Ahad, 30 November 2014

Pantunku:



Pantunku:
 

Kala senja turunnya salji,
Dari beranda diintai hendak,
Tiadalah bermanja jauh berjanji,
Bersayang ada berharap tidak..

(ilham salji..)




Ahad, 7 September 2014

Aku Ingin Hidup





Puisiku: Aku Ingin Hidup

Aku ingin hidup
bersama janji yang utuh
dalam dakap panas kasih
dengan ungkapan cinta abadi

Aku ingin bernafas
dalam udara segar
bersama hembus dingin
mesra dan lembut
bagai bayu di waktu fajar

Aku ingin bernafas
seperti kalian
tanpa debu
tanpa peluru
dan langkah ada kutuju
bersama rindu utuh di kalbu.

Syanz Abdul Raoof
6.25pm@20.08.2014

 


Padi Itu Tunduk Malu


Puisiku: ~Padi Itu Tunduk Malu~

Padi melentuk berisi
tunduk akur pada bumi
tempat ia berdiri kukuh
menunggu masa berbakti

penyambung nadi watan sendiri

Tunduk dia ada isi
akur malu jadi peneman
bukan mahu beri malu
malah terus membisu
biar budi menjadi nadi
akhir hidup terus menyepi
bagai lilin terus menerang

Mungkinkah ada yang sedar
budi padi perlu berbayar
bukan hanya ringgit beribu
tetapi peluh keringat jadi penentu
mewaris itu memang perlu
penyambung tali semangat
agar padi menular laju
jadi nadi manusia maju
walau padi itu tunduk malu.

Renungan..
~ilmu orang tua perlu dicari, agar jati diri terus mengalir dalam diri kita~

Syanz Aisyah Abdul Raoof

04.08.2014@00:03
 

~Sembunyi~


Puisiku:~Sembunyi~

bersembunyikah dikau
di balik gerhana rambulan
dalam malap sinar
tetap ku mencari


di manakah dikau
menghilang dalam terang
sinar suria
tiada berbayang

di manakah dikau
kuintai tiada
dalam jernih air
menyelam dasar
tiada jua timbul

mungkinkah dikau sedang terbang
melayang bebas
bersayap utuh
dan aku memandang jauh
menanti hinggapmu
bila sayapmu mula longlai.

Syanz Aisyah Abdul Raoof
04.09.2014@23.02

Rabu, 6 Ogos 2014

Sungai Rejang






Puisiku: Sungai Rejang
Sungai Rejang..
nadi susur hidup
dalam arus pasang dan surut
membawa suka dan duka
sejuta harapan
dalam angan minda
dalam kasih cinta
wujud pelbagai wajah..
tanpa rasa jemu..
Syanz. Sungai Rejang, Sibu, Sarawak.
25.12.13

Khamis, 10 April 2014

Musim Tekoma Di Pekan Benut.



Pandangan Jalan Jaafar dari Simpang Empat.
Musim tekoma di pekan Benut, Pontian Johor.
Siapa sangka pepohon yang merimbun redup sepanjang Jalan Jaafar, Benut ini bertukar indah dan mengasyikkan dengan bungaan berwarna putih, pink, dan purple membuat mata terpegun bagaikan sebuah jalan nan indah lagi romantik. Bagi penggemar bungaan dan alam semulajadi tentunya suasana begini adalah menerujakan.

Ada yang menyebut tekoma ini "Sakura Malaysia"
Apa pun, kita hendaklah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T yang menganugerahkan kepelbagaian yang indah untuk kenikmatan makhlukNya. Terima kasih kepada landskaper yang mengilhamkan penanaman pokok Tekoma ini.  Amat diharap tiada ada halangan dari mana-mana pihak untuk mengnyahkan pepohonan tekoma ini. Amat berharap Majlis Tempatan Benut agar sentiasa mengutamakan keindahan dan mengekalkan identiti Jalan Jaafar dengan redupan deretan tekoma ini. Keredupan di tengahari tentunya memberi keselesaan kepada pejalan kaki terutama kepada anak-anak sekolah di mana terdapat tiga buah sekolah yang saling berdekatan iaitu Sekolah Menengah Benut, Sekolah Kebangsaan Benut, Sekolah Agama Benut, Tadika, dan juga PDK Benut.

Pekan Benut sebuah pekan kecil di mana penduduknya boleh dikatakan saling mengenali antara satu sama lain bagaikan berada di sebuah pekan kecil di negara empat musim.. penuh romantik. Ramai yang menyebut musim tekoma ini bagaikan musima "sakura" di Malaysia. Kehidupan begini tentunya memberi satu aura ceria kepada penduduk pekan ini.



Anak buah penulis Amani dan adiknya Farid kelihatan begitu seronok dengan bunga tekoma yang sedang berguguran sepanjang Jalan Jaafar.

Bagaikan hamparan....


Selasa, 28 Januari 2014

Menghirup Bayu Laut Sambil Membeli Hasil Laut di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor.


Pantai Remis Menghadap Selat Melaka , berbalam kelihatan Pulau Angsa


Assalam, lama tak berkongsi cerita di blog ini.. kali ini penulis ingin berkongsi pengalaman semasa berkunjung ke Pantai Remis, Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor.

Mendapat kesempatan di hujung minggu melihat tempat orang menjadi satu pengalaman yang cukup berharga.  Gara-gara teringin nak merasa mentarang yang begitu popular di Kuala Selangor memberi peluang  kepada saya  bersama sahabat balik ke kampungn halaman keluarganya di Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor.   
Kesempatan ini membawa saya ke Pantai Remis yang tidak jauh dari belakang rumah ibu saudaranya.  Hamparan laut Selat Melaka menjadikan Pantai Remis ini sumber rezeki kepada penduduk tempatan. Hembusan bayu yang menyegarkan amat mendamaikan jika anda penggemar alam semula jadi yang menghargai alam.  Walaupun pantainya tidak berpasir putih segebu di pantai sebelah timur, berlaut Laut China Selatan namun Pantai Remis tetap ada keunikannya serta mendamaikan.


Batuan tambak sepanjang pantai bagi mengelakkan hakisan dan deretan pohon rhu menambah keindahan pantai

Penulis  bersama sahabat mengambil peluang merakamkan kenangan di pantai ini

Gerai yang menghadap laut tentunya memberi kepuasan kepada mereka yang cintakan alam semula jadi. Sambil membeli belah untuk dijadikan lauk pauk, pengujung juga boleh membawa keluarga terutama anak-anak bermain layang-layang.  Tiupan angin laut tentunya memberi keseronokan kepada penggemar layang-layang.
 
Pantai Remis ini memberi rezeki kehidupan kepada penduduknya yang menjadi nelayan pantai dan peniaga di sepanjang Pantai Remis ini. Banyak gerai-gerai yang menjual hasil tangkapan laut selain ikan segar, spesis cengkerang iaitu mentarang, lokan, siput sedut, remis, kepah, ala-ala, pepahat, kupang malah belangkas juga ada dijual. Di Pantai Remis ini seolah satu hub penjualan hasil laut spesis cengkerang.
Penulis menunjukkan belangkas yang dijual digerai makanan dan menjadi rezeki hidangan makan malam belangkas masak cili.
Belangkas juga adalah hasil makanan laut yang enak dimakan.
Ianya dianggap sebagai makanan exotik dan hanya mereka yang biasa sahaja mengetahui kelazatan belangkas. Sebelum ini penulis hanya berpengalaman memakan telurnya sahaja, tetapi kesempatan ini penulis dapat menikmati isinya, walaubagaimana pun penulis jujur mengatakan telurnya lagi enak.. hehehehe..

Pelbagai hasil laut yang boleh dibeli di gerai Pantai Remis
Inilah yang dikatakan mentarang. Direbus atau dibakar memang enak sekali.
Rasanya manis. Selain itu ianya juga boleh dimasak sambal atau apa sahaja yang difikirkan sesuai.






Selain dari hasil laut, tanaman sayuran penduduk tempatan juga banyak dijual seperti keladi, ubi, keledek, batang keladi, pucuk ubi, pucuk paku, pucuk peria pantai, nangka dan pelbagai hasil tanaman lain boleh dibeli dengan harga yang cukup berpatutan.  


Ikan Bilis, ikan kering dan belacan buatan penduduk tempatan juga ada dijual. Pendek kata apa sahaja hasil lautan boleh diperolehi di gerai sepanjang Pantai Remis ini. Sempat juga berbual mesra dengan penjual yang cukup ramah yang melahirkan rasa bangganya kerana penduduk tempatan boleh menghasilkan jualan  yang menjadi identiti masyarakat setempat.

Berkunjung di Pantai Remis, membawa satu pengalaman menarik dan rasa keinginan penulis untuk datang lagi begitu tinggi. Kepada anda pembaca blog ini andai ada kesempatan pergilah berkunjung ke Pantai Remis.
Akhir kata pantun penulis..
                                                  Pantai Remis pantainya landai,
                                                  Banyak kerangan datang merapat,
                                                  Tidaklah mengemis andainya pandai,  
                                                  Ringannya tangan rezeki mendapat.

Wassalam.
Oleh : Syanz Abdul Raoof
Kenangan 22 Januari 2014