Sabtu, 5 Mei 2012

Pencuri Di Rumah Allah

Pernah tak kita lalui perasaan terlalu berhati-hati terutama kaum wanita semasa bersembahyang di surau awam sama ada di kompleks membeli belah atau di R&R Lebuhraya Utara Selatan atau di mana sahaja yang pasti bukan di rumah sendiri. Perasaan berhati-hati dan curigaini sering  menghantui kaum wanita terutama yang membawa beg tangan atau barangan peribadi yang berharga semasa menunaikan sembahyang. Bukankah semua hambaNya yang datang untuk sujud kepadaNya sudah memahami dan mengetahui akan hukum hakam, dosa dan pahala?. Ini bermakna bila berada di rumah Allah hati kita ikhlas untuk menunaikan ibadah yang diperintahkan dan ini juga menunjukkan kita tentu patuh segala suruhanNya dan tidak akan buat segala laranganNya. Sikap prasangka dan curiga selalu menghantui pengunjung yang  ingin bersolat di tempat awam sebegini kerana telah ada peristiwa di mana wang ringgit dan barang kemas dicuri oleh pengunjung lain.. 

Pernah saya melihat ada yang bersembahyang bersama beg tangannya sekali.  Ini tentu membebankannya ketika solat, atau lebih rela terbeban  berbanding jika hak peribadinya dicuri orang.  Adalah menjadi kebiasaan bila jemaah meletakkan beg dan barang peribadinya di hadapan atau di tepi sejadah. Rasa curiga dan takut kehilangan tetap ada. Terfikir saya  khusuqkah bila bersembahyang kerana masih mengingati segala masalah dan harta bila mengadapNya. Berbeza jika kita berteman maka bolehlah bersembahyang bergilir dalam situasi begini.

Persoalannya mengapa kita masih ada rasa was-was, curiga dan takut bila berada di dalam surau awam? Hati dan jiwa kita adalah ikhlas untuk mengerjakan ibadat dan saya berfikiran semua yang ada di rumah Allah itu juga akan ikhlas.  Jika ada kecurian atau harta yang hilang semasa bersembahyang, tentunya ada insan yang mengaku beragama Islam sanggup menganiya saudara seagama yang lain di rumah Allah. Kecurian di surau bukan pekara asing. Adanya peristiwa dan pengalaman kecurian ini membuatkan manusia amat berhati-hati dan mungkin mempunyai perasaan takut kepada pencuri lebih tinggi berbanding rasa takutnya kita kepada Allah. Sedangkan kita tahu segala peristiwa adalah dengan izin dan pengetahuanNya. Kita masih tidak boleh mengamalkan sikap yang berserah kepada Allah. Wallaualam.

Tiada ulasan: