Khamis, 5 Julai 2012

Dulu Dia Hero Malaya..

gambar: google

Dulu  dia hero Malaya
berseluar yengki berkemaja jalur
berkasut tajam bagai bercermin
rokok tersepit dicelah jari
rambut  ramos tersisir rapi.

Dulu dia hero Malaya
selalu ada di simpang jalan
setia bersama vespa
berkaca mata hitam
bersiul lagu kasih merindu
anak gadis terumpan kasih.

Dulu dia hero Malaya
belakang kedai tempat bertemu
bukan seringgit dua malah beratus
dari pagi hingga dinihari
siapa menang dia belanja
perempuan kaberet menjadi halwa
bila kalah anak bini jadi mangsa.

Dulu dia hero Malaya
kasih dijaja cinta dicurah
anak bini merempat di rumah tak punya apa
peduli apa aku hero Malaya
kawan dan taulan gembira bersama
anak dara mahu pun janda
dipetik jari pasti ada
anak bini makan tiada
peduli apa bukannya papa

Dulu lain ceritanya
kini lain bicaranya
anak bini sudah tidak kenal padanya
bila merempat di rumah papa
mungkinkah dia kerana alpa
atau sudah suratan takdir menimpa
balasan padanya kerana terlupa
tanggungjawab suami mahupun bapa
yang akhirnya tidak punya apa-apa.


* bila kulihat seorang tua yang sudah tidak punya apa.. sedangkan masa mudanya dia hebat tidak takut siapa.

Tiada ulasan: