Ahad, 15 Januari 2012

~Berkuasa Yang Tidak Berkuasa VS Tidak Berkuasa Tapi Berkuasa~

"Berkuasa Yang Tidak Berkuasa" mungkin merujuk kepada individu yang mempunyai kelayakan dari segi kewibawaan untuk melakukan satu arahan, perintah, hukuman, perlaksanaan, persetujuaan atau apa sahaja yang merujuk kepada bidang kuasa yang individu itu berhak. Namun begitu tidak mempunyai kelayakan dari segi tenaga fizikal, fikiran atau emosi  yang mampu untuk melakukan sesuatu pergerakkan, tindakan, keputusan atau tidak mempunyai kelayakkan sama ada dari segi akademik, ekonomi atau satatus sosialnya. 

Ada dua situasi di sini. Pertama, walau mempunyai keterbatasan dari fizikal tetapi kuasa arahan tetap dipatuhi. Rasa hormat dan patuh arahan oleh pengikut membuatkan golongan individu ini tetap berkuasa. Golongan kedua pula ibarat kata macam "boneka".  Masihkah ada di zaman ini "boneka" yang kelihatan berkuasa tetapi tidak berkuasa? Mungkinkah golongan ini  wujud tetapi "tidak bernyawa" (tunggul)  bagaikan  "Patung Chendana". 

Bagaimana pula orang yang "Tidak Berkuasa Tetapi Berkuasa"? Ayat ini mengingatkan saya cerita dongeng raja-raja zaman dahulu, di mana panglima atau orang besar lebih berkuasa dari raja sebenar. Itu cerita dongeng yang mungkin akan berakhir dengan seorang putera raja yang kacak dan gagah perkasa akhirnya menjadi raja sebenar memerintah negara yang berdaulat dengan adil.  Dalam konteks kehidupan realiti,  perkara "tidak berkuasa tetapi berkuasa" ada  di mana-mana dan pastinya berlaku. Kehidupan rumah tangga misalnya, di mana isteri lebih berkuasa membuat keputusan berbanding suami. Dalam konteks organisasi, anak buah (kakitangan) lebih berkuasa dari bossnya sendiri.

Dalam perkara ini, setiap individu sebenarnya kena tahu dan berani menggunakan kuasanya atau bila sebenarnya kuasa benar-benar sesuai digunakan. Dalam apa perkara pun sebagai manusia yang mempelajari hukum hakam agama,  adab budaya, yang mempunyai pemikiran yang mana elok atau tidak elok akan tahu di mana kedudukan diri sendiri. Kesesuaian untuk melahirkan buah fikiran, tindakan atau keputusan yang boleh menyenangkan manusia sejagat. Manusia yang baik akan tahu menilai buruk dan baik tetapi manusia yang jahat budi pekerti dan pemikiran akan sentiasa mencari peluang untuk kepentingan diri sendiri. Sikap prasangka buruk, dengki khianat dan suka menjatuhkan orang menjadi salah satu mainan dalam hidupnya.

Tidak dinafikan manusia yang punya sikap mengambil atau merebut peluang dan ruang yang ada ditambah dengan kebijaksanaan mengatur pelbagai strategi lazimnya akan berjaya. Tidak mengapa jika kepelbagaian strategi yang baik dan mulia digunakan untuk mengecapi kejayaan.  Bagaimana pula jika strategi yang digunakan hanya bertujuan untuk menjatuhkan kredibel orang lain, mengaibkan orang lain malah mungkin memusnahkan kehidupan orang lain. Adakah kita akan berpuas hati melihat orang lain jatuh atas sebab sikap kita yang cemburu dan tidak sanggup kepada persaingan?

Dalam persaingan sihat, hanya manusia yang beriman akan memikirkan semua perkara dengan baik dan ikhlas. Sayang menyayangi, hormat menghormati, saling menegur kesilapan, berhemah dalam tuturkata, perkongsian idea atau ilmu tentunya akan menyelamatkan situasi dan kepimpinan pun akan dihormati.

Pokok pangkalnya kita tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Janganlah kita ibarat kaduk naik junjung, atau si kudung mendapat cincin. 

Wallahualam.
Syanz Abdul Raoof.

Tiada ulasan: