Isnin, 13 Ogos 2012

Ramadhan Aku Pasti Merinduimu...



Berat untuk melepaskanmu..
Bersama kerinduan hati..
Bersama dalamnya kasih..
Bersama kukuhnya ingatan..
Engkau memberi kekuatan..
Engkau memberi sinar..
Engkau bagai air telaga menyejukkan hatiku..
Engkau menghitung waktu untuk berlalu pergi..
Engkau pasti pergi walau aku ingin menahanmu..
Bisakah aku menunggumu..
Bisakah aku setia bersama waktu..
Aku tahu kau pasti hadir lagi..
Walau aku tidak lagi bersamamu..
Terima kasih Ramadhanku..
 
Syanz abdul Raoof 
24 Ramadhan 1433H / 13 Ogos 2012
 

Rabu, 8 Ogos 2012

Bila Budaya Bangsaku Semakin Rakus Dihakis Oleh Bangsaku

Adab Melayu. Adab Melayu tinggi tata susilanya.  Adab Melayu akan berfikir sebelum berkata. Adab Melayu akan mencari kata-kata yang tertib dan sopan sebelum berkata. Adab Melayu akan berfikir ayat bagaimana harus dituturkan bersesuaian dengan status orang tersebut. Adab Melayu seharusnya melihat, meneliti dan memerhati bagaimana orang-orang tua berbahasa dengan sopan untuk dijadikan peradaban yang berkesinambungan. Inilah gambaran secara ideal yang tergambar di fikiran saya.  Mengapa isu ini saya bangkitkan? Kerana sinario perkembangan bangsa Melayu kita begitu berani dan telus menyuarakan pandangan sehingga lupa adab dan sopan bila berbahasa. Sudah lupa gaya bahasa yang bagaimana sesuai dengan status sosial individu berkenaan.

Perkara inilah juga menjadi perbualan saya dengan seorang sahabat yang juga merupakan ahli politik. Kami tertanya mana hala tuju bangsa Melayu kita akan datang. Terhakiskah sudah semangat jati diri sebagai orang Melayu di kalangan anak muda kita? Penyemaian semangat patriotik tanggungjawab siapa sebenarnya. Adakah anak bangsa kita tahu akan sejarah pembentukan negara kita dan pengorbanan datuk nenek moyang kita? Mungkinkah mereka ini sudah mengecapi kesenangan maka perkara yang difikirkan bagaimana orang lain tidak boleh menganggu gugat kesenangan yang ada pada mereka. Mana pergi semangat muzakarah, saling bertegur sapa dan menegur untuk kebaikan? Terlalu banyak isu yang kami persoalkan dan inilah gambaran kerisauan kami sebagai generasi dewasa  apabila melihat anak bangsa dengan pelbagai cabaran sosial masa kini termasuklah peradaban bangsa Melayu yang semakin tercalar.

Kami juga kecewa cara gaya sesetengah pemimpin politik yang sanggup menempelak institusi raja tanpa rasa bersalah. Mana kematangannya dan tanggungjawab sebagai pemimpin untuk dijadikan contoh dalam membentuk sahsiah diri kepada generasi baru untuk lebih bemoral? Lihat sahaja cara gaya komen-komen di kalangan pembaca akhbar  terutama dalam memberi pandangan berkaitan beberapa isu yang dibangkitan melibatkan personaliti  atau tokoh.  Para pembaca tanpa rasa segan dan silu mengeluarkan bahasa-bahasa yang tidak sopan, malah mengaibkan peribadi individu berkenaan. Timbul persoalan di sini, mana pergi sopan dan santun orang Melayu kita? mana pergi ketertiban akhlak bangsa Melayu kita yang mengaku beragama Islam?

Individu yang mempunyai kuasa seperti tokoh-tokoh tertentu tentunya akan merasa dirinya terhina kerana memerka ada status sosial yang perlu kita hormati. Sebagai contoh untuk kita lebih memahami apa yang saya maksudkan dengan melihat sistem hiraki dalam status sosial kehidupan bekeluarga kita. Bagaimana kita diajar dengan sopan bila berbahasa dengan ibu bapa, dengan saudara yang lebih tua dengan orang-orang tua. Bagaimana pula kita berbahasa dengan rakan sebaya kita, bagaimana kita berbahasa dengan jiran tetangga kita tidak kiralah apa jua bangsanya. Tentu pembaca sedar akan hadir secara semulajadi untuk kita berkata dengan hormat dan sopan apabila kita berbahasa dengan orang tua. Mungkinkah akan hilang fitrah ini kerana kita diberi contoh yang tidak baik saban hari?

Dunia yang kini tiada sempadan membolehkan segala perilaku sumbang mudah diperolehi dengan ini memudahkan juga kita untuk dipengaruhi dengan meniru perkara-perkara yang tidak menjadi amalan budaya kita. Kata-kata keji kepada pemimpin, kata-kata mengutuk individu lain seolah tiada canggung dan silu lagi. Saya memerhati (mungkin tidak benar pada pandangan setengan orang) Masyarakat Melayu mempunyai budaya mengikut yang kuat. Jika ada seseorang "pemimpin yang digemari" mengeluarkan perkataan yang memaki hamun dan mencarut maka tidak segan silulah pula pengikutnya berkata perkara yang sama. Apabila ianya sudah menjadi kebiasaan, tidak mustahil juga perkembangan tidak sihat ini akan menular dan menghakiskan nilai budi bahasa bangsa Melayu.

Tanggungjawab siapa sebenarnya ini? Kalau kita masih mengaku berbangsa Melayu perlulah kita bertekad dan berubah untuk kembali kepada ketemadunan bangsa Melayu yang santun tanpa menghilangkan ketegasan diri. Saya percaya ada suara di benak kita ingin melihat budaya bangsa Melayu kita terus kekal sebagai bangsa yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santunnya yang tinggi. Kalau ini semua hilang, bagaimana kita nak mengekalkan maruah diri?  Tanyalah diri anda!

Syanz Abdul Raoof
08 Ogos 2012/18 Ramadhan 1433