Rabu, 30 Mei 2012

Legasi Kemiskinan...

Pelbagai perbualan yang tercetus di dalam kereta sewaktu menuju balik dari menghadiri kenduri kahwin staff di Pelabuhan Klang.  Kehangatan cuaca, persekitaran yang berdebu serta kepenatan dek sesat barat membuatkan kepala mula terasa pening. Nasib baik bukan saya yang memandu, tetapi Mimie rakan setugas saya yang sudah kelihatan bosan.   Bagi menghilangkan rasa bosan kami mula berbual dari soal perasaan hinggalah topik berkisar kehidupan manusia. Boleh kata topik yang agak berat. Ilham tercetus bila melihat kenderaan mewah menyusur laju memotong kenderaan kami.  Beruntungnya punya wang yang banyak! Dapat beli kenderaan yang mewah.. dan untungnya empunya kereta dan ahli  keluarganya mewah bergaya.. dari si kecil hingga si tua..

Beruntungnya jika dilahirkan dalam lingkungan keluarga mempunyai wang yang banyak, harta melimpah, kebun beratus ekar.  Secara langsung keluarga itu dipandangn mulia bak kata orang tidak akan merempat. Apa tah lagi jika keluarga ini mementingkan ilmu pendidikan sebagai jaminan untuk diri terus dihargai dan dihormati.  Legasi dalam sebuah keluarga terletak bagaimana individu atau ketua keluarga itu punya cita-cita yang tinggi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Pendidikan merupakan aset yang tidak ternilai.  Tinggi pendidikan yang diperolehi boleh menjadikan diri individu sebagai pakar rujuk, boleh dijadikan sebagai ketua, boleh diiktiraf kecendikiawannya.  Berjayanya dalam pendidikan akan memudahkan individu beroleh kerja yang tinggi pangkatnya. Apabila berpangkat bermakna ada kuasa, bila. ada kuasa bermakna ada pengikut. Adanya pengikut maka penghormatan sebagai pemimpin secara tidak langsung akan wujud. Sinario seperti di atas mungkin terjadi kepada keluarga kaya, berharta, berfikiran luas, dan ada penghormatan melalui kuasa, harta, darjat  dan ilmu.  Alangkah eloknya kalau semua dapat menikmati takdir sedemikian. 

Bagaimana jika dalam keluarga tidak terlepas dari kepompong kemiskinan.  Datuknya hanya nelayan atau petani  atau penarik beca yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang? Si generasi kedua juga masih tidak dapat melepasi untuk keluar dari belenggu kemiskinan maka si generasi ketiga tetap merasai penderitaan sebagai anak si miskin. Situasi ini bukanlah satu kayu ukur untuk menentukan takdir selamanya menjadi orang miskin.  Pemikiran jauh kehadapan untuk melepasi kepompong kemiskinan perlu ada.  Ini bermakna perlu ada pengorbanan, perlu ada motivasi dan juga ikhtiar hidup untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna.  

Kematangan berfikir dan mempunyai cita-cita yang tinggi agar anak berjaya dalam hidup harus tertanam dalam diri bukan sekadar menyerah kalah dengan takdir kemiskinan.  Saya percaya kemiskinan hanyalah satu ujian dalam hidup kerana terlalu ramai manusia yang miskin kini menjadi kaya raya. Tidak semestinya juga sikaya sentiasa kekal kaya kerana Allah boleh mengambil kekayaan bila-bila masa sahaja.  Oleh yang demikian kemiskinan boleh ditolak melalui usaha, dan ilmu di dada. Walaubagaimana pun sikaya juga mempunyai tanggungjawab sosial dalam memberi pertolongan dalam pengagihan rezeki kepada golongan miskin ini.  Manusia di dunia saling melengkapi cuma kita sama ada rela atau tidak untuk sama berkongsi dalam suka dan duka.

Rabu, 23 Mei 2012

Tiga Wajah Tiga Dimensi

Kuperhati anak muda kemas berpakaian
rambut tersisir rapi
kasut putih  berjenama
gagah penuh yakin
turun mobil  pintu belakang
mobil mewah buatan Jerman
Pak super angkat tangan dan berlalu pergi

Kuperhati bas oren berhenti
penumpangnya dua gender
berduyun turun penuh ceria
berbaju kurung  dan kemaja putih
malah  bergaun biru tua juga ada
bersongkok hitam berwajah manis
tidak tertinggal botol air ada bersama
gelak ketawa bekejaran
aku memandang suka

Sawo matang, hitam manis dan putih bersih
bagai lukisan menceria alam
tanpa prajudis 
aku, engkau atau siapa
satu arah mesti dituju
anak tangga darjah harus didaki

Kuperhati di hujung sana
ada budak berjalan lesu
baju putih seakan kelabu
kasut putih bertukar warna
beg disandang bagai tercecah bumi
matanya sayu bagai minta simpati
aku tertanya sendiri
perutnya sudahkah terisi
secangkir kopi atau sesuap nasi


Tiga wajah tiga dimensi
aku menangis dalam hati
siapa aku jika aku hanya pemandang sepi
kerana mereka pewaris pertiwi
bijak minda perlu dicari
jati diri semangat sakti
harus ada dalam diri
kelak besar bisa dihormati.



Syanz Abraoof
2.28am

23 Mei 2012

Ahad, 20 Mei 2012

Ombak Rindu ~ Sampaikanlah


Ingin saja aku berlari mengejarmu di pesisir pantai
selaut ombak beralun rindu mengiringiku
karangan laut bagai mengerti lalu menyanyi riang
angin bayu meniup lembut membisik di telingaku
nyaman terasa dan pasti aku terus berlari 
degupan jantungku pasti berlari kencang
andai ku tahu kau juga merinduku
rahsia apakah membuat dirimu masih membisu...

Mengertikah dirimu
Ianya hadir tanpa kupinta
mengetuk hatiku yang beku
yang kini menjadi cair
bagai menunggu hadirmu
membisikan kata rindu yang bersatu 


Syanz Abraoof
 

Khamis, 17 Mei 2012

Aku Anak Nelayan Yang Punya Hala Tuju

Tali air dan sungai adalah kolam renangku
air surut dan pasang jadual hidupku
pohon nipah pokok api-api teduhanku
sampan, kolek mahu pun perahu penghubungku
semua ini membuatkan aku terharu tetapi aku rindu

Sembilang, belanak  undang galah  juga kerapu
bukan asing malah selalu
lauk terhidang segar tentu selera lalu
hari-hari pun tidak jemu
kadangkala ada juga yang cemburu
tidak berwang tapi berlauk baru

Buah nipah juga kedabu
tentu enak bagi yang tahu
enak makan beramai di hujung minggu
gelak ketawa tanpa silu
cerita budak semuanya lucu

Aku hanya anak nelayan yang pemalu
tapi aku punya hala tuju
merdeka jiwa hati takkan layu
kerana aku tahu Melayu perlu bersatu
membawa tekad untuk maju
aku pasti apa yang aku buru
miskin hidup telah berlalu
jiwa merdeka semangat jitu
jangan dilupa perlunya restu
bersama semangat kental adalah ilmu
pada yang Esa kudoa selalu

agar diriku tidak terpaling olehMu.
(terimbau aku zaman kanak-kanak menjelang ulang tahun kelahiranku.. di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung).

Syanz Ab Raoof
17 Mei 2012

Selasa, 15 Mei 2012

Jendela Minda



Di jendela tertutup itu
ada sinar yang menginjak lalu
 di sebalik dedaun jendela 
diiring udara bayu..

 Lalu kubuka jendela itu
 udara segar menerjah hidung
 lalu kurapatkan mata
 kuhirup perlahan
nyaman terhembus di dalam dada

 Kubuka mata ku buka minda
 sinar mentari setia memberi
 tanpa meminta walau sesen cuma 
tanpa meronta hanya diam tanpa kata
 pasrah dan redha..

 Merenung jauh di balik tasik 
ada gunung cantik menawan
 bagai seia sekata 
pelengkap kasih 
berdiri kukuh sama mendokong

 Kuperhati di celah dahan 
ada sang burung riuh berkicau
 bebas menyanyi lalu terbang
 menghirup air di tasik
 terbang tinggi di balik gunung 
bisikku.. oh! bebas dan riang 
 merdeka mindamu..

Kubuka jendela bersama minda terbuka 
bukan setakat berlapang dada
ada usaha semasa  usia ada
 dalam jiwa ada sinar bahagia
 jika kita pasrah pada yang Esa..

 Syanz Abraoof
15 Mei 2012
2.58am

Sabtu, 12 Mei 2012

~Kasih Ibu~

Gambar: Google
Ibu remaja semakin ramai
ibu muda pasti ramai
ibu dewasa tidak terbilang
ibu tua semakin kurang
X atau Y
kita semua dari rahim ibu
dari mula hingga lahir
gembira dan sedih bertukar ganti
baka baik atau buruk kah nanti
bikin resah gundah di hatinya

Dari ayu cantik menawan
rela berkorban demi nyawa di badan
rupa paras bukan lagi ukuran
pewaris  kasih harus diutamakan..
demi anak rela berkorban
penat dan lelah usah dikirakan
asal anak cukup makan dan pakaian
didikkan sempurna harus diamalkan
agar anak membesar jadi orang beriman
kelak nama keluarga menjadi sebutan
pasti siibu senyum menawan

Lahirnya X atauY
anugerah Tuhan tiada yang sangkal
hidupnya berjuang untukmu anak
agar lahirmu jadi harapan
doanya tiada putus bersulam harapan
padamu anak tanpa mengira usia
selagi dirimu bergelar anak
dari sebesar dua jari hingga boleh berlari
dari makan bersuap hingga minta disuap
kasih ibu tiada gantinya.

Ibu muda atau ibu tua
sekasar mana perangainya
ada sinar kasih dalam jiwanya
ada kata keramat dilidahnya
ada doa makbul membawa rahmat
hidup anak dalam berkat..

~selamat hari ibu buat semua ibu~
Syanz Abdul Raoof ~ 12 Mei 2012


Khamis, 10 Mei 2012

Bila Hatiku Berbisik...

Suria mula mengintai
sang burung riang berkicau
kanak-kanak tadika riuh bermain
deruman motor & kereta lalu dan lalang
lalu aku mengintai di luar jendela..
sejenak hati berbisik;

Bagi kalian yang saling mencintai

usah dibiar hati yang kacau
tekad hati jangan yang lain
kelak dirimu berhati walang...
dugaan mendatang harus direla
jangan dibiar orang mengusik...

Sepasang Baju Kurung Songket Merah


Ini adalah sepasang baju kurung songket ibu saya yang beliau jahit sendiri. Baju kurung songket warna merah, bersembat, leher teluk belanga bertikam tulang belut dan berkocek kecil di bahagian atas kiri baju. Benar-benar tradisional. Minta baju ini dari emak dan beliau dengan rela menyerahkan kepada saya.  Saya tanya emak saya adakah baju kurung ini baju kurung songket kahwin dia... dengan pantas dia berkata "eh, taklah.. emak buat dalam tahun 1963". Ibu saya sudah berkahwin masa tahun  itu.. dan yang nyata baju ni dibuat sebelum saya lahir lagi...

Baju kurung songket merah masih elok
Kocek  kecil bahagian atas kiri baju
Leher Baju:  Teluk Belanga Bertulang Belut


Kepala Kain Songket










Sabtu, 5 Mei 2012

Pencuri Di Rumah Allah

Pernah tak kita lalui perasaan terlalu berhati-hati terutama kaum wanita semasa bersembahyang di surau awam sama ada di kompleks membeli belah atau di R&R Lebuhraya Utara Selatan atau di mana sahaja yang pasti bukan di rumah sendiri. Perasaan berhati-hati dan curigaini sering  menghantui kaum wanita terutama yang membawa beg tangan atau barangan peribadi yang berharga semasa menunaikan sembahyang. Bukankah semua hambaNya yang datang untuk sujud kepadaNya sudah memahami dan mengetahui akan hukum hakam, dosa dan pahala?. Ini bermakna bila berada di rumah Allah hati kita ikhlas untuk menunaikan ibadah yang diperintahkan dan ini juga menunjukkan kita tentu patuh segala suruhanNya dan tidak akan buat segala laranganNya. Sikap prasangka dan curiga selalu menghantui pengunjung yang  ingin bersolat di tempat awam sebegini kerana telah ada peristiwa di mana wang ringgit dan barang kemas dicuri oleh pengunjung lain.. 

Pernah saya melihat ada yang bersembahyang bersama beg tangannya sekali.  Ini tentu membebankannya ketika solat, atau lebih rela terbeban  berbanding jika hak peribadinya dicuri orang.  Adalah menjadi kebiasaan bila jemaah meletakkan beg dan barang peribadinya di hadapan atau di tepi sejadah. Rasa curiga dan takut kehilangan tetap ada. Terfikir saya  khusuqkah bila bersembahyang kerana masih mengingati segala masalah dan harta bila mengadapNya. Berbeza jika kita berteman maka bolehlah bersembahyang bergilir dalam situasi begini.

Persoalannya mengapa kita masih ada rasa was-was, curiga dan takut bila berada di dalam surau awam? Hati dan jiwa kita adalah ikhlas untuk mengerjakan ibadat dan saya berfikiran semua yang ada di rumah Allah itu juga akan ikhlas.  Jika ada kecurian atau harta yang hilang semasa bersembahyang, tentunya ada insan yang mengaku beragama Islam sanggup menganiya saudara seagama yang lain di rumah Allah. Kecurian di surau bukan pekara asing. Adanya peristiwa dan pengalaman kecurian ini membuatkan manusia amat berhati-hati dan mungkin mempunyai perasaan takut kepada pencuri lebih tinggi berbanding rasa takutnya kita kepada Allah. Sedangkan kita tahu segala peristiwa adalah dengan izin dan pengetahuanNya. Kita masih tidak boleh mengamalkan sikap yang berserah kepada Allah. Wallaualam.

Angin Rindu

Angin malam yang kencang
bagai sembilu mengiris pilu
dalam rindu yang syahdu
bisa membuat lidah kelu..

Bila angin mengetuk pintu
berdentam dentum
bagaikan hati yang berdegup
siapa yang tahu
jika hati sedang merindu..

Bila angin menyapa lalu
mungkinkah dia yang berbalas rindu?

Syant Abra


Jumaat, 4 Mei 2012

KEMAHIRAN MENENUN SEMAKIN HILANG DITELAN ZAMAN

Bila balik kampung ni.. seronok gak bercerita dengan ibu berkaitan kisah-kisah silam yang berlaku dalam keluarga. Kali ini dalam mood pakaian tradisional, dan ini mengingatkan emak kepada kain hasil tenunan aruah ibunya iaitu nenek saya.  Tergambar di ruang mata aruah nenek saya yang saya panggil "Mak Tua".  Beliau sememang seorang wanita yang mempunyai kemahiran tangan yang cukup halus. Saya masih dapat mengingati hasil anyaman tikar pandannya yang cantik, hasil jahitannya yang halus dan hari ini saya diperlihatkan hasil tenunan kain songket beliau.

Kain Tenunan berwarna pulasan bersulam songket


Masa kecil-kecil dahulu saya selalu juga  panjat loteng di rumah lama dan saya pernah lihat perkakas menenun nenek saya.. tapi masa itu beliau tidak lagi menenun. Di zaman kanak-kanak manalah kita mengetahui betapa tingginya nilai budaya dan kemahiran ini.  Bila dah cukup dewasa baru terfikir kenapalah kemahiran menenun ini tidak menjadi satu kemahiran yang wajib diwarisi dalam lingkungan ahli keluarga.

Ibu saya kelihatan menung jauh.  Tiba-tiba dia bersuara "menenun ini perlu ada kesabaran, jika tiada kesabaran dan bakat kadangkala hasil tenunan kita tak sempurna dan kain yang dihasilkan akan senget.. itulah yang terjadi kepada kain mak cik kamu, sehingga aruah emak saya cukup marah. Maklumlah aruah Emak Tua kamu amat memberatkan kualiti dan hasil kerja tangannya memang sempurna." 

Saya mendengar kata-kata yang keluar dari ibu saya sambil membelek kain tenunan tersebut  dan saya mengakui kebenarannya.  Menurut ibu saya nenek saya masih menenun sehingga sekitar tahun 1954 dan beberapa hasil kain tenunannya telah dicuri oleh penceroboh. Syukur Alhamdulillah saya dapat melihat hasil kain tenunan nenek saya seperti di gambar ini dan kini diberi penghargaan oleh ibu saya untuk mewarisinya.

Kain tenunan bersulam bunga songket dari benang yang dicelup sendiri bermotifkan warna unggu manggis








Khamis, 3 Mei 2012

ANAK JOHOR: PAKAIAN BAJU KURUNG TELUK BELANGA

Di antara koleksi baju kurung teluk belangaku  yang bersembat
Dari zaman kanak-kanak lagi, saya telah  memakai baju kurung bersembat.  100% baju kurung yang ibuku buat semuanya bersembat, termasuk baju uniform sekolahku. Hanya lewat lima tahun kebelakangan ini, sudah ada baju kurungku yang sudah tidak disembat. Ini adalah kerana mata ibuku sudah tidak awas lagi  untuk menyembat  dan sebenarnya baju yang dibeli siap atau ditempah memang  tidak bersembat. Ini memberi cabaran untukku untuk memahirkan jahit sembatanku.  

Sedikit latar belakang sejarah baju kurung teluk belanga inisaya kongsikan. Ianya bermula pada abad 19 di zaman pemerintahan  Sultan Abu Bakar, Sultan Johor (Tahun1866). Baginda telah memperkenalkan baju kurung ini yang mengambil sempena dari Teluk Belanga,Singapura ibu negeri Johor yang akhirnya baju kurung ini menjadi ciri khas kepada pemakaiaan rakyat negeri Johor.  Lazimnya kami di negeri Johor memanggil baju kurung sama ada untuk lelaki atau wanita yang kemudian dipanggil baju melayu teluk belanga bagi lelaki. Baju kurung lelaki hanya dibezakan melalui koceknya (poket) iaitu lelaki mempunyai satu  kocek kecil di bahagian atas dan dua kocek besar di bahagian bawah baju. Masa saya kecil-kecil saya mempunyai pengalaman memakai baju kurung yang mempunyai satu kocek di bahagian atas. Inilah membezakan baju kurung lelaki dan wanita, di mana akhirnya kocek untuk wanita diletakkan sama ada di kiri  atau kanan di bahagian pesak yang dijahit secara tersembunyi.
Inilah contoh sembatan di baju kurungku
Sembatan di bahagian lengan, kekek dan pesak
Ini adalah sembatan di bahagian dalam 
Sembatan bawah lipatan bawah baju

Satu lagi kegemaranku ialah suka memakai baju kurung berwarna polos yang dipadankankan dengaan kain tenun atau songket.  Saya mempunyai 7 helai baju kurung berwarna polos dari pelbagai warna. Percaya atau tidak kesemua kain itu juga saya pakai  dengan mengikatnya cara tradisional.  Maksud saya ialah saya menyusun kain  (menjadi bunga kain) itu dengan menggunakaan pending atau 'tali ikat perut" sama ada dari kain yang dijadikan khas untuk mengikat kain tadi.  Ini adalah kerana saya merasa sayang jika kain ini digunting kerana kain ini juga boleh dijadikan kain sampin jika perlu.
Kain tenun sutra Bugis di mana dua sambungan kain  perlu disembat dan memastikan pertemuan dua corak itu dapat disamakan
Ramai rakan-rakan pelik melihat saya yang masih mengekalkan tradisi ini.  Sebenarnya kalau kita dah biasa dan menyayangi budaya ini, ianya tidak langsung menjadi masalah malah saya amat berbangga sekali kerana masih mengekalkan tradisi ini.

Baju Kurung Teluk Belanga Bertulang Belut
Ciri khas baju kurung teluk belanga ialah lehernya perlulah benar-benar terletak bukan memperlihatkan kerangka tulang leher atau baju terjuih jatuh. Kekemasan lehernya juga dapat dilihat melalui tikaman tulang belutnya.  Adalah kurang elok dipandang mata jika baju kurung teluk belanga yang dipakai kelihatan besar lehernya dan terjueh jatuh kerana tidak terletak kemas.
Ini adalah di antara koleksi baju kurung  teluk belanga bersembat berwarna polos yang kupadankan dengan kain tenun sutera Bugis, kain tenun atau kain songket. Pemilihan warna polos menjadi kegemaranku kerana ianya melihat kesepaduan tradisionalnya.  Menjadi kebiasaanku baju kurung teluk belanga berwarna polos ini akan saya pakai pada hari Jumaat dan juga jika saya menghadiri temuduga atau meberi taklimat. Pada hemat saya ianya mempunyai nilaian sendiri yang berimejkan tradisional dan koprat. 

Ini ada padanan baju kurung teluk belanga bersembat dengan kain tenunan hasil tenunan nenek saya







Kain tenun hasil tenunan nenekku 


Semoga semangat jati diri sebagai anak Bugis Johor ini akan ada sampai hujung nyawa dan amat berharap tradisi ini akan kekal selamaanya.