Jumaat, 2 Disember 2011

~~Cinta Yang Kecundang~~



Gambar dari Google
 
Manusia dilahirkan dengan pelbagai perasaan.. rasa suka, duka, marah, geram, dendam, simpati, sayu, gabra, berdebar-debar, takut, benci, sayang, cinta, kasih, lapar, dahaga dan bekeinginan sesuatu yang mungkin di luar jangkauan fikiran dan keperluan kita sendiri.  Nafsu, citarasa dan kehendak ini mungkin bukan serentak kita rasai namun begitu seringkali silih berganti dan mengikuti situasi. Manusia sememangnya lahir bersama fitrah yang dianugerah oleh Allah S.W.T untuk hambanya. Adakah di antara kita yang  langsung tidak memiliki perasaan-perasaan itu?.

Selain rasa cinta kepada maha pencipta cinta ~ Allah yang Maha Esa, kita juga wajib mencintai agama,  negara, bangsa,  ibu bapa dan keluarga, harta benda kita, malah kerjaya kita. Wujudnya rasa cinta kepada semua ini akan membuat kita sentiasa punya tanggungjawab diri, amanah dan ikhlas untuk berbakti.

Persoalannya, bagaimana jika cinta kepada sesama insan? Ianya berbalik kepada fitrah dan takdir penentu. Hari ini kita boleh bertemu dengan insan yang begitu asing dalam kehidupan dan mungkin insan ini akan menjadi jodoh yang kekal hingga akhir hayat.

Bila menyebut rasa cinta, pelbagai sikap dan tingkahlaku yang kadang kala di luar kawalan  pemikiran manusia.  Sesetengah manusia sanggup  bertaruhan untuk mendapatkan cinta., dan melahirkan cinta kepada pasangannya. Cinta yang bagaimana mudah untuk diperolehi? Cinta yang bagaimana  indah untuk dikenang? Cinta yang bagaimana amat melukakan hati? Cinta yang bagaimana membawa rasa kecundang dalam diri? Cinta yang bagaimana membuat kita tenang selalu?

Jatuh cinta dan kecundang dalam cinta juga adalah pengalaman berharga dan ini adalah anugerah dalam mewarnai kehidupan manusia.  Wujudnya cinta yang disulami rasa keikhlasan dan tanggungjawab mungkin memberi kebahagiaan kepada manusia.  Cinta yang disulami nafsu, kedudukan, harta benda, kecantikan mungkin akan lenyap bersama susutnya perasaan yang dianggap sementara ianya masih ada. Kecantikan rupa, harta benda, pangkat dan darjah boleh hilang dalam sekelip mata.

Cinta tanpa restu, cinta beralih arah, cinta yang dikhianati akan menyebabkan insan-insan akan rasa berputus asa, kecewa, rasa terhina, dendam dan ada setengahnya sanggup memusnahkan diri. Sebelum ditimpa pelbagai penyakit cinta, semua manusia harus melengkapi diri dengan ilmu cinta,  Harus sentiasa bersedia untuk menerima apa jua kemungkinan, dan paling penting perlunya keiklasan dan redha jika kecundang. Kematangan dan sikap terbuka akan memberi kekuatan dalam kehidupan bagi insan yang kecundang dalam cinta dan tentunya kepada Allah jua harus kita berserah. Allah maha mengetahui dan setiap kejadian tentunya ada hikmahnya.
Syanz Abraoof
02.12.2011 

Tiada ulasan: