Ahad, 27 November 2011

Bukan Mereka Pinta Lahir Demikian...

Minggu lepas saya bertugas sebagai panel penemuduga calon-calon pelatih yang ditawarkan untuk mengikuti kemahiran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi.  Pengalaman saya ini wajar untuk dikongsi bersama rakan-rakan sebagai membuka minda dan tentunya mengharap golongan  normal lebih mengerti dan memahami nasib orang kurang upaya (OKU). 
OKU yang hadir untuk ditemuduga penuh harapan begitu juga ibu bapa yang mengiringi kehadiran mereka. Riak muka dan gambaran di anak mata mereka mengharapkan satu perubahan secara total akan berlaku dalam  kehidupan mereka. Pelbagai wajah yang silih berganti dalam mengisi ruang kamar temuduga dan tentunya pelbagai watak dan cerita yang penuh dramatik mengiringi liku-liku kehidupan OKU ini. Pelbagai cerita ini menguji emosi dan mindaku sebagai panel.  Pertembungan emosi, dasar dan skema  tentunya berlaku, namun begitu kematangan dan keadilan kena seiring.
Sedia maklum, ramai OKU yang tidak dapat melanjutkan pelajaran,  hatta mendapat pendidikan asas juga  terlepas disebabkan faktor fizikal dan juga permasalahan ekonomi ibu bapa.  Apa yang ingin saya kongsikan kepada sahabat semua, adalah perasaan dan tekanan kepada golongan yang pada awalnya normal dan tiba-tiba menjadi cacat. Kehidupan yang riang ria, penuh kasih-sayang, mendapat pendidikan, bijak, ceria, dan aktif tiba-tiba kehidupan itu terus lenyap bersama kemurungan dek kecacatan akibat kemalangan. Bagi mereka yang masih belajar peluang pendidikan terpaksa tertangguh, wal hal mereka ini cukup bijak dan aktif. Keputusan peperiksaan di sekolah amat cemerlang, aktif dengan kokurikulum, berwajah cantik dan segak tetapi bila hadir temuduga secara nyata, dipandang dan ditemubual gambaran keceriaan itu  telah lama hilang. Kelihatan hanya wajah penuh harapan, kadang kala ingatan tidak dapat dipulihkan, pergerakan perlu sokongan, aktiviti harian dan selera makan sudah terbatas ditambah dengan adanya penyakit yang disebabkan kecacatan.
Golongan yang telah punya kerjaya tiba-tiba tidak mampu untuk bekerja. Anak isteri terbeban dek tunggak utama telah cacat dan tidak mampu bergerak pantas seperti dahulu. Majikan mungkin tidak memerlukan lagi sebagai pekerja.  Akibatnya punca pendapatan keluarga akan terjejas maka trauma dalam kehidupan mereka akan lama bertapak. Tidak perlu menyalahkan takdir kerana Allah mengetahui apa yang tersembunyi  dan  ada sebab dan akibatnya yang pasti setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Namun begitu kemalangan boleh dielak jika kita semua sentiasa peka dan mematuhi peraturan.
Pengalaman ini harusnya dikongsi semua orang, agar golongan normal dapat mengerti akan  penderitaan yang dialami oleh OKU.  Perlunya keperihatinan dan sokongan semua pihak agar golongan minoriti ini lebih dihargai.  Kehadiran mereka akan melengkapi kehidupan kita yang normal. Jangan menyangka bila kita normal kita boleh melakukan segalanya dan jangan ingat bahawa golongan OKU tidak mampu melakukan sesuatu  kerana OKU juga manusia yang sentiasa berusaha untuk terus maju. Kadangkala kehendak dan semangat mereka yang tinggi membuatkan mereka mampu buat sesuatu di mana orang normal langsung tidak terfikir dan mampu melakukannya.
Beringatlah sebelum kita terlambat kerana sedikit kelekaan boleh membawa padah dalam kehidupan kita. Jangan sekali ada pandangan hina di mata kita terhadap golongan ini, kerana Allah menguji kita sama ada patuh atau ingkar akan suruhanNya menolong sesama insan. Semoga pengertian kita akan lebih terbuka apabila kita mengetahui serba sedikit tentang OKU ini kerana mereka tidak minta dilahirkan sedemikian...

Tiada ulasan: