Isnin, 18 November 2013

Pantunku




 Gambar: Banyak peria tumbuh melata,
Dimakan orang walau pahit,
Janjimu beria bikin derita,
Manis berkarang lidah berbelit.



 



Banyak peria tumbuh melata,
Dimakan orang walau pahit,
Janjimu beria bikin derita,
Manis berkarang lidah berbelit.





Gambar: Melentuk lalang ditiup angin, 
Angin barat sangatlah kencang,
Berhati walang tidaklah diingin,
Dukanya berat membawa pincang.


 Melentuk lalang ditiup angin,
Angin barat sangatlah kencang,
Berhati walang tidaklah diingin,
Dukanya berat membawa pincang.

Isnin, 29 Julai 2013

Nukilan Pantun Dariku: 

Angin kencang beralun gelombang,
Gelombang besar membadai pantai,
Bawa berbincang bawa bersembang,
Hati nan gusar menjadi santai.

Gelombang besar membadai pantai,
Pasir berderai hanyut ke laut,
Hati nan gusar dibawa bersantai,
Kusut terlerai kasih berpaut.

Pasir berderai hanyut kelaut,
Dipukul ombak naik ke pantai,
Kusut terlerai kasih berpaut,
Harum semerbak di birai mengintai.

Dipukul ombak naik ke pantai,
Mencari teduh di bawah kepayang,
Harum semerbak di birai mengintai,
Jodoh nan utuh kembali menyayang.


(Pemerhatianku, bahtera rumahtangga gelora melanda pasti ada, namun begitu sikap tolak ansur dan ingin kedamaian akan membawa perbincangan. Paling penting ketepikan sikap ego dahulu dan seeloknya buanglah ego agar kesejahteraan hidup lebih diutamakan) 



Syanz Aisyah Abdul Raoof

29 julai 2013



Gambar: Sumber Negis Art.

Khamis, 13 Jun 2013

Bukit Broga Dalam Ingatan.


Cik Aisyah!!! Jom kita pergi Bukit Broga.. Lembut ajer si Khaidzir mempelawa saya apabila masuk di kamar kerja saya. Geng minat rekreasi di pejabat  mengajak pergi mendaki Bukit Broga yang terletak di Semenyeh. Oleh kerana saya tinggal di Bangi maka jarak bukanlah satu masalah lagi pun  memang teringin sangat nak mendaki Bukit Broga ini.. Almaklumlah melihat gambar-gambar di Face Book rakan-rakan mengamit keinginan untuk pergi.   Apa lagi perbincangan yang banyak kali berubah akhirnya terputus juga dengan hanya 3 orang yang akan pergi saya, Amirah Sofea dan Khaidzir. Khaidzir Zaharin ni memang kaki gunung dan out door. Beliaulah yang memberitahu arah jalan dan akan menunggu di kaki bukit jam 7.30 pagi.


Hahahahaha.. ketawa saya dengan Amirah Sofea bila jam 7.30 pagi kami berdua masih dalam rumah baru memakai sepatu. Tup tup terdengar bunyi telefon dari Khaidzir bertanya di mana kedudukan saya. Rasa bersalah dan meminta dia menunggu atau pergi bersarapan pagi sementara menunggu mak-mak datin ni bergerak.. hehehehe..



 

 
8.10 pagi  akhirnya kami sampai di kaki bukit dan melihat sekitar.... wow banyaknya kereta yang parking di celah pokok kelapa sawit. Lalu saya terus memandu masuk dengan membayar RM2.00 untuk parking kepada Aunty berbangsa Cina. Beliau mengalukan kehadiran kami dengan ucapan "Morning..." dengan nada mesra sekali.. Alhamdulillah ada juga parking untuk Gen2ku. Sebaik sampai, saya terus telefon Khaidzir.. dengar nada mengahnya.. rupanya dia dah berada 3/4 pendakian dan meminta saya terus  mendaki semementara dia turun menjemput saya dan Amirah.



Tidak sampai 10 minit Khaidzir pun dah ada di hadapan kami.  Kami pun bersama ramai pendaki lain meneruskan pendakian.  Semasa pendakian sentiasa berselisih  dengan ramai pendaki yang telah turun ke kaki bukit. Saya kira beratus orang berselisih turun dari pendakian Bukit Broga ni. Menurut Khaidzir kami kira terlewat kerana ramai pendaki seawal subuh sudah berada di atas puncak untuk melihat matahari terbit atau sebagai satu senaman pendakian. Terasa meriah seolah berada satu pesta apabila melihat ramainya pencinta alam atau penggemar rekreasi yang hadir pada hari ini. Menurut Khaidzir beginilah keadaan bila hujung minggu. Pengunjung sentiasa ramai dan dalam waktu jam 9 pagi ini sudah 60 peratus pengunjung sudah turun dan balik. Apatah lagi hari itu adalah hari cuti umum sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Agong  (Sabtu: 1 Jun 2013)
 

Oklah.. dalam perjalanan sambil sembang-sembang saya memerhati para peserta yang pelbagai keturunan, pelbagai lingkungan usia dan latarbelakang. Dari kanak-kanak seusia 3 tahun lebih hinggalah ke usia lewat 50an sama-sama menuju impian yang sama ke puncak Bukit Broga. Saya kagum dengan ibu bapa yang mendidik anak-anak kecil mendaki bersama mereka. Dalam bertembung sempat juga bertegur sapa.  Maklum balasnya mengapa mereka bawa anak yang masih kecil kerana ingin mendidik mereka dari segi ketahanan fizikal dan mental. Wow.. saya merasakan jika ramai ibubapa yang bersikap positif begini tentu akan melahirkan anak watan yang berjiwa kental.

  
Matahari semakin terik walau jam baru menunjukkan pukul 9.30 pagi apabila sudah sampai ke Bukit Botak. Subahanallah cantik sungguh ciptaan Illahi bila saya berdiri dari aras ini kulihat pemandangan alam semulajdi menghijau dan langit cerah kebiruan. Apa lagi kamera HP ku pun mencari sudut yang saya rasa cantik dan menarik.
Ternyata Bukit Broga setinggi 400 meter terletak di Semenyeh ini menjadi tumpuan ramai bagi penduduk sekitar lembah Klang dan kawasan sekitarnya. Apa lagi.. sesiapa yang belum pergi ke Bukit Broga saya mencadang supaya pergi..

Sinar terik di pagi hari,
Bunga lalang megah berdiri,
Mata melirik riang terperi,
Penat hilang di broga ku berdiri..

Oleh: Syanz Abdul Raoof

Khamis, 16 Mei 2013

~PELITA MINYAK TANAH BERSUMBU KAIN~

Pelita itu hanya menyala di kala malam
bila ada minyak menjadi nadi untuk bercahaya
kadang terkerlip kerlip ke kiri dan kanan
bila angin laut berlalu meniup

Kadang pelita itu hanya bernyawa sekejap cuma
bila minyak bukan penuh di dalam
nasib baik ada cahaya bulan purnama
membalik cahaya bersama sinar nan indah

Pelita ini hanya bersumbu kain
kain batik lama dikoyak

menjadi sumbu hingga lima pelita
dari ruang tamu hingga ke pelantar mencuci pinggan
pelita itu teman di kala malam

Pelita itu saksi aku mengaji
mengenal hurul alif ba dan ta
kerja sekolah siap esok dihantar
ada kesan habuk hitam dalm hidung
peduli apa semua orang pun sama

Pelita itu sudah lama aku cari
tiada lagi di depan mata
untuk kuisi minyak di sebelum senja
mana kau tercampak
sedang aku masih ada rindu di hati

Pelita itu bukan sekadar pelita
pelita realiti membawa cerita
dalam dada ada banyak derita
bikin hati menjadi tabah

Pelita itu bikin hatiku terus bersinar
bersama sinar Sang Pelita dari sekolah
pelita hati pelita ilmu
menjadi satu dalam jiwa besar.


Syanz Abdul Raoof
16 Mei 2013

Jumaat, 10 Mei 2013

Kuasa Penumpang

~Kuasa Penumpang~

Penumpang berdiri megah
menunjuk arah dituju
tangan kiri di pinggang
matanya tajam bersama telunjuk
pemandu akur dan menyusur laju

Penumpang membayar hanya segenggam emas
pemandu sudah juling mata
wajah cerah tampan di mata
mata sepet tapi celik permata
pemandu mula kelabu
lubuk baru dituju

Lubuk baru punya sinar
pemandu resah hati berdebar
sayang ada haloba pun ada
terikat janji perlu dikota

Kini penumpang sudah jadi nakhoda
pemandu hanya kaku kelu bersuara
emas sinar bukan kongsi bersama
mata sepet memenuhi lembah
pemandu lari tinggal harta berjuta.


 
Oleh: Syanz Abdul Raoof

Rabu, 6 Mac 2013

~LALANG~





Lalang lentuk kiri dan kanan
Lalang rebah ditiup angin
Lalang benihmu berterbangan
Lalang akarmu bersatu erat dalam tanah
Lalang sayang daunmu kasar dan tajam.. 
Lalang memang begitu fitrahmu

Tetapi lalang ini punya otak
Bisa berkata nista
Sanggup membunuh tanpa senjata
Tangannya bisa menari selaju angin
Katanya setajam hirisan daunmu
Akal jahatnya bagai akar bergenggam rapat di tanah
Kata fitnahnya bagai debunga ringan terbang ditiup angin
dan
Siapakah lalang di kalangan lalang...

bila aku melihat kemelut politik di kalangan Melayuku di negara Melayuku..
Syanz Ab Raoof 
6 Mac 2013