Sabtu, 28 Januari 2012

MELAYU ~ SASTERAWAN NEGARA DATUK (DR) USMAN AWANG

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan. Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka



Bila membaca puisi ini ada satu semangat yang membara di hati, ada rasa pilu menginjak kalbu, ada rasa malu pada bangsaku, ada rasa kebenaran mengiringi waktu.. 
Makanya mungkinkah MELAYU sudah hilang malunya bila sentiasa sengketa sepanjang zaman demi kuasa yang tidak kekal...Di mana bangsa Melayu yang sopan dan santun berpegang pada tali Allah demi aqidah demi maruah agama..? Mana sopan dan tingkahlaku Melayu yang elok pandangan mata bila merempit di jalanan merbahaya,, Mana bijaknya cendikiawan jika hanya tahu berebut kuasa dan nama, mana alimnya para pendita jika hanya membawa perbalahan..
mungkinkah Melayuku akan pupus walau itu bukan sumpah Hang Tuah.

Khamis, 19 Januari 2012

~Carik Carik Bulu Ayam~ Ummi VS Azwan Hj Ali

Perbalahan boleh terjadi di mana-mana dan dengan siapa pun. Perbalahan tentunya pernah terjadi di dalam lingkungan keluarga sama ada ianya serius atau tidak.  Kasih-sayang yang tebal di kalangan anggota keluarga boleh menghentikan perbalahan namun begitu kena ada dorongan yang positif diri semua pihak. Pengorbanan dan ego perlu dibuang demi kesejahteraan hidup, demi kasih sayang ibu dan ayah,  demi maruah diri dan keluarga.  Tidak dinafikan perbalahan akan membawa keretakkan yang berpanjangan tetapi jika telah dibukakan hati dan mata untuk melihat kebenaran harus dibuang ego dan dendam. Muhasabah dirilah agar  diri tiada berlaku musibah.

Video sidang akhbar Ummi Hafilda VS Azwan Haji Ali  adalah satu contoh yang baik.  Tahniah dan syabas buat Ummi yang sentiasa berjiwa kental demi hak dan tanggungjawabnya. Semoga masing-masing punya kekuatan untuk menjadi warganegara dan anak yang baik. Lebih bersikap positif supaya hidup aman dan damai selamanya. Hati ibu mana yang tidak akan sayu dan sedih bila anak-anak yang dilahirkan sering berbalah sesama sendiri yang mengaibkan nama keluarga. Apa pun yang  telah Azwan katakan harap kita memberi ruang dan peluang untuk beliau terus berubah ke arah yang baik. Mari kita berfikiran positif demi kesejahteraan hidup dalam bekeluarga.  Kita juga perlu beringat "virus" ada di mana-mana, yang boleh menggagalkan kehidupan kita, dan dalam masa yang sama boleh memberikan kita macam-macam penyakit..

Ahad, 15 Januari 2012

~Temberang Sang Suami Demi Sayang Isteri~

Ada masa kita begitu diplomasi dalam bertutur terutama bila kita tenang dan ingin merasionalkan keadaan demi kesejahteraan.. ada masa kita begitu sinis bila memberi pandangan kerana ada elemen menyampah dan tidak puas hati namun begitu mungkin kita ikhlas menyuarakan walau pun pahit untuk didengar. Adakalanya kita terpaksa berkata "seolah benar" tetapi sebenarnya "tidak benar" hanya untuk menyenang hati terutama kepada penggemar pujian...
So kepada yang bergelar "suami-suami" silalah puji masakan, penampilan diri, dan potongan badan isteri anda walau hakikatnya anda tidak bersetuju.. tentu anda semua bijak bagaimana nak cari ayat power! hahahahahaha.....
Teringat pulak lagu Saloma ~ Tiru Macam Saya~

~Berkuasa Yang Tidak Berkuasa VS Tidak Berkuasa Tapi Berkuasa~

"Berkuasa Yang Tidak Berkuasa" mungkin merujuk kepada individu yang mempunyai kelayakan dari segi kewibawaan untuk melakukan satu arahan, perintah, hukuman, perlaksanaan, persetujuaan atau apa sahaja yang merujuk kepada bidang kuasa yang individu itu berhak. Namun begitu tidak mempunyai kelayakan dari segi tenaga fizikal, fikiran atau emosi  yang mampu untuk melakukan sesuatu pergerakkan, tindakan, keputusan atau tidak mempunyai kelayakkan sama ada dari segi akademik, ekonomi atau satatus sosialnya. 

Ada dua situasi di sini. Pertama, walau mempunyai keterbatasan dari fizikal tetapi kuasa arahan tetap dipatuhi. Rasa hormat dan patuh arahan oleh pengikut membuatkan golongan individu ini tetap berkuasa. Golongan kedua pula ibarat kata macam "boneka".  Masihkah ada di zaman ini "boneka" yang kelihatan berkuasa tetapi tidak berkuasa? Mungkinkah golongan ini  wujud tetapi "tidak bernyawa" (tunggul)  bagaikan  "Patung Chendana". 

Bagaimana pula orang yang "Tidak Berkuasa Tetapi Berkuasa"? Ayat ini mengingatkan saya cerita dongeng raja-raja zaman dahulu, di mana panglima atau orang besar lebih berkuasa dari raja sebenar. Itu cerita dongeng yang mungkin akan berakhir dengan seorang putera raja yang kacak dan gagah perkasa akhirnya menjadi raja sebenar memerintah negara yang berdaulat dengan adil.  Dalam konteks kehidupan realiti,  perkara "tidak berkuasa tetapi berkuasa" ada  di mana-mana dan pastinya berlaku. Kehidupan rumah tangga misalnya, di mana isteri lebih berkuasa membuat keputusan berbanding suami. Dalam konteks organisasi, anak buah (kakitangan) lebih berkuasa dari bossnya sendiri.

Dalam perkara ini, setiap individu sebenarnya kena tahu dan berani menggunakan kuasanya atau bila sebenarnya kuasa benar-benar sesuai digunakan. Dalam apa perkara pun sebagai manusia yang mempelajari hukum hakam agama,  adab budaya, yang mempunyai pemikiran yang mana elok atau tidak elok akan tahu di mana kedudukan diri sendiri. Kesesuaian untuk melahirkan buah fikiran, tindakan atau keputusan yang boleh menyenangkan manusia sejagat. Manusia yang baik akan tahu menilai buruk dan baik tetapi manusia yang jahat budi pekerti dan pemikiran akan sentiasa mencari peluang untuk kepentingan diri sendiri. Sikap prasangka buruk, dengki khianat dan suka menjatuhkan orang menjadi salah satu mainan dalam hidupnya.

Tidak dinafikan manusia yang punya sikap mengambil atau merebut peluang dan ruang yang ada ditambah dengan kebijaksanaan mengatur pelbagai strategi lazimnya akan berjaya. Tidak mengapa jika kepelbagaian strategi yang baik dan mulia digunakan untuk mengecapi kejayaan.  Bagaimana pula jika strategi yang digunakan hanya bertujuan untuk menjatuhkan kredibel orang lain, mengaibkan orang lain malah mungkin memusnahkan kehidupan orang lain. Adakah kita akan berpuas hati melihat orang lain jatuh atas sebab sikap kita yang cemburu dan tidak sanggup kepada persaingan?

Dalam persaingan sihat, hanya manusia yang beriman akan memikirkan semua perkara dengan baik dan ikhlas. Sayang menyayangi, hormat menghormati, saling menegur kesilapan, berhemah dalam tuturkata, perkongsian idea atau ilmu tentunya akan menyelamatkan situasi dan kepimpinan pun akan dihormati.

Pokok pangkalnya kita tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Janganlah kita ibarat kaduk naik junjung, atau si kudung mendapat cincin. 

Wallahualam.
Syanz Abdul Raoof.

Jumaat, 13 Januari 2012

Kala Bulan Gerhana, Bulan Penuh, dan Bulan Di Siang Hari..

Bulan Dikala Siang Hari
Bulan Purnama

Bulan Gerhana

Mentari Petang

Awan Penyeri Langit
Akhir-akhir ini aku berminat sangat melihat alam.. terasa ngeri, rasa takut, rasa kagum, rasa pelik, dan rasa gembira semuanya silih berganti dalam diriku. Tentunya aku amat kagum ciptaan Allah maha pencipta.. Mungkin juga kerana alam yang kelihatan sering berubah-ubah.. pagi cerah, petang mendung, malam hujan dan kadangkala siang mendung dan malam cuaca elok sekali. membuatkan aku tertarik untuk mengikuti perkembangan alam.  Kamera dalam beg tanganku adalah teman karib untuk aku merakamnya.

Tentunya manusia suka suasana malam indah bulan mengambang penuh dan juga kerlipan bintang-bintang sambil menghirup udara segar dan nyaman di malam hari dan di siang yang cerah tetapi redup yang membolehkan kita bergerak bebas. Begitu juga hujan yang turun punya kenikmatan dan rahsia sendiri..  

Mungkinkah juga mood manusia akan sama berubah seperti alam? atau sememangnya mood manusia sentiasa berubah kerana kehendak diri tidak pernah rasa puas?.

Maha besar Allah menjadikan bulan, bintang, matahari, awan, pelangi dan langit yang indah untuk dilihat dan dinikmati. Dalam masa yang sama kita juga akur dengan wujudnya ribut, kilat, angin kecang, gelombang besar. Segalanya ada kenikmatan dan rahsia sendiri.

Selama hayat kita dikandung badan, suka duka alam sentiasa mengiringi setiap saat nyawa kita. Maha besar Allah yang mencipta alam untuk makhlukNya. Cintailah alam, dan cintailah sesama makhluk kerana antara kita, alam dan makhluk yang lain saling melengkapi. 

Rabu, 4 Januari 2012

Bila Alam Mula Merajuk


Gemersik alunan nyiur melambai
bukan lagi halwa telinga
deruan ombak mengalun manja
bukan lagi membuat hati merindu sayu
bulan mengambang penur sinar
bukan lagi membuat pungguk memujuk rindu         
awan gemawan putih mencelah

bukan lagi boleh kupintal menjadi tenunan..
sang mentari yang bersinar
sudah menjadi bara panggangan diri
air di kali mengalir jernih
tidak lagi menjadi secangkir madu
mengalir enak dalam tubuhku

 Wahai alam kasihku
usah lagi kau merajuk
tekala aku masih merindu
mendambakan keindahanmu
dalam hangat pelukan kasihmu
ketika aku sejuk dalam hembusan nafasmu
bisa aku lena dalam sinar redupmu
bersama cahaya indah kejoramu
 

Wahai kasihku
aku tahu kiranya kau lesu
rajukmu panjang membawa derita
bisa insan tiada malam dan siang
gusar hidup sepanjang masa
perit dan duka membawa sengsara..

Wahai kasihku alam semesta
pasti kau gembira
bila semua insan sayang kehadiranmu
memuji dan menyayangimu
kerana antara kau dan aku

dijanji sebagai pelengkap hidup
hanya bisa diambil olehNya
kasihku usah lagi kau merajuk
kerana aku bisa derita..



 *Semua gambar sumber google.