Bila menyebut merdeka tertanya di hati saya.. bagaimana erti merdeka kepada setiap orang. Merdeka negara Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris tertera pada 31 Ogos 1957. Ini fakta. Tetapi bagaimana pula kemerdekaan diri dari konflik diri, penjajahan budaya, penjajahan ideologi, penjajahan ekonomi dan penjajahan dari kemelut hasad dengki dalam diri sendiri. Bagaimana harus kita merdekakan diri?
Merdekakah kita kalau kita begitu bebas berkata tanpa rasa segan dan silu dan hanya mengundang padah? Tutur kata kita hanya membawa kepada penjajahan minda dan tiada langsung membawa kebaikan dalam dunia sejagat? Mungkinkah kita beranggapan bila merdeka maka tidak perlu lagi berbicara seperti bicara nenek moyang kita? Atau yang dikatakan merdeka apabila kita sudah berani membicarakan apa sahaja walau mungkin kita tahu ayat yang kita tuturkan itu adalah ayat fitnah?
Atau mungkinkah itu tandanya yang diri kita masih dalam belenggu penjajahan iaitu penjajahan minda? Atau kita sudah merasa malu bila kita kekal dengan jati diri kita sebagaimana budaya resam nenek moyang kita? Adakah ini bermakna diri kita masih dijajah dan penjajah tetap tinggalkan budayanya agar kita terus terjajah walaupun pada lahirnya diri kita telah dimerdekakan?
Bila sebut merdeka terlalu banyak rasanya yang perlu diperkatakan. Saya suka ianya lebih tertumpu kepada individu itu sendiri bagaimana kemerdekaan yang dikehendaki. Merdeka diri akan lebih terasa kalau ekonomi kita mantap, makanya kita boleh sahaja bebas bergerak dan memiliki sesuatu yang kita hajati kerana kita mampu dan tentunya belenggu kemiskinan tidak lagi menjajah hidup kita. Tetapi merdekakah kita kalau kalau orang luar menjadi tuan di rumah sendiri?
Merdeka diri adalah bagaimana kita bersikap positif dalam semua aspek yang bertujuan membawa kebaikan kepada diri, keluarga, sahabat andai, jiran tetangga, negara, bangsa dan agama kita. Merdeka kita kerana kita telah punya pendidikan yang baik dan dapat menilai buruk dan baik sesuatu perkara dan tentunya dengan ilmu yang ada boleh membantu orang lain dari belenggu kekusutan.
Cuma jangan sekali merasa ada yang cuba merdekakan diri dari peraturan yang Allah telah tetapkan. Sempena bulan Ramadhan dan hadirnya Syawal serta ulangtahun sambutan kemerdekaan negara, merdekakan diri kita dari fikiran dan perbuatan yang boleh membawa kepada kehancuran bangsa, agama dan negara yang kita cintai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan