Jumaat, 27 Julai 2012

Wanita VS Cemburu Dan Lelaki Pencetus Cemburu?


 
Cemburu dan wanita, atau wanita dan cemburu merupakan jalinan ikatan emosi yang begitu setia dalam diri wanita.  Perasaan itu timbul kerana wujudnya rasa kasih sayang, cinta dan ingin memiliki dan dimiliki oleh orang yang disayangi. Namun begitu perasaan cemburu yang terlalu kuat dan tanpa batasan akan mengundang bahaya kerana jika tidak dapat mengawal emosi ini boleh memberi mudarat pada wanita. Ramai wanita akan putus cinta kerana sikap cemburu buta atau melulu. Ramai isteri bercerai kasih kerana cemburu buta kepada suaminya. Persoalannya mengapa wanita menjadi cemburu kepada pasangannya.  Inilah hakikat yang mungkin kaum lelaki sukar untuk menerimanya bahawa sikap lelaki itu sendiri mengundang rasa cemburu kaum wanita.

Mana tidaknya jika sudah beristeri, si suami masih sering memuja wanita lain, masih cuba untuk bermesra dengan wanita lain dan sikap pantang lihat yang berkenan maka layanan dari mata hingga pergerakkan badan menggambarkan si lelaki bertukar watak. Faktor luaran kelihatan nyata, dan bagaimana jika hati dan mindanya sentiasa kepada wanita lain? Sudah tentu pasangan akan  menjeruk rasa. Mungkin sudah nasib badan wanita yang memiliki pasangan yang sememangnya  pemuja wanita. Ramai lelaki sepesis ini diberi bakat yang cemerlang dalam mengayat wanita, manis tutur kata, pandangan menggoda dan juga sering bersikap gentleman yang menjadikan ramai wanita cair di hati lalu jatuh cinta. 

Tidak dinafikan lelaki memang mudah jatuh hati dan akan jatuh cinta untuk kali kedua. Sama ada cinta itu akan kekal atau hanya bermusim bergantung kepada kesetiaan hatinya juga. Andainya lelaki sebegini memonopoli kehidupan dunia, dapat bayangkan maka ramailah wanita akan mengalami kemurungan dan mungkin kadar penceraian akan berlipat kali gandanya. Lelaki jenis sepesis Kasanova, Don Joan, Mat Romeo atau apa sahaja nama yang diberi dianugerahkan hati dan perasaan untuk memuja wanita.  Adanya lelaki seperti ini memberi keceriaan hidup kepada wanita yang memerlukan perhatian dan kasih sayang tetapi mungkin hanya seketika, apabila diketahui dirinya hanya sebagai satu sandaran kasih sayang lelaki.

Bagaimana pula kehidupan wanita-wanita yang terlibat dengan lelaki seperti ini? Kebarangkalian ianya adalah seperti berikut ; bekas makwe, bekas tunang, bekas isteri, bakal tunang, bakal isteri, bakal makwe akan memiliki perasaan cemburu kepada lelaki yang sama. Malang sekali bila dimiliki oleh seorang wanita bergelar isteri pasti api cemburunya akan tinggi melangit dan mungkin akhirnya membawa gelaran bekas isteri. Kesimpulannya siapa sebenarnya pembawa nasib malang? Wanita yang sememangnya cemburu atau lelaki yang sengaja meminta supaya wanita sentiasa cemburu kepada dirinya. Berbalik kepada fitrah lelaki sebagai khalifah, mana-mana lelaki tahu akan tanggungjawabnya kepada wanita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku.  Beruntung punya suami yang tahu akan tanggungjawab, setia dan tahu menjaga keselamatan keluaraga dan wanita yang dicintainya. akhir kata, tepuk dahi tanya akal, tepuk dada tanya nafsu dan tepuk hati tanya iman..

Tiada ulasan: