Jumaat, 27 Julai 2012

Wanita VS Cemburu Dan Lelaki Pencetus Cemburu?


 
Cemburu dan wanita, atau wanita dan cemburu merupakan jalinan ikatan emosi yang begitu setia dalam diri wanita.  Perasaan itu timbul kerana wujudnya rasa kasih sayang, cinta dan ingin memiliki dan dimiliki oleh orang yang disayangi. Namun begitu perasaan cemburu yang terlalu kuat dan tanpa batasan akan mengundang bahaya kerana jika tidak dapat mengawal emosi ini boleh memberi mudarat pada wanita. Ramai wanita akan putus cinta kerana sikap cemburu buta atau melulu. Ramai isteri bercerai kasih kerana cemburu buta kepada suaminya. Persoalannya mengapa wanita menjadi cemburu kepada pasangannya.  Inilah hakikat yang mungkin kaum lelaki sukar untuk menerimanya bahawa sikap lelaki itu sendiri mengundang rasa cemburu kaum wanita.

Mana tidaknya jika sudah beristeri, si suami masih sering memuja wanita lain, masih cuba untuk bermesra dengan wanita lain dan sikap pantang lihat yang berkenan maka layanan dari mata hingga pergerakkan badan menggambarkan si lelaki bertukar watak. Faktor luaran kelihatan nyata, dan bagaimana jika hati dan mindanya sentiasa kepada wanita lain? Sudah tentu pasangan akan  menjeruk rasa. Mungkin sudah nasib badan wanita yang memiliki pasangan yang sememangnya  pemuja wanita. Ramai lelaki sepesis ini diberi bakat yang cemerlang dalam mengayat wanita, manis tutur kata, pandangan menggoda dan juga sering bersikap gentleman yang menjadikan ramai wanita cair di hati lalu jatuh cinta. 

Tidak dinafikan lelaki memang mudah jatuh hati dan akan jatuh cinta untuk kali kedua. Sama ada cinta itu akan kekal atau hanya bermusim bergantung kepada kesetiaan hatinya juga. Andainya lelaki sebegini memonopoli kehidupan dunia, dapat bayangkan maka ramailah wanita akan mengalami kemurungan dan mungkin kadar penceraian akan berlipat kali gandanya. Lelaki jenis sepesis Kasanova, Don Joan, Mat Romeo atau apa sahaja nama yang diberi dianugerahkan hati dan perasaan untuk memuja wanita.  Adanya lelaki seperti ini memberi keceriaan hidup kepada wanita yang memerlukan perhatian dan kasih sayang tetapi mungkin hanya seketika, apabila diketahui dirinya hanya sebagai satu sandaran kasih sayang lelaki.

Bagaimana pula kehidupan wanita-wanita yang terlibat dengan lelaki seperti ini? Kebarangkalian ianya adalah seperti berikut ; bekas makwe, bekas tunang, bekas isteri, bakal tunang, bakal isteri, bakal makwe akan memiliki perasaan cemburu kepada lelaki yang sama. Malang sekali bila dimiliki oleh seorang wanita bergelar isteri pasti api cemburunya akan tinggi melangit dan mungkin akhirnya membawa gelaran bekas isteri. Kesimpulannya siapa sebenarnya pembawa nasib malang? Wanita yang sememangnya cemburu atau lelaki yang sengaja meminta supaya wanita sentiasa cemburu kepada dirinya. Berbalik kepada fitrah lelaki sebagai khalifah, mana-mana lelaki tahu akan tanggungjawabnya kepada wanita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku.  Beruntung punya suami yang tahu akan tanggungjawab, setia dan tahu menjaga keselamatan keluaraga dan wanita yang dicintainya. akhir kata, tepuk dahi tanya akal, tepuk dada tanya nafsu dan tepuk hati tanya iman..

Khamis, 5 Julai 2012

Dulu Dia Hero Malaya..

gambar: google

Dulu  dia hero Malaya
berseluar yengki berkemaja jalur
berkasut tajam bagai bercermin
rokok tersepit dicelah jari
rambut  ramos tersisir rapi.

Dulu dia hero Malaya
selalu ada di simpang jalan
setia bersama vespa
berkaca mata hitam
bersiul lagu kasih merindu
anak gadis terumpan kasih.

Dulu dia hero Malaya
belakang kedai tempat bertemu
bukan seringgit dua malah beratus
dari pagi hingga dinihari
siapa menang dia belanja
perempuan kaberet menjadi halwa
bila kalah anak bini jadi mangsa.

Dulu dia hero Malaya
kasih dijaja cinta dicurah
anak bini merempat di rumah tak punya apa
peduli apa aku hero Malaya
kawan dan taulan gembira bersama
anak dara mahu pun janda
dipetik jari pasti ada
anak bini makan tiada
peduli apa bukannya papa

Dulu lain ceritanya
kini lain bicaranya
anak bini sudah tidak kenal padanya
bila merempat di rumah papa
mungkinkah dia kerana alpa
atau sudah suratan takdir menimpa
balasan padanya kerana terlupa
tanggungjawab suami mahupun bapa
yang akhirnya tidak punya apa-apa.


* bila kulihat seorang tua yang sudah tidak punya apa.. sedangkan masa mudanya dia hebat tidak takut siapa.

Selasa, 3 Julai 2012

Rindu Bak..

Beruntung bagi mereka yang masih mempunyai ayah.  Tiba-tiba aku terfikir perkara ini. Aku bertanya balik kenapa aku terfikir perkara ini? Ini bermakna sebenarnya aku merindu ayahku sendiri.. merindui untuk aku becerita manja tetapi penuh hormat dengannya.. Aku rindu untuk bertukar fikiran dan menyatakan apa yang aku fikirkan. Aku rindu untuk berkongsi cerita dengannya. Aku mula rindu segalanya tentang Bak. Andainya dia masih ada, ingin sahaja aku pecut kereta ini kembali menemuinya dan menyatakan apa yang berbuku di hatiku, apa yang membuat aku marah dan apa yang membuat aku sedih.

Aku sebenarnya tahu apa yang akan dilakukan.. iaitu hanya menjadi pendengar yang baik.. mendengar apa sahaja yang aku katakan.. dan aku tahu dia akan tersenyum dan mengangguk-angguk kepala memahami apa yang aku kata. Aku tahu dia akan berkata "selagi nama manusia, pasti tidak akan berpuas hati" dan aku akan membayangkan dia akan berkata "aruah ayah Bak pernah berkata, harta dan wang inggit boleh dicari.. usah takut untuk dikongsi..jika itu yang membuat mereka bahagia dan hidup, jangan kerana kedekutnya kita maka mereka akan hilang sifat kemanusiaan, dan Allah berhak mengambil nyawa manusia bila-bila masa dan sifat sabar itu adalah paling utama" Pastinya aku akan terdiam bila mendengar kata-kata ini. Dapat kubayangkan wajah tenangnya dan senyuman manisnya serta renungan matanya yang meminta aku mengerti.


Di kala ini aku mengimbau dan menolog setiap detik bersamanya. Siapa diri kita, bagaimana pun status kita perlunya ada seseorang yang boleh menjadi pendengar segala masalah kita dengan tenang tanpa menambah keperitan hati. "Bak, saya rindu Bak!. Ya Allah, rahmatilah rohnya ayahendaku Abdul Raoof bin Jabir@Tuaka. Sedetik ku pejam mata.. dan ada kelegaan dalam hati ini. Syukur, Alhamdulillah.

Syanz Abdul Raoof 
10.00pm@3Julai2012
Bangi.
  


Kasihku Yang Tulus..



Ya Allah ya Tuhanku..
aku merasai limpahan kasihMu
aku menikmati lazatnya rinduMu
izinkanlah nikmat kasih dan lazat rindu itu
pinjamanku selagi hayat ada
bersama impian bahagia
dalam sinar NurMu
dalam kasih LatiffMu
untuk kukongsi bersama dia
penuh tulus dan kudus
kerana ku tahu ia hanya dengan izinMu.
Syant Abra @2 Julai 2012/1.20am