan terbang ditiup angin
dan
Siapakah lalang di kalangan lalang...

bila aku melihat kemelut politik di kalangan Melayuku di negara Melayuku..
Syanz Ab Raoof 
6 Mac 2013


 

Selasa, 18 Disember 2012

Bila Aku Rindu

Tiada suara tapi punya aura
punya rupa tidak bisa kusapa
bagai bayang tidak berjasad
kuwujud rupamu dikala aku rindu


Syanz Abdul Raoof
17.12.2012

Senyummu Semahal Maharmu

Mahal senyummu
hingga kucuri intai
kala dirimu dalam diam
rautmu jernih berwajah tenang
rupanya indah tersungging senyuman
buat aku tersenyum girang
mahal senyummu
semahal maharmu
dan aku menghitung dinarku.


Syanz Abdul Raoof
17.12.2012

Tekala Aku Menanti Azan

Menanti azan
ku ingin pinjam kudusMu
buat selama dalam diriku
menjadikan hatiku tulus
bermohon padaMu
agar aku bisa
dalam lena dan dalam jaga
bertasbih padaMu dalam nyata
seiring hati akal dan nafasku berjaga
mengingat padaMu
setiap masa.


Syanz Abdul Raoof
18.12.2012

Isnin, 17 Disember 2012

Sayang Pemerintahku

Bila aku membaca Klik di sini  aku bertambah sayang kepada negaraku di bawah pemerintahan pemimpinku... Moga aman makmor negaraku.

Khamis, 13 Disember 2012

~KAWAN~


Kadangkala berada masa berharta
kadangkala wujud bila perlu
kadangkala tiada bila berkata dusta
kadangkala hilang bila berhutang
kadang datang untuk jual temberang
kadangkala bertamu bila yang lain sudah jemu
kadangkala beria-iya bila ingin sukaria
dan kawan hanya seketika cuma..

Tidak mahu begitu kawan
antara kita bukannya lawan
kalau sudah berkawan harus setiakawan
baru lawan akan rasa segan
melihat kita erat berpegangan
perpaduan itu bukan sekadar angan
biar menjadi realiti yang berpanjangan.

Syanz Abdul Raoof
13.12.2012

BICARA DIARI HATI

Di sini jejariku menari bebas bersama irama dari detikkan hati..
di sini aku jujur bersuara dari hati nurani..
di sini adalah mata hatiku yang bisa berseni..
di sini akalku menconteng warna tanpa prajudis..
walau mungkin aku sinis..
inilah bicara diari hati
dikala mencari satu yang hakiki.


Syanz Abdul Raoof
13.12.12

Rabu, 12 Disember 2012

Maghrib Pasti Datang

Maghrib datang lagi
sang burung riuh berkicau
sudah masa terbang pulang
kembali bertenang di dalam sarang

Maghrib datang lagi
atas jalan sesak mobil berjenama
entah dari mana berpusu
arah tuju dalam fikiran
mungkin rumah juga mall

punya hasrat sendiri tahu

Maghrib pasti datang tepat waktu
waktumu singkat bagi yang tahu
tiada makna bagi yang tak kuasa
bisa terkejar bagi yang biasa
tiada makna bagi yang alfa
cukup indah bagi yang setia.
Maghrib datang lagi
dan pasti datang tepat dijanji
cuma kita belum pasti
tertunaikah Maghrib.
 
Syanz Abdul Raoof
Di Ambang Maghrib: 11.12.12

Kuasa Yang Tertumpah

Ketepi!!!" Maharaja mahu lalu..
maharaja: rakyat beta semua sihat kah..?
nada lembut penuh kasih..

Tepi.. !tepi..! Menteri mahu lalu..
menteri: apa khabar semua..
sapa sopan sambil tersenyum..

Siapa aku siapa kalian
siapa kalian siapa aku
mungkinkah ada mangkok terlebih sudu
maka kuah kering kerna tertumpah???


Syanz Abdul Raoof
12.12.12

HUJAN DAN MAGHRIB

Maghrib datang lagi
pada waktu yang jitu
bahawa itu sudah tentu..

Hujan datangmu tidak kutahu
bila dan di mana waktu
asal dirimu ingin bertamu
kau datang dan bertemu..

Maghrib waktu mu itu nan singkat..
ada syahdu
juga suara sayu
memohon dan mengadu

Hujan sifatmu itu sejuk..
juga buatku sayu..
kala rintikmu bak mutiara yang berlagu
bikin hati rawan bertambah rindu

Kala hujan di waktu Maghrib
Syahdu dan rindu itu
membawa sayu di hati
dan..padaMu jua
Penentu waktu.


Syanz Abdul Raoof
09 Disember 2012

Kalau Ada Rasa Murka

Kalau ada rasa murka
nyatakan saja
agar aku tidak salah teka
bikin diri hanyut prasangka

Biar kutahu
di mana silapku
di mana salahku
takut kira terada dusta
mungkin juga silap berkata


Bisa kuatur
bisa kubaiki
kerana aku bukan manusia sempurna
yang tahu hakiki
pada hak yang nyata

Katakan padaku
agar diriku
tidak penderhaka
padamu wahai
Arjuna hatiku.
Syanz Abdul Raoof 12.12.12.

Isnin, 26 November 2012

~TANJUNG PELEPAS~

~Tanjung Pelepas~

Dulu tanjung ini banyak busut berkota lumpur
Dihuni oleh udang ketak berekor merah
anak ketam berlari lari mencari lubang
sang tembakul mendada licin dan hanyir

pantai berlumpur itulah dunianya..

Dulu
sang ketam dan sang tembakul
hanya memandang sepi
sang nelayan berkayuh lesu
menongkah arus di bawah redupan pepohon nipah
rezeki sembilang, siput juga udang galah
pembuka selera anak di rumah
selembar not biru dari taukeh di pasar
kedai kopi sembang hal dunia..

Kini..
sampan dan kolek itu sudah berganti kereta dan lori
sembilang dan ketam itu hanya dibeli
anak dan isteri suka tak terperi
di mana sahaja kini bisa berlari
wang simpanan sudah berlaci.

Tanjung Pelepas
antara kolek dengan kapal dagang
antara tekong dengan juragan
antara nelayan dengan pedagang
masih bisa bersatu
walau mungkin sudah berlainan rasa
kopi o sudah cangkir yang berbeza

Tanjung Pelepas
aku tahu zamanmu berubah
kini kau adalah pelepas kemelut rasa
dari tidak berada menjadi berharta
bukan kah itu dengan Izin Allah
akal dan bumi anak watan
pencetus rasa indah di hati.
 
Syanz Abdul Raoof

Selasa, 6 November 2012

Aduhai, Nurul Izzah binti Anwar bin Ibrahim!

Nurul Izzah! Oh Nurul Izzah... inilah keluhan saya kepada perempuan bernama Nurul Izzah binti Anwar bin Ibrahim.

Pelik. Inilah gambaran  bila dah rasa terlalu terdesak ingin berkuasa sehingga lupa kepada jati diri sebagai orang Islam berbangsa Melayu. Tertarik dengan penulisan Datuk Zulkefli Bin Noordin ~ Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang mengupas isu Nurul Izzah ni..klik di sini.

Moga ada secebis rasa harga diri dan maruah kita sebagai penganut agama Islam.

Wallahualam.

Rabu, 31 Oktober 2012

Ibadah Korban Rakyat Malaysia di Zanzibar, Tanzania.





Semangat keperihatinan rakyat Malaysia dalam membantu rakyat miskin tidak kira di mana sahaja sama ada dalam negara mahu pun luar negara sememangnya bukan perkara asing di mata dunia. Sempena merayakan Hari Raya Haji atau Aidul Adha yang juga disebut sebagai Hari Raya Korban,  umat Islam yang mampu adalah dituntut untuk menyembelih korban sebagai satu ibadah.
Pengarah Eksekutif  People's Bank of  Zanzibar (PBZ) Saudara Amour Mohammed menerima lembu untuk sembelihan korban yang di sampaikan oleh Encik Iskandar Noor Ibrahim yang mewakili rakan-rakan dan saudara mara dari Malysia
Sehubungan ini, pada 10 dan 11 Zulhijah 1433 Hijri bersamaan 26 dan 27 Oktober 2012, satu program ibadah korban dari rakyat Malaysia bersama wargakerja People's Bank of Zanzibar (PBZ) telah berjaya dilakukan. Keperihatinan dan usaha yang dilakukan oleh Encik Iskandar Noor bin Ibrahim satu-satunya rakyat Malaysia di negara Tanzania yang  bekerja sebagai perunding di PBZ   mengambil satu langkah mendekatkan rakyat Malaysia untuk sama mendampingi golongan susah di Zanzibar, Tanzania melalui sedekah korban yang dilakukan di beberapa institusi kebajikan di Zanzibar. Walaupun usaha ini dianggap sebagai korban jarak jauh tetapi  ianya telah mendekatkan rakyat Malaysia di bumi Afrika ini.   sila klik di sini
Usaha beliau telah mendapat liputan meluas di TV dan akhbar di negara tersebut. Terjemahan artikel dari berita tersebut seperti berikut;
Pengarah Eksekutif PBZ Sdr Amour Juma Mohammed, beliau telah menerima 7 ekor lembu dan 5 ekor kambing daripada rakan-rakan Tuan Iskandar Noor Ibrahim dari Malaysia untuk korban di hari raya haji yang telah diserahkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Mazizini, SOS, Mwanakwerekwe, Ijitma, Markaz Fuoni, Rumah Orang Tua Sebleni, Hospital Utama MMOja, dan Hospital Pesakit Mental Kidongochekundu.

Sedang melapah daging korban.. terdiri dari rakan seperjuangan En. Iskandar Noor Ibrahim
Anak-anak yatim tentunya gembira akan sedekah yang diterima.
Encik Iskandar Ibrahim bersama penghuni rumah anak-anak yatim
Wajah-wajah Comel Anak-Anak Yatim SOS Zanzibar 

Membanggakan,  kerana usaha yang dilakukan oleh Encik Iskandar Noor Ibrahim adalah langkah awal untuk membantu golongan susah di negara tersebut. Encik Iskandar Noor Ibrahim anak jati dari Benut, Pontian Johor yang telah tinggal di sana kerana menjalankan tanggungjawab sebagai perunding untuk membangunkan perbankan Islam di Bank Negara Tanzania yang beroperasi di Zanzibar City. Usaha anak watan Malaysia ini  menganjurkan ibadah korban  secara jarak jauh melibatkan penyertaan 60 orang rakyat Malaysia terdiri dari sahabat handai dan saudara maranya telah berjaya dilaksanakan. Selain ibadah korban sebanyak 9 ekor lembu, terdapat juga rakyat Malaysia bersedakah melalui daging Aqiqah sebanyak 5 ekor kambing. Walaupun secara fizikalnya kesemua peserta untuk ibadah korban itu tidak menjejakkan kaki di bumi Afrika ini, tetapi sedekah dari daging korban itu telah mendekatkan hubungan sesama saudara Islam.

Penulis berpendapat, usaha yang murni seperti ini haruslah diteruskan demi kesejahteraan sesama saudara Islam tidak mengira di mana sahaja di dunia ini. Moga pahala ibadah korban yang dijalankan mendapat keberkatan Illahi dan amalan membantu sesama saudara Islam tanpa mengira warna kulit dan  negara terutama di negara miskin haruslah diteruskan. Wallahualam.

* Gambar-gambar sumber dari Iskandar Noor Ibrahim.

Oleh: Syanz Aisyah Abdul Raoof
Bangi, Malaysia.
30 Oktober 2012

Isnin, 3 September 2012

Merdeka Dari Belenggu Rasa

Merdekakan jiwamu
merdekakan hatimu
merdekakan mindamu
dari belenggu rasa
yang menghimpit jiwamu..
di raut wajahmu ada resah mengjimpit silam..
ada duka menghimpun rasa..
ada sayu yang mendayu..
merdekakan jiwamu dari belenggu rasa
ikhlas dan redha
pencetus bahagia..
merdekakan silammu bersama merdeka..

syanz abdul raoof